“Saya Kena Jaga Hati Anak-anak,”- Rita Nak Bersara Sebelum Usia 50 & Bakal Hantar Anak Ke Tahfiz

Share

Baru-baru ini pelakon Rita Rudaini meluahkan hasrat untuk berhenti dari dunia lakonan, sebelum usia mencecah 50 tahun. Ini sebagai mana yang dilaporkan oleh Berita Harian. Menurutnya, dia ingin mengambil keputusan tersebut bukan takut tidak laku atau populariti menjunam pada usia mencecah golongan emas, sebaliknya  mahu menjaga hati dua cahaya mata, Airit Rayyan Rizqin, 12, dan Airit Qaqa Arjuna, 10, yang bakal dihantar mengikuti pengajian tahfiz.

Rita, 45, memulakan kerjaya lakonan lebih dua dekad lalu berkata, dia tidak mahu selamanya bergelar pelakon. Selain itu, keputusan itu juga demi anak-anaknya.

Rancang Aak Belajar Di Tahfiz

“Saya hanya mempunyai tempoh antara tiga hingga empat tahun sebelum bersara. Pada usia 50 tahun, saya mahu berhenti bergelar pelakon. Saya mahu menghabiskan masa di rumah dengan belajar ilmu agama. Sebenarnya, saya merancang menghantar Rayyan dan Arjuna mengikuti pengajian di sekolah tahfiz.

“Saya tak mahu anak-anak melihat saya gigih berlakon ketika itu. Saya kena jaga hati anak-anak,” katanya.

Wanita kelahiran Kangar, Perlis itu berkata, dia ingin cuba mendalami dunia perniagaan seandainya ada rezeki.

“Saya ingin menikmati hidup dengan melihat anak-anak membesar di hadapan mata.

Ketika diajukan pertanyaan tidakkah berhasrat kembali berumah tangga, Rita yang bergelar ibu tunggal sejak lapan tahun lalu berkata, setakat ini, dia langsung tidak mempunyai keinginan ke arah itu.

“Buat masa ini, perasaan mahu kembali bergelar isteri tiada. Pada usia begini, keperluan untuk diri saya tidak ada dan ditolak ketepi. Sekarang adalah masa untuk memberikan fokus pada anak-anak.

“Bagaimanapun, saya bukanlah sombong kerana percaya segala-galanya adalah kuasa Allah. Jika Allah hantar hadiah jodoh, siapalah saya untuk menolak ketentuan takdir.

“Saya akan terima dengan hati yang reda. Saya juga yakin Allah tidak pernah menghantar perkara yang tidak baik kepada kita,” katanya.
Mengenai ciri-ciri lelaki idaman, Rita berkata, dia tidak pernah memikirkan soal berkenaan.

“Seperti dikatakan, saya langsung tidak terlintas mahu mencari jodoh selepas berdepan episod kegagalan rumah tangga. Fokus saya hanya untuk membesarkan anak-anak,” kata Rita.

Sumber : Berita Harian 

Jom sertai E-Keluargagader BELAJAR BUAT ROTI UNTUK KELUARGA secara online, daftar segera! Whatsapp di http://www.wasap.my/60169647520