Siapa yang mengikuti pelakon dan penyanyi, Bella Astillah pasti mengetahui tentang perkara yang boleh dikatakan besar yang terjadi pada dirinya dan keluarga apabila mereka menjadi mangsa sihir pemisah rumah tangga yang didakwa telah dihantar oleh seorang wanita.
Menurut Bella, sihir tersebut dihantar dengan niat untuk melihat rumah tangganya dengan suami yang juga pelakon dan penyanyi, Aliff Aziz retak.
“Sebenarnya terlalu berat untuk saya ceritakan. Tapi, menurut kata ustaz yang merawat, itu adalah sihir pemisah rumah tangga. Hubungan saya dengan Aliff juga jadi tak okay disebabkan perkara itu.
Tapi Alhamdulillah, sudah ada perubahan selepas kami berubat. Saya juga bersyukur sebab Aliff pun terbuka hati untuk ikut berubat sebab ramai pasangan yang terkena perkara sebegini enggan untuk berubah,” katanya.
Bella berkata demikian ketika ditemui di sidang media Family Duo musim terbaharu yang diadakan di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada Selasa.
Mengambil iktibar daripada apa yang berlaku, Bella mengakui kini telah mula mengurangkan perkongsian tentang keluarga di media sosial.
“Kami anggap ini ujian dan mungkin teguran untuk saya juga untuk mengurangkan membuat perkongsian di media sosial.
“Di kesempatan ini, saya minta maaf sangat-sangat jika ada mana-mana pihak yang tidak selesa dengan perkongsian saya di media sosial selama ini.
“Selepas ini saya akan lebih berhati-hati dalam berkongsi tentang keluarga di media sosial”, jelasnya.
Dalam pada itu, Bella juga sempat berkongsi tentang gangguan-gangguan yang dialami mereka sekeluarga dengan antaranya mimpi buruk.
“Saya pun ada mimpi ular. Tetapi Aliff alami mimpi yang lebih buruk seperti saya bawa balik lelaki dalam rumah dan nampak saya bergaduh dengan lembaga hitam.
“Tetapi, selepas episod hitam itu berakhir, saya dan Aliff kini sedang memperbaiki diri masing-masing. Mungkin ada kekhilafan saya juga.
“Terima kasih kepada Aliff yang sentiasa ada di sisi saya selain sering memberikan sokongan moral. Kami sedar, kami perlu kuat untuk pertahankan rumah tangga kami” tambahnya.
Tambah Bella, Aliff juga telah menasihatkannya untuk tidak cuba mencari dalang yang menghantar sihir tersebut selain mahu meneruskan kehidupan seperti biasa.
Terdahulu, Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 namun bercerai pada 16 Mei 2019 sebelum rujuk semula ketika dalam tempoh edah.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata, Muhammad Ayden Adrean, 5, dan Ara Adreanna, 2 tahun.
Sumber : Media Hiburan