Sabar, usaha, doa. Demikian bait-bait nasihat oleh Adam Corrie buat pasangan di luar sana yang masih menantikan kehadiran si kecil dalam rumah tangga mereka.
Pasangan Adam Corrie Lee dan Fazema Mohd Fuad tidak pernah berputus asa biarpun terpaksa menanti 10 tahun sebelum dikurniakan zuriat, Adam Fateh Lee, 9 bulan.
Menceritakan pengalaman dan pandangannya yang menanti lama sebelum dikurniakan zuriat, perkongsian Adam Corrie nyata mendapat perhatian ramai. Tak kurang yang tersentuh dengan kisahnya dan isteri sewaktu mereka belum dikurniakan cahaya mata.
“Fateh adalah satu anugerah oleh Allah buat saya dan bidadari untuk dididik sebaik mungkin, saya sahut cabaran ini dengan penuh gembira. Hanya Allah sahaja yang tahu bila kami bersedia untuk dapat zuriat. Saya bertuah hanya tunggu 10 tahun, tetapi ada pasangan lain yang menanti lebih lama dari saya.
“Pernah dalam satu program ada seorang asnaf yang kahwin muda awal 20an dan kini dah berusia 37 tahun, tetapi belum dimiliki zuriat. Jadi saya dan isteri rasa bertuah kerana Allah masih sayangkan dan beri peluang untuk sambut amanah Allah ini,” ujar Corrie sambil mengakui selalu kongsi pengalaman dengan pasangan yang bertanyakan info dan nasihat daripadanya.
Duit bukan pengukur bahagia
Mengulas mengenai tanggapan sesetengah pihak yang meletakkan kesalahan kepada kaum isteri apabila tidak dikurniakan zuriat, jelas Corrie dalam hal ini tiada siapa yang salah.
Kita tak boleh salahkan sesiapa kerana zuriat adalah anugerah Allah. Bila kita sudah bersedia, boleh pikul tanggung jawab maka Allah akan bagi. Bukan sebab kita ada duit, kaya senang dan fikir kita pasti akan besarkan anak. ‘NO’ kerana ada duit tak semestinya bahagia. Takut takut kita memudaratkan anak dan sebaliknya.
“Bagi saya, doa adalah senjata orang mukmin. Berdoalah banyak-banyak dan jangan fikir esok lusa akan dapat atau tanya Allah bila akan dapat, bila kita berdoa, berserah kepadaNya. Dan banyakkan bersedakah di masjid,” ungkap Corrie lagi.
Betulkan niat berkahwin
Tambah Corrie lagi, betulkan niat berkahwin kerana Allah. Bukan kerana makhluk dan nafsu. Jadikan perkahwinan jambatan ke syurga. Redha Allah yang kita minta.
Dalam pada itu, Corrie turut menegaskan, kebahagiaan rumah tangga bukan terletak pada adanya zuriat. Tanpa zuriat, suami isteri tetap boleh bahagia.
“Jagalah isteri dan anak sebagai anugerah dan amanah yang Allah berikan pada kita sebagai seorang khalifah keluarga. Dugaan rumah tangga memang banyak. Tempuhilah dengan berlapang dada. Ada ketikanya dulu, kami diuji dengan tiada zuriat. Namun alhamdulillah kami mampu melaluinya.
“Kerana itu Allah beri masa dan ruang kepada saya dan bidadari selama 10 tahun untuk kami ‘honeymoon’. Kini dah sampai masa dan alhamdulillah hadirnya Fateh. Pernah seorang suruh saya cari sorang lagi dan kahwin lain kerana lelaki boleh kahwin sampai 4.
“Tetapi saya tanya dia semula, kalau kahwin 4 sekali pun bolehkah saya bahagiakan mereka dan sebaliknya. Sedangkan satu pun saya sudah rasa bahagia, kenapa nak kena cari lain. Benda ini tak boleh salahkan lelaki mahupun perempuan. Kena ikhtiar dan buat pemeriksaan untuk lihat apa yang tak kena,” ujar Corrie lagi.
Pegang watak utama selepas 20 tahun
Bercerita mengenai pembabitannya dalam dunia senia, jelas Corrie pertama kali dalam 20 tahun bergelar pelakon, inilah kali pertama dia memegang watak utama bagi filem Kafir.
“Awalnya saya ingat penerbit bergurau pilih saya sebagai watak utama, namun rupa-rupanya betul. Skrip untuk cerita ini berkisar kisah benar daripada pengarah itu sendiri dan mencabar kerana banyak main jiwa serta perasaan. Kalau nak diikutkan, watak yang diberikan ini lebih kurang sama cuma bezanya dulu saya hanya pembantu jadi bila memegang watak utama, perasaa itu lain.
“Ditambah pula saya agak tertekan apa yang saya berikan tidak sebaik yang diingini oleh tuan badan (skrip) tersebut. Alhamdulillah pengarah banyak tolong selain orang sekeliling turut membantu. Malah, Adlin Aman Ramli, dia sendiri banyak bantu dan sokong,”ulas Corrie yang menganggap ini rezeki anaknya juga kerana dapat memegang watak utama.
Kesibukan dengan penggambaran di luar, akui Corrie masa yang ada dilakukan sebaik mungkin bagi memastikan anak dan isteri sentiasa bersamanya.
“Sebelum ini, saya shooting di Janda Baik dan minta bilik family kerana akan bawa anak dan isteri bersama. Tetapi hanya waktu makan tengah hari dan rehat sahaja saya membawa Fateh ke lokasi. Tetapi kalau lokasi terlalu jauh dan tak sesuai bawa family, maka saya takkan bawa mereka.
Sumber: majalah Keluarga edisi Julai-Ogos 2019