Setiap wanita pastinya mengimpikan kehidupan berumah tangga yang bahagia, punya suami dan anak-anak di sisi. Namun, bahagia itu tak semua mampu kecapi. Dugaan dan ujian yang diberikan oleh Sang Pencipta berbeza-beza.
Ada orang bahagia dikurniakan keluarga lengkap dengan suami dan anak, ada pula bahagia biarpun hanya anak-anak di sisi. Tak kurang juga ada yang mencipta bahagia biarpun tidak dikurniakan cahaya mata.
Setiap satunya punya jalan cerita yang dicipta Dia Yang Satu. Pasti ada hikmah di sebalik apa yang berlaku.
Pengarah, penerbit dan juga pelakon terkenal, Erma Fatima dalam satu perkongsian di instagramnya baru-baru ini meluahkan isi yang cukup menyentuh hati.
Perkongsian itu dimuat naik usai menghadiri majlis ‘baby shower’ yang dianjurkan khas buat rakannya Vie Shanti Khan. Dalam majlis tersebut, Erma tidak melepaskan peluang bergambar sambil mengusap perut usahawanita tersebut.
Beliau kemudiannya memuat naik video berkenaan dengan kapsyen yang cukup menjentik hati netizen.
Aku jadi cemburu setiap kali melihat wanita hamil. Satu2nya anugerah Allah buat seorang wanita yang tidak akan dapat aku nikmati hinggalah akhir nyawaku.
Betapa beruntungnya kau @vieshantiekhan menjadi seorang wanita sejati.. mendapat suami yg mencintai kau..memiliki zuriat yg menjadi simbol pada kebahagiaan kalian.
DAN mendapat anak2 yg selamanya akan menghargai kau sebagai ibu yang melahirkan mereka. Congrats adik ku…
Umum mengetahui, beliau sebelum ini mendirikan rumah tangga bersama pengarah, Badaruddin Azmi pada tahun 1991. Namun pasangan ini mengambil keputusan berpisah selepas 26 tahun hidup bersama. Mereka tidak dikurniakan anak tetapi mempunyai lima orang anak angkat iaitu Syamil Ikhwan, 25, Ahmad Arir, 23, Ahmad Aifin, 21, dan Nurain, 12 juga Citra.
Luahan hati Erma Fatima turut mengundang sebak di hati ramai pihak termasuklah rakan selebriti. Masing-masing turut memberikan kata-kata semangat buat pengarah ini.
Sumber: IG ermafatima