Lazimnya kita sering mendengar makanan yang berlemak dan dimasak menggunakan santan akan mengandungi kolestrol yang tinggi.
Hal ini juga telah menjadi stigma bahawa santan hanya mendatangkan keburukan dan sayangnya fakta sebenar santan mengandungi manfaat dan khasiat yang diperlukan tubuh. Ini sebagaimana fakta yang dikongsikan oleh doktor ini.
Jom fahami perkongsian ini.
Antara beberapa khasiat lain santan kelapa untuk kesihatan adalah ia baik untuk tulang kita supaya menjadi sihat dan kuat.
Seringkali kita mempercayai bahawa kalsium saja sudah cukup untuk membuat tulang kita sihat dan kuat. Tetapi ianya tidak tepat. badan kita memerlukan Fosforus bersama kalsium untuk memiliki tulang sihat, kuat dan kukuh.
Santan merupakan sumber dari fosforus yang tinggi didalamnya. Santan juga kaya dengan zat besi. Penyebab anemia adalah kerana kekurangan zat besi.
Menakala itu, fakta lain turut dikongsikan oleh Dr Zubadii diakaun fbnya bersumberkan perkongsian daripada Dr Norman Mohd Norawi.
BENARKAH SANTAN MENINGKATKAN KOLESTEROL?
Santan kelapa adalah satu bahan masakan yang digunakan oleh masyarakat di Malaysia sejak dari dahulu lagi. Masakan seperti rendang dan lemang yang popular semasa sambutan hariraya menggunakan santan dalam penyediaannya. Bagi masyarakat di Negeri Sembilan, masak lemak cili api diamalkan hampir setiap hari juga menggunakan santan. Bukan hanya masyarakat melayu, masyarakat India juga banyak menggunakan santan dalam masakan mereka. Kebanyakan penduduk di Asia Tenggara dan Kepulauan Pasifik adalah pengguna santan dalam masakan harian mereka.
Santan selalu dikatakan sebagai lemak yang tidak sihat dan boleh menyebabkan masalah kolesterol tinggi. Adakah pendapat ini benar dan bersandarkan kajian saintifik yang betul?
Kita selalu dinasihatkan untuk mengurangkan penggunaan santan dalam masakan seharian kita kerana ia mengandungi lemak tepu yang tinggi dan dikatakan boleh menyebabkan masalah peningkatan paras kolesterol dalam darah. Ada juga pakar pemakanan yang mencadangkan penggunaan susu sebagai ganti kepada santan dalam makanan.
Dahulu, saya juga selalu menasihati pesakit saya yang mempunyai masalah kolesterol untuk meninggalkan makan santan kerana dahulu saya berpendapat lemak tepu dalam santan boleh menjadi punca meningkatnya paras kolesterol dalam darah. Setelah membaca pelbagai kajian terkini dalam jurnal-jurnal perubatan saya mendapati kajian-kajian berkenaan penggunaan santan atau minyak kelapa merumuskan fakta yang agak berlainan.
Ironinya terdapat kajian sains mendapati masyarakat yang mengambil santan selalu dalam makanan mereka mempunyai kadar penyakit jantung yang rendah dan paras kolesterol yang rendah juga.
Diantara kajian yang dilaporkan dalam jurnal perubatan Asia Pasific pada tahun 2011, yang dijalankan di Filipina mendapati pengambilan minyak kelapa dalam makanan seharian dikalangan wanita pra menopaus meningkatkan kolesterol baik HDL-c dan menurunkan kolesterol ‘jahat’ jenis LDL dan Trigliserida. Oleh itu ia mempunyai faedah kesihatan yang baik menurunkan risiko sakit jantung.
Yang lebih menarik lagi adalah, data dari negara Filipina yang dilaporkan oleh Philipine National Nutrition Survey (PNNS) pada 2003 juga mendapati relatif insiden yang rendah untuk masalah kolesterol berlebihan (hypercholesterolemia), darah tinggi (hypertension), angin ahmar (stroke) dan sakit jantung (angina) dikalangan penduduk di Daerah Bicol yang mengambil santan dan minyak kelapa yang tinggi berbanding daerah lain di Filipina dalam makanan seharian mereka.
Prof Philippe Legrand dari Peranchis yang merupakan seorang pakar biokimia dari Makmal Biokimia dan Pemakanan Manusia di Universiti Agronomidi, Rennes, Peranchis mempunyai pendapat yang sama berkenaan santan dan kesannya kepada paras kolesterol. Beliau menyatakan bahawa bahan didalam santan atau minyak kelapa iaitu asid laurik dan asid miristik iaitu asid lemak dalam kumpulan asid lemak rantaian sederhana (MCFA) lebih cepat dimetabolismakan dalam hati manusia dan menurunkan paras kolesterol oleh itu ia mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular. Disamping itu juga santan atau minyak kelapa ini mempunyai kesan positif yang lain seperti anti fungal, anti virus, anti mikrobial dan anti protozoa. Menurut beliau , santan boleh menjadi sebahagian dari diet yang sihat jika diambil secara sederhana dan tidak menyebabkan peningkatan kolesterol dalam darah.
Terdapat juga satu kajian yang dijalankan di Kerala , India yang dilaporkan dalam Indian Journal of Biochemistry pada tahun 2009 yang memberikan kesimpulan yang positif kepada kesihatan dengan pengambilan santan dalam makanan. Kajian ini membandingkan pengambilan minyak kelapa dengan pengambilan minyak bunga matahari dalam pemakanan seharian dan perbezaannya dengan paras kolesterol diantara keduanya. Hasil kajian ini merumuskan bahawa tiada perbezaan diantara pengambilan diantara kedua-dua jenis minyak masak ini dengan paras kolestrol dalam darah. Oleh itu , pendapat yang menyatakan pengambilan santan menyebabkan peningkatan paras kolestrol dalam darah adalah suatu pendapat yang kurang tepat.
Terdapat banyak juga kajian lain yang merumuskan fakta yang bertentangan, tetapi kajian-kajian yang menunjukkan santan bukanlah faktor utama yang menyebabkan masalah kolesterol yang tinggi. Kajian juga mendapati penduduk dunia yang makan santan setiap hari mempunyai kadar penyakit jantung yang lebih rendah berbanding dengan masyarakat moden yang mengambil makanan segera dan makanan proses seperti kajian di Kepulauan Puka-Puka dan Tokelau.
Didalam buku ‘The Coconut Oil Miracle’ tulisan Dr Bruce Fife secara jelas memberikan banyak bukti-bukti kajian saintifik tentang kelebihan minyak kelapa dan santan kepada kesihatan terutama kesihatan kardiovaskular. Anda boleh merujuk buku ini untuk maklumat yang lebih mendalam tentang kelebihan minyak kelapa dan santan.
Kajian-kajian terkini mendapati pengambilan karbohidrat dan gula yang tinggi adalah lebih berkait rapat dengan masalah penyakit kardiovaskular dan peningkatan paras kolesterol berbanding pengambilan lemak atau minyak dalam makanan. Kajian juga mendapati pesakit kencing manis selalunya mempunyai paras kolesterol yang lebih tinggi kerana paras gula yang tinggi dalam darah walaupun tidak makan santan setiap hari.
Ambillah santan dalam pemakanan sebagaimana yang biasa tanpa kita perlu bimbang tentang kesan kepada kesihatan jantung tetapi yang perlu kita kawal adalah pengambilan GULA pasir dan makanan proses kerana kandungan lemak TRANS nya yang merbahaya kepada kesihatan jantung.
Insyaallah.
Wassalam
Dr Norman Mohd Norawi
MBBS (Man), MSc(UCSI), FAGE
sumber: Dr Zubaidi Hj Ahmad