Setelah sekian lama menanggung penyakit skoliosis atau masalah tulang belakang melengkung, akhirnya penyanyi lagenda Zamani sudah bersedia menjalani pembedahan pada 7 November ini.
Dipetik dari laporan BH Online, penyanyi berusia 51 tahun itu sudah melakukan persediaan terutama dari segi mental kerana membabitkan pembedahan besar.
Zamani berkata, dia yang menanggung sakit sejak 2015 itu akan mengikut saran doktor bagi mengekalkan tahap kesihatan setelah selesai pembedahan sekitar tempoh dua jam setengah itu.
“Perasaan takut tetap ada, tetapi bukanlah disebabkan bimbang perkara buruk berlaku. Segala-galanya saya serahkan kepada ketentuan Allah.
“Saya agak takut kerana ini adalah pembedahan besar pertama yang dilalui. Saya dimaklumkan pembedahan akan mengambil masa selama dua setengah jam.
“Saya akan ditidurkan ketika pembedahan. Dari segi persiapan fizikal, saya mengikut saranan doktor mengamalkan diet dan mengambil banyak vitamin.
“Sebelum ini, saya hanya pernah melakukan pembedahan kecil membuang batu karang,” katanya memohon doa orang ramai agar urusan pembedahannya berjalan lancar.
Zaman berkata demikian kepada media selepas majlis bacaan yasin dan doa selamat yang diadakan secara dalam talian baru-baru ini.
Malah penyanyi lagu Gerimis Mengundang itu memaklumkan, dia memerlukan tempoh rehat selama dua hingga enam minggu untuk kembali pulih dan bekerja seperti biasa.
“Sepanjang tempoh ini, saya perlu mendapatkan rawatan susulan dan menjalani latihan fisioterapi.
“Bagaimanapun, saya akan pulih hingga boleh kembali aktif mungkin memakan masa sehingga tiga bulan. Itupun bergantung pada kekuatan antibodi,” ujarnya.
Sumber: BH Online (Farihad Shalla Mahmud) , Instagram Zamani