“Saya Masih Ada Keluarga Yang Boleh Bagi Nasihat.”Syatilla Elak Balas Komen Netizen Cara Dia Didik Anak.

Share

Setiap kali pelakon ini memuat naik gambar aksi anaknya, pasti ada sahaja yang tak kena di mata netizen. Malah ada yang memberi komen, cara pelakon ini mengajar  terlalu kasar dan tak sesuai dengan usia anaknya.

Biar apapun pandangan dan tohmahan sesetengah netizen mengenai cara dia mengendalikan anak sulungnya, Syatilla Melvin mengambil pendekatan tidak membaca apa jua komen tersebut.

“Sam sendiri melarang saya membalas komen yang diberikan kerana bimbang akan berlarutan. Jadi saya tak ambil port dan tak baca pun. Kalau baca nanti lain pula jadinya. Lagipun buat apa saya nak dengar komen mereka sedangkan saya masih ada ibu bapa yang boleh memberi nasihat atau panduan bagaimana untuk saya menjaga anak.

“Syeriv memang rapat dengan saya sebab dari lahir saya sudah jaga dia. Saya sanggup duduk di rumah kerana tak mahu lepaskan momen indah dia membesar. Lagi pun dengan kes kematian bayi yang kita tengok banyak dipaparkan oleh media membuatkan saya takut dan tidak percaya orang luar boleh jaga anak saya dengan baik. Biarlah anak saya jadi apa-apa ditangan saya sendiri.

 

“Memang rindu nak berlakon tapi saya tak sanggup tinggalkan Syeriv lama-lama, jadi saya korbankan dulu bab kejaya untuk pastikan dia membesar di depan mata saya dan tidak berlaku sebarang isu yang boleh membuatkan saya menyesal di kemudian hari.

Ditanya mengenai hasrat untuk menambah bilangan anak, Syatilla yang ditemui dalam majlis pelancaran produk Jamu Mutyara oleh Tya Ariffin disahkan keguguran pada minggu lepas ketika kandungan berusia hampir enam minggu.

Dia hanya mengetahui dirinya hamil sebaik pulang bercuti dari Santorini, Greece, namun tidak membuat pemeriksaan awal kerana enggan menimbulkan kebimbangan kepada diri sendiri.

“Waktu pergi bercuti saya memang rasa tengah hamil sebab tanda-tanda lebih kurang sama ketika mengandungkan Syeriv. Tapi saya sebab tak nak spoilkan mood bercuti jadi tak biarkan dulu tak nak periksa dahulu dan tunggu balik ke rumah baru periksa.

“Bila balik dan buat ujian, memang sah mengandung. Gembira tak terkata kerana saya memang nak mengandung lagi. Walaupun melahirkan anak secara pembedahan sebelum ini, tetapi doktor tidak melarang jika mahu hamil lagi.

“Tapi minggu lalu, selepas mengemas rumah tiba-tiba saya sakit pada bahagian pinggang dan tidak lama kemudian, sedikit demi sedikit pendarahan turun. Selain itu, saya juga mengalami sakit yang 2 minit sekali datang seperti kontraksi seperti hendak bersalin.

“Walaupun ini pengalaman kedua saya keguguran, tapi kali ini yang paling sakit berbanding yang pertama iaitu sebelum saya mengandungkan Syeriv.

“Ketika gugur kali pertama dahulu, sebulan kemudian saya hamilkan Syeriv. Jadi jika ada rezeki lagi selepas ini, saya akan pastikan lebih berhati-hati dan mungkin mengupah pembantu untuk menjaga Syeriv bersama.

Tambah pemilik nama sebenar Siti Nur Syatilla Amirol Melvin, dia sememangnya sudah bersedia untuk menimang cahaya mata biarpun Syeriv baru berusia 15 bulan.

“Walaupun masih baru tapi perasaan sedih memang ada sebab saya dan Sam mahukan ramai anak dan sudah bersedia untuk menimang cahaya mata kedua. Nampaknya belum ada rezeki lagi dan kami reda. InsyaALLAH kalau boleh saya mahu lima orang anak.

Gambar: IG samtilla