Hati seorang ibu walau sekeras mana, namun apabila membabitkan hal anak secara automatik akan menjadi lembut. Tidak kiralah anak tersebut dikandung mahupun anak angkat.
Demikian juga dengan pelakon dan pengarah ternama tanah air, Erma Fatima yang ada berkongsi rahsia tentang anaknya di laman Instagram semalam.
Dalam entri terbaharunya, Erma mendedahkan kisah yang selama ini tidak diketahui umum. Rupa-rupanya, anak ketiganya bernama Ahmad Aifin, 21, pernah dipenjarakan sejak Mei 2016.
Menurut Erma, sebelum ini dia menjaga anaknya itu dengan penuh kasih sayang serta memberikan ilmu pendidikan. namun siapa sangka dia diduga dengan ujian yang cukup berat. Disebabkan oleh percaturan pihak tertentu, anaknya itu kembali ke pangkuan ayah kandungnya.
“Ini anak saya yang ketiga. Dari umur dia satu hari saya pelihara dia. Saya berikan yang terbaik semampu saya. Sekolah, agama, kasih sayang, meskipun banyak kekurangan saya.
“Berbagai dugaan saya terpaksa lalui untuk besarkan dia. Dan satu hari atas percaturan orang tertentu anak saya kembali ke pangkuan ayah kandungnya. Hanya Allah yang tahu betapa hancurnya hati saya ketika itu.
“Dan Mei 2016 saya mendapat berita dia ditangkap polis dan dipenjarakan,” kata Erma.
Dek kerana kecewa dengan peristiwa tersebut, Erma sekali pun tidak pergi melawat anaknya di penjara. Sehinggakan ahli keluarganya yang lain menyangka dia tidak lagi dapat menerima kehadiran anaknya.
Namun, sangkaan itu meleset kerana hati kecil Erma atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad tidak mampu untuk menafikan betapa kasih dan sayang pada Ahmad Aifin tidak pernah berkurang. Kepulangan Ahmad Aifin ke rumah dari penjara disambut Erma dengan tangan terbuka.
“Semua di dalam keluarga saya menyangka saya dah buang dia dari hidup saya. Dan hari ini dia keluar dari penjara. Anak-anak saya yang lain jemput dia di penjara dan bawak pulang ke rumah.
“Semua takut saya tak terima dia. Apa pun saya masih ibu dia walaupun saya tidak melahirkannya walaupun dia tinggalkan saya, hancurkan hati saya tapi saya tetap ibu dia,” ujar Erma lagi.
Sebelum memuat naik kisah tersebut, Erma bagaimana pun terlebih dahulu meminta izin sebelum berkongsikan pengalaman anaknya sebagai bekas banduan kepada orang ramai.
“Saya cakap saya tak pernah malu memiliki anak yang dikurniakan Allah seperti apa pun dia kerana itulah dugaan paling besar dalam hidup saya yang saya terpaksa tempuh.
“Saya berkongsi semua ini bukan kerana saya mahukan simpati, saya mahu berkongsi dengan semua anak-anak muda di luar sana tentang realiti hidup.
“Saya mahu keluarga yang memiliki anak-anak seperti ini juga mendapat sedikit kekuatan dari cerita saya ini. Itu saja, nanti saya akan cerita lagi kenapa dan mengapa dia masuk penjara,” ujarnya lagi.
Netizen yang membaca kisah tersebut rata-rata memberikan kata-kata semangat kepada Erma Fatima.
Sumber: IG ermafatima