Kasih sayang antara ibu bapa dan anak merupakan ikatan yang sangat kukuh. Perhubungan yang terjalin, khususnya antara ibu dan anak ketika dalam kandungan adalah ikatan yang paling istimewa.
Justeru apabila ibu ditimpa kesusahan pastinya anak rela berkorban apa sahaja. Kasih sayang hingga ke hujung nyawa. Begitulah yang dilalui oleh pelakon, Fikry Ibrahim terpaksa menunda segala komitmen kerja di sini demi menjaga ibu tercinta, Bibi Zaleha, 73, yang diserang angin ahmar, dua hari lalu.
Menerusi laporan Harian Metro, Fikry terpaksa melepaskan beberapa tawaran berlakon drama untuk menjaga ibunya.
Fikry yang ketika ini berada di kampung halamannya di Jitra, Kedah, tidak ralat melepaskan tawaran berlakon kerana percaya kepada rahmat rezeki yang datang tanpa disangka.
PERCAYA ADA REZEKI LAIN YANG LEBIH BAIK
“Saya percaya dengan rezeki Allah. Walaupun saya terpaksa tolak beberapa tawaran drama tapi saya percaya Tuhan akan gantikan dengan perkara yang lebih besar.”
“Sebaik mengetahui ibu diserang angin ahmar, saya bergegas pulang ke Jitra. Memang tak fikir apa-apa mengenai kerja asalkan saya dapat bertemu ibu dengan segera.
“Ketika doktor maklumkan ibu sudah tidak boleh bercakap dan perlu dijaga makan dan mandinya, saya ambil keputusan untuk berada di Jitra buat sementara waktu.
“Banyak tawaran terpaksa ditolak pada saat-saat akhir, tapi saya tak boleh nak buat apa-apa sebab saya hanya ada dia. Selagi dia masih bernyawa, saya perlu menumpahkan sepenuh kasih sayang dan berbakti kepadanya,” katanya.
FOKUS IBU SIHAT DAHULU
Tidak menafikan akan menerima tawaran berlakon demi kelangsungan hidup namun buat terdekat ini hanya fokus kepada ibunya agar kembali sembuh seperti sedia kala.
“Buat masa ini, fokus utama saya adalah menjaga ibu, namun jika ada tawaran kerja yang singkat saya boleh pertimbangkan.
“Doakan semoga ibu saya kembali sihat dan sembuh. Saya hanya nak ibu saya kembali seperti sebelum ini. Saya sudah mula rindu untuk bersembang dengannya,” katanya.
Begitulah jalinan kasih sayang yang terjalin antara ibu dan anak sehingga anak sanggup berkorban demi ibu tercinta.
Sumber: Harian Metro