“Saya Akhirnya Sedar, Saya Bukan Keseorangan..”-Penyanyi K-Pop, Lalui Hidup Lebih Tenang Selepas ‘Hijrah’!

Share

Sungguh, hidayah itu milik Allah dan sesiapa pun boleh menerimanya. Ini sebagaimana kisahnya buat Pemuzik dan YouTuber popular Korea Selatan, Jay Kim atau nama islamnya, Daud Kim. Penghijrahannya telah mengejutkan ramai pihak apabila dia telah membuat keputusan untuk memeluk islam iaitu pada tahun 2020.

Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh Daud di laman Instagramnya dengan mengenakan pakaian ikhram ketika menunaikan umrah,  dia mengakui menjumpai ketenangan yang dicarinya selama ini selepas memeluk Islam.

Daud yang mempunyai hampir 4 juta pengikut di YouTube turut berkata, dia tidak sangka sudah menemui jawapan dalam kehidupannya bahawa Allah adalah Tuhan yang menguasai alam

“Saya jejakkan ke Mekah sekali lagi. Tempat ini umpama ‘rumah’ saya. Sangat menenangkan  jiwa dan suci. Sebelum ini, kehidupan saya sangat teruk. Saya ingatkan diri ini orang yang paling tidak bertuah dalam dunia. Jadi, saya mencari-cari jalan kebenaran dan sentiasa cari jawapan sebenar.

“Saya akhirnya sedar, saya bukan keseorangan. Seseorang berada di samping saya membawa saya ke jalan benar. Saya dah sedar kewujudan Allah SWT,” ujarnya.

Bukan itu sahaja, dia turut meluahkan rasa syukur menjadi salah seorang hamba yang telah menerima hidayah daripada Sang Pencipta dan tidak akan berputus asa dalam mencari keredaanNya.

Malah, Daud turut berharap dan berdoa agar segala dosanya diampunkan dan sentiasa dipimpin ke jalan yang benar. Bahkan, ditunaikan keinginannya agar dapat berjumpa dengan saudara sesama Islam di syurga kelak.

“Islam beri saya jawapan terhadap segala persoalan yang bermain di minda selama ini. Jawapan mengapa saya dicipta, mengapa saya hidup. Dan akhirnya nanti, ke mana saya akan pergi selepas mati.

“Saya masih buat dosa (silap) namun sekarang, saya seorang Muslim. Saya tidak akan berputus asa memohon keampunan daripada Allah SWT. Iman saya tidak akan pernah berubah, insya-Allah.

“Semoga ampunkan segala dosa saya dan bimbing saya ke jalan yang benar. Doa saya buat mereka yang memerlukan bantuan. Moga Allah SWT berkati hidup semua umat Islam. Sehingga kita berjumpa nanti di Jannah,” coretnya lagi.

Sumber : Daud Kim & borakdaily