Satu Persatu 4 Kedai Bunga Ditutup Lepas PKP. Amirullah Bangkit Semula, Bakal Buka 20 Francais

Share

Bunga penenang jiwa. Dengan melihat warna-warni bunga saja, kita akan menjadi lebih santai dan tenang. Bukan itu sahaja, bunga juga boleh meningkatkan mood atau suasana menjadi lebih ceria.

Bahkan keindahan dan kecantikan bunga sinonim dengan wanita umpama irama dan lagu. Namun siapa sangka bunga memberi pendapatan lumayan. Lebih istimewa perniagaan berasaskan bunga kini dimonopoli oleh kaum lelaki!

Daripada kerjaya stabil di sebuah syarikat penerbangan terkenal, Amirullah Khalid,39, kini mengusahakan Petals2u Florist and Gifts yang menjual gubahan bunga perhiasan bersama isterinya, Zailatul Alina Zulkapli.

Mengimbau perjalanan awal dalam bidang perniagaan ini, Amirullah mengakui tidak menyangka keputusan nekad untuk berhenti kerja bagi menemani isterinya yang melanjutkan pelajaran di luar negara menjadi pencetus kerjayanya sehingga kini.

“Isteri saya belajar di New Zealand dalam bidang pelancongan. Belajar Bachelor Tuorism selama lima tahun. Saya ambil cuti untuk melawat isteri di sana.

“Namun apabila melihat keindahan New Zealand saya nekad berhenti dan kerja di sebuah pasaraya di Auckland bahagian Department Produce.

“Saya berkerja bahagian bunga sayur dan buah-buahan. Selalu juga saya bawa balik bunga yang sudah tamat tempoh yang perlu dibuang, tambahan pula isteri saya suka bunga.

“Saya juga suka mengubah bunga hantaran, pelamin pengantin dan berendoi. Tambahan pula, ibu saya pula selalu membuat hantarab dan sirih junjung. Selain itu, saya pun selalu membantu membeli barang-barang hantaran dan melihat ibu mengubah. Tak sangka ia menjadi kerjaya saya juga hingga kini,” imbau bapa kepada tiga orang anak ini.

Sukar Dapat Kerja

Setelah isteri menamatkan pengajian dan pulang ke tahanair, kesukaran mendapatkan kerja membuatkan pasangan suami isteri ini mula mengorang langkah untuk mengubah kehidupan mereka.

Sikap diri yang sentiasa berfikiran positif untuk meraih kejayaan. pasangan suami isteri ini mula menjual gubahan bunga konvo di tepi jalan.

“Setelah pulang ke Malaysia, saya susah untuk mendapat kerja. Jadi kami mula berniaga bunga konvo di tepi jalan. Semua tempat ada pesta konvo, kami akan ke sana. Jika tidak ada konvo kami akan buat katering secara sambilan.”

Bertuah pasangan suami isteri ini mempunyai minat yang sama dalam perniagaan ini sering kali mendalami ilmu dalam gubahan bunga.

Amirullah yang ingin memartabatkan gubahan seni gubah tradisional ke peringkat lebih tinggi memberi tahu sepanjang menempuh onak duri dalam perniagaan ini, mereka juga mendapatkan nasihat dan selok belok dalam perniagaan ini daripada ‘guru bunga’ berbangsa cina.

Lebih manis, pencapaian perniagaan terbesar apabila mengubah bunga untuk majlis di Hari Pembukaan Parlimen Malaysia dan menghantar bunga korporat ke istana ke seluruh Malaysia.

Cabaran

Tidak pernah membiarkan kegagalan membuatkan dirinya mengalah. Sebaliknya kegagalan itu membentuk jati diri buat diri dan pasangannya. Mengakui detik sukar ketika negara  melalui situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Cabaran yang sangat tidak dapat dilupakan ialah apabila kami terpaksa tutup empat buah kedai selepas PKP. Begitu emosi buat saya dan isteri. Tambahan pula kami mempunyai stok bunga segar yang mahal datang dari luar negara.”

“Ketika kedai tutup satu persatu, sedih sangat mendalam tapi saya kuatkan semangat dengan sibukkan diri dengan mengikuti majlis-majlis baru dan melibatkan diri dengan program berkaitan dengan perniagaan,” ujarnya mengimbau detik sukar dalam dunia perniagaannya.

Bakal Buka 20 Francais

Gagal dalam sesuatu perjuangan, itu bukan bermaksud harus menyerah dan berhenti berusaha. Hakikatnya kekecewaan sebenarnya mengajar erti kehidupan. Dirinya teruskan perjuangan walaupun terpaksa menghadapi cabaran dan rintangan dalam hidup.

Justeru, untuk mencapai kejayaan yang diimpikan setiap yang dilakukan harus mempunyai perancangan untuk memastikan perniagaan kukuh di masa akan datang.

Katanya akan memastikan pengurusan syarikat dengan stategi baru dan bercadang untuk membuka 20 francais di seluruh luar negeri pada tahun 2030.

Utamakan Keluarga
Sesebuah isntitusi keluarga juga akan menjadi bahagia dan cemerlang, jika setiap ahli keluarga berjaya menguruskan masa dengan berkesan.

Menyentuh mengenai keluarga, kesibukkan dengan perniagaan, tidak bermakna keluarga diabaikan. Dia akan membawa keluarga pergi bercuti serta membawa bersama apabila ada ‘event’ atau ‘job’ di luar kawasan.