“Satu Bulan Satu Juzuk Untuk Aisyah.” Inspirasi Cara Didikan Ustaz, Umie Aida Praktik Pada Anak

Share

Setiap ibu bapa memiliki cara tersendiri dalam mendidik anak-anak. Namun, yang pasti semua ibu bapa mahukan yang terbaik kepada buah hati kesayangan mereka.

Bagi pelakon terkenal Datin Seri Umie Aida punya cara tersendiri dengan menggunakan pendekatan memperdengarkan ayat al-Quran sebulan untuk satu juzuk kepada anaknya, Aisyah Humaira.

Umie, 46, atau nama sebenarnya Umi Khalsum Rahmad Ali, berkata, method yang digunakan Ustaz Hadi Hidayat dalam mendidik anak itu turut dipraktikkan untuk Aisyah.

“Alhamdulillah, sekarang Aisyah sudah berusia lebih dua bulan. Jadi, sudah masuk juzuk dua.

“Saya menggunakan pendekatan digunakan Ustaz Hadi Hidayat dalam mendidik anak. Caranya, perdengarkan ayat al-Quran selama sebulan untuk satu juzuk. Begitulah seterusnya.

“Macam untuk diri sendiri, saya buat dengan surah Yassin. Bangun pagi buka dan sebelum tidur pun sama. Alhamdulillah, lama-lama kelamaan apabila sudah boleh hafal.

“Jadi, method sama saya buat kepada Aisyah yang otaknya masih segar. Dia serap apa dia dengar. Tinggal nanti, apabila dia boleh baca dan akan terus ingat. Insya-Allah, itu yang saya buat sekarang,” katanya kepada Harian Metro.

Umie yang juga pelakon filem Dukun berkata, pendekatan dibuat itu dapat mendidik dirinya menjadi manusia lebih baik.

“Allah bagi anak ini untuk mendidik kita yang kadang kala alpa dan leka.

“Anak ini mendidik saya menjadi manusia yang lebih baik dan mendekatkan diri kepada Allah. Kita mohon sesuatu yang terbaik untuk anak kita.

“Apa yang kita buat terbaik untuk anak kita, dalam masa sama untuk diri kita juga,” katanya.

Dalam pada itu, Umie Aida mengakui teruja dengan kehadiran si kecil Aisyah yang didambakan sejak 10 tahun lalu.

‘Kun faya kun’ “Jadilah, maka jadilah ia. Dia lah yang menentukan segala-galanya. MasyaAllah… 10 tahun aku menanti kehadiran mu sayang.. dan Allah bukakan pintu hati kami dengan perasaan penuh kasih sayang menyambut kehadiran aisya humaira dalam hidup kami.

Alhamdulilah..terima kasih habib & ustaz , ahli keluarga , saudara mara dan sahabat-sahabat yang sudi hadir ke majlis aqiqah aisya dan doa-doa anda semua. Semoga kehidupan kita semua didalam rahmatNYA. Aamiin ❤️

Demikian perkongsian Umie menerusi laman instagramnya usai majlis akikah anak perempuanya itu.

sumber: harian Metro & umieaida9