Setiap kali jejaka ini muncul di media sosial, pasti ramai yang terpaku melihat kareakternya. Bukan hanya murah dengan senyuman, tetapi bakat memasak yang ada pada dirinya membuatkan ramai yang tertarik untuk mencuba.
Itulah dia Mohd Shafiq, 28, anak kelahiran Alor Gajah, Melaka, yang cukup terkenal di laman tiktok dan trademark suka tersenyum itu membuatkannya dikenali hingga kini sudah memiliki lebih 590,000 pengikut di platform berkenaan.
Ia kerana semua video dimuat naik menunjukkannya tersenyum memandang kamera daripada awal hingga selesai memasak.
Senyuman buat bertambah manis
Mohd Shafiq berkata, apa dipaparkan di laman sosial itu adalah karakter semulajadinya dan bukan dibuat-dibuat untuk menarik perhatian pengikut atau penonton videonya.
“Saya memang suka senyum tidak kira ketika bergambar atau di dalam video, jadi apa yang dipaparkan itu adalah personaliti sebenar saya.
“Lagipun, senyuman itu satu sedekah dan akan buatkan seseorang itu bertambah manis,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Belajar masak dengan ibu umur 11 tahun
Minat memasak yang ada dalam diri pegawai forensik di salah sebuah Jabatan Kimia di negara ini berkata, dia memang suka memasak. Bahkan, dia boleh menyediakan lima hingga enam jenis masakan dalam sehari.
“Ilmu memasak dipelajari daripada ibu (Noraini Buang, 62) ketika berusia 11 tahun dan pendedahan awal itu mengajar saya menjadi seorang yang berdikari.
“Saya mahu berkongsi ilmu dengan orang ramai dan memilih platform TikTok sebagai medium dan gembira kerana perkongsian saya ini menerima maklum balas positif daripada pengikut.
Memasak satu hobi & terapi
Katanya, lebih memberikan kepuasan apabila ramai pengikut sudah mencuba resipi dikongsinya dan mula berubah sikap iaitu daripada seorang yang dulunya liat ke dapur dan kini rajin memasak.
“Saya memang minat memasak dan sudah menganggapnya sebagai satu hobi dan terapi untuk menghilangkan tekanan kerja.
Masak lepas balik kerja atau cuti
Bukan itu sahaja, hobi itu berterusan sehingga kini dan setiap kali pulang daripada kerja atau cuti rehat, saya akan memasak.
“Cuma, saya masih bujang, jadi kelengkapan di rumah agak terhad dan hanya menggunakan apa saja yang ada, misalnya cawan untuk menyukat bahan dan tunjukkan cara satu persatu cara memasak supaya pengikut yang menonton tidak rasa susah untuk mencubanya sendiri di rumah,” katanya.
‘Menjual’ muka saja di TikTok
Di sebalik komen positif, ada kecaman diterima daripada segelintir warganet yang menuduh video dimuat naiknya palsu dan sekadar disunting semata-mata.
Namun, Mohd Shafiq tidak mengendahkannya kerana lebih menghargai mereka yang memberi sokongan sejak dulu hingga kini.
“Ada segelintir warganet meragui kebolehan saya kerana penampilan memakai kemeja ketika memasak selain mengatakan saya hanya ‘menjual’ muka saja di TikTok.
“Tetapi tuduhan mereka tidak benar kerana ramai sudah mencuba resipi dikongsikan dan percubaan mereka berhasil.
“Apapun, saya berterima kasih kepada semua yang menyokong kerana sokongan itu memberi lebih semangat untuk saya berkongsi ilmu masakan,” katanya.
Justeru, dia merancang mahu mengukuhkan nama di laman sosial dan jika ada rezeki mahu mengeluarkan produk sendiri nanti.
Setakat ini, TikTok Shafiq yang menggunakan nama @shafiqcute itu telah mendapat lebih daripada 500 ribu pengikut yang rata-ratanya seronok melihat dia memasak serta berkongsi resepi makanan mudah yang boleh dicuba pada bila-bila masa.
Sumber: Harian Metro, shafiquecute_official
Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club