“Saya Congak Duit Yang Ada…”- Menantu Lelaki Ni Tak Berkira Belikan Mak Mentua Gelang & Cincin Emas!

Share

Alangkah bertuahnya badan bila dikurniakan menantu lelaki atau perempuan yang baik, menjaga dan menyayangi diri kita seperti ibu kandung sendiri. Tidak dengan itu, murah hati pula membeli hadiah sebagai tanda kasih.

Berkongsi kisah Abdul Muiez Ruslee ini umpamnya, seroang menantu yang memberikan hadiah istimewa kepada ibu mertuanya yang telah lama teringin membeli emas bolehlah dijadikan inpirasi.

Menurutnya, apa yang dikongsikan bukanlah bertujuan menunjuk kaya apatah lagi berduit, namun apa yang dilakukan semua itu adalah sebagai mencipta satu kenangan indah untuk dirinya dengan dapat menghadiahkan barang kemas.

Ini memandangkan ibunya sudah meninggal dunia , dan kini cuma ibu mertua  lah tempat untuknya menumpang kasih seorang ibu.

Belikan Gelang Emas & Cincin Untuk Mak Mertua

Semalam saya nampak mak mentua bagi duit dekat isteri. Minta simpankan. Kumpul-kumpul nak beli cincin, katanya.

Allahu akbar. Kasihannya. Saya cuba congak-congak duit yang ada dalam bank. Cukup.
Saya buat carian di Google. Kedai emas Seri Iskandar. Ada. Saya hubungi kedai itu.
Kedai tutup pukul 6. Saya tengok jam. Ada 15 minit lagi. Saya minta jangan tutup dahulu. Kami nak datang.

Sampai saja di kedai, saya minta emak pilih satu gelang emas. Selesai, bayar.
Mak kata, nanti nak datang lagi lepas duit cukup. Nak beli cincin pula.

Saya congak-congak lagi duit dalam akaun. InsyaAllah sebentuk cincin lagi boleh lepas.
Terus saya minta mak pilih cincin pula. Selesai dan saya bayar.

Saya bercerita bukan nak tunjuk saya kaya atau berduit. Tidak.

Cuma saya terkenang. Sepanjang mak saya hidup, saya tak pernah belikan barang kemas untuk mak.

Masa itu, duit nak lepas hidup sendiri pun paras hidung je. Sekarang, Allah bagi rezeki sikit. Saya nak bagi dekat mak sendiri, mak dah takda. Dah 8 bulan mak meninggal.

Belikan Ayah Baju Baru

Dulu masa kecik, ingat tak kita pernah cakap dekat mak. Saya fikir, kita semua pernah sebut benda yang sama. “Nanti dah besar, saya belikan mak emas ya.”
Sekarang dah besar, pernah tak kita belikan?

Saya teringat tentang itu dan saya tak nak penyesalan itu datang lagi.

Balik Negeri Sembilan hari itu, saya tengok baju-baju ayah dah kusam. Saya belikan dua helai baju di Freeport A Famosa. Suka betul ayah.

Masa jamuan akikah, ayah pakai. Ayah tunjuk dekat saya. “Ayah pakai baju yang kau beli.”
Rakan-rakan dapat bayangkan tak apa perasaan saya? Agak-agak bagaimana perasaan ayah pula?

Saya tulis status ni pun menitik air mata.

Terkenang, sepanjang mak hidup, tak sempat saya nak berbakti. Malu dengan adik. Betapa beruntungnya dia, dapat berkhidmat untuk mak sehingga nafas mak yang terakhir.
Nak berbakti pun sempat, inikan pula nak belikan gelang emas.

Harta Bertambah Berkat 

Kadang-kadang kita rasa duit tak cukup nak beri khidmat untuk mak ayah.
Tapi percayalah, harta yang kita beri kepada mak ayah itu sangat berkat.

Yang tak cukup, insyaAllah, Allah akan cukupkan.
Lepas mak dapat hadiah, terus mak doakan kami.
Dah 8 bulan saya tak dapat doa seorang mak.

Tapi, semalam saya dapat dengar doa dari seorang mak dengan jelas.
Saya minta dekat mak. Doakan semoga kami menang cabutan Al-Awfar. Semoga dapat kami tebus semua gelang mak di Ar-rahnu.

Kawan-kawan.
Sementara mak ayah masih hidup, santunilah mereka. Penuhi hajat mereka.
Benar, kita kadang-kadang pun tak berduit. Tapi cuba fikir, lepas kita keluarkan duit dekat mak ayah, pernah tak kita kelaparan? Pernah tak kita tak makan?
Tak, kan?

Kita kata tak ada duit untuk mak ayah, tapi kita boleh melancong sana sini. Beli barang branded itu ini.

Saya tak cakap dekat orang lain, tapi untuk diri sendiri juga.
Malah, kalau kita sedar, rezeki kita semakin melimpah.
Bukan hanya sekadar duit, mungkin juga melalui jalan lain. Antaranya hati kita tenang, kereta tak pernah rosak, rumah tangga bahagia, anak-anak pandai, kerja kita dipermudahkan, tak pernah kena marah dengan bos, tak stress.

Ya, itu semua mungkin asbab kita menyantuni mak ayah.
Berbaktilah sementara mereka masih hidup. Semoga berkat hidup kita.
Berbaktilah dengan cara kita. Sikit cara sikit. Banyak cara banyak.
Jika tak mahu menyesal di kemudian hari.

Sumber : Abdul Muiez Ruslee

 

Baca juga : Sayang Nak Buang Botol, Terus Buat Projek Tanam Sayur Dalam Botol. Hasilnya Tanaman Subur & Mudah Nak Jaga!

 

Nak macam-macam info? Sila subscribe channel Telegram KELUARGA  dan join keluargagader club