“Saya & Suami Reda, Tak Berdendam Dengan Pemandu Bas.” Anak Maut Dilanggar Bas Sekolah, Ibu Sebak Kongsi Cerita

Share

Ibu bapa kepada kanak-kanak perempuan berusia setahun empat bulan, yang maut dilanggar bas sekolah di Salak Tinggi, berharap agar polis tidak mengenakan tindakan undang-undang terhadap pemandu terbabit.

“Saya dan suami reda dengan pemergian anak kami, malah tidak berdendam dengan pemandu bas tersebut,” kata Zainab Mohideen Abdul Kadar, 37, ibu kepada kanak-kanak itu.

Mangsa, Zahida Mohammmad Kassim adalah anak bongsu daripada tujuh adik-beradik.

Menurut Zainab, dia sudah lama mendapatkan khidmat pemandu itu untuk menghantar anak-anaknya ke sekolah.

Katanya, ketika hari kejadian dia dan suami sedang bekerja manakala anak-anak mereka dijaga oleh ibu mentuanya.

Dia dalam pada Itu mengakui  belum berjumpa pemandu berkenaan. Namun lelaki berusia 50 tahun itu ada menelefon dan memohon maaf.

“Saya pun tak boleh nak salahkan abang bas itu sebab dia pun dah trauma sangat, lagi pun dia susah dan bas dia kena sita,” katanya.

Pembantu kantin itu dalam nada hiba berkata walaupun kehilangan anaknya itu meninggalkan kesan mendalam, dia rela hati memaafkan pemandu bas berkenaan.

Sementara itu, kakak kepada mangsa, Nurul Aishah, 13, berkata ketika kejadian, dia baru turun dari bas itu selepas memberikan duit belanja sekolah kepada adiknya yang berusia lapan tahun.

Katanya selepas turun dari bas dia ternampak Zahida di bawah kenderaan itu yang sedang bergerak.

“Saya cepat-cepat ambil dia sebelum tayar belakang bas melanggarnya lagi. Saya menjerit dan selepas itu terus bawa Zahida masuk ke dalam rumah.

“Kemudian ada jiran yang datang dan bawa saya serta nenek bersama Zahida menaiki kereta ke klinik kesihatan berdekatan,” katanya.

Nurul Aishah berkata selepas menyedari Zahida dilanggar, pemandu bas itu segera turun dan meminta maaf kepada neneknya, namun neneknya menyuruh pemandu itu menghantar budak-budak ke sekolah dahulu.

Pak cik datang semula selepas selesai hantar budak-budak. Pak cik cakap dia minta maaf, dia tak nampak (Zahida) dan tidak sengaja melanggarnya,” katanya.

Menurut Nurul Aishah adiknya itu seorang kanak-kanak yang ceria dan suka mengekori kakak-kakaknya, serta sangat manja dengan ayah dan nenek.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata pemandu bas itu sudah dibebaskan dengan jaminan polis malam tadi selepas selesai memberi keterangan.

“Kita akan siapkan siasatan dan bawa kertas siasatan ke pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sumber: BERNAMA