“Sanggup buang rasa malu demi anak.” Ayah Ni Kutip Teddy Bear Di Tempat Sampah, Bawa Balik Bagi Anak. Sebak!

Share

Ibu bapa mana yang tidak sayangkan anak-anak kan. Walau seribu kesusahan sekali pun, mereka sanggup berkorban apa sahaja demi melihat anak-anak gembira dan bahagia. Biar susah sekalipun segalanya hilang tatkala melihat gembiraan terpancar pada wajah anak mereka.

Baru-baru ini tular di media sosial bila mana saudara Azri Walter telah berkongsi kisah seorang ayah yang gigih mengangkut teddy bear menggunakan motosikal untuk dibawa pulang dan diberi kepada anaknya.

Apa yang menyentuh hati adalah, lelaki ini sanggup membuang rasa malu dengan mengambil anak patung berkenaan dari tempat buangan sampah kerana dia tidak mampu membeli dek kerana harganya yang mahal.
Tadi saya nak pergi ke ofis di Putrajaya. Jalan lengang waktu itu. Saya memandu sambil chill layan angin petang.
Waktu nak sampai di lampu isyarat, saya nampak seorang lelaki bawa motor. Saya nampak dia macam ada bawa sesuatu. Saya rapatkan kereta dan saya jenguk. Memang betul. Dia bawa teddy bear besar.
Kebetulan lampu merah. Saya berhenti bersebelahan dengan dia. Saya turunkan tingkap dan tanya “Bang, besar teddy bear tu. Nak bawa ke mana tu?”
Dia angkat tunjuk dekat saya. Dia buka pelitup muka dan dia cakap ” Ya bang. Ini saya jumpa waktu kerja tadi. Dekat tempat sampah ada orang buang, saya ambil bang”
Saya tanya lagi “Tu nak bawa balik bagi anak ke?”
Dia terdiam. Dia pandang teddy bear tu, dia pandang saya. Saya pandang dia.
Tajam renungan dia lalu dia berkata “Ya bang. Anak saya lagi mahu teddy bear. Kelmarin ada nampak di kedai. Tapi harganya mahal sangat. Boleh buat lauk makan keluarga bang. (Sambil ketawa). Ini bear tadi saya jumpa dekat tempat sampah, masih elok. Memang rejeki dia. Nanti saya basuh bersih, saya bagi dia mesti dia suka”
Ya Allah. Sayu bunyinya. Saya tergamam sekejap. Lampu bertukar hijau. Dia angkat tangan dekat saya. Saya cakap dekat dia “Hati-hati bang. Nak hujan ni. Abang memang ayah terbaik”
Sekejap sahaja Tuhan hantarkan saya peringatan. Atas apa jua kepayahan yang sedang kita lalui, ada orang lebih susah dari kita.
Begitulah kasihnya seorang ayah. Kita selalu dengar kisah pengorbanan ibu dan para wanita. Namun, usah kita lupa pengorbanan para lelaki.
Setiap hari mereka keluar mencari rezeki. Entah hujan, entah panas. Tak siapa yang tahu apa dilalui setiap hari bagi memastikan ada nasi di atas pinggan untuk keluarga.
Lelaki ni memang jenis tak suka sangat bercerita apa yang mereka lalui di luar. Tanggungjawab di bahu yang dipikul bukan mudah. Kadang tu, atas motor tak perasan air mata berlinang. Betul tak?
Buat para lelaki, moga terus kuat semangat semuanya. Setiap tanggungjawab ini, ada ganjaran pahala di sisi Tuhan.
Mari kita semua bersama-sama terus melawan kerasnya hidup ini. Kita tidak boleh putus asa kerana di belakang kita ada harapan yang perlu dipenuhi.
Kalau rasa down, tatap sekejap wajah-wajah insan yang Tuhan amanahkan untuk kita.
Nescaya, membara semangat!

Azri Walter

#f2fmafia