Sangat Terinspirasi! Bangun Sahur & Berbuka, Kali Ini Dah 12 Tahun Dr Soo Wincci Berpuasa Di Bulan Ramadan

Share

Siapa sangka, ramadan kali ini merupakan tahun ke 12 buat pelakon, penyanyi dan pensyarah, Prof Madya Dr Soo Wincci, 38, menjalani aktiviti berpuasa!

Perkara ini dikongsikan sendiri kepada pengikutnya di laman Instagram tentang menu berbuka, bersahur serta berkongsi jadual waktu berbuka dan imsak sepanjang Ramadan.

Memetik laporan dari Harian Metro, Wincci, dia bukan saja berpuasa penuh pada bulan Ramadan, malah turut berpuasa enam pada bulan Syawal.

“Berpuasa bukan saja untuk menjaga kesihatan tetapi dapat membantu kekuatan mental dan fizikal serta lebih fokus ketika bekerja,” katanya.

Berkongsi pengalaman berpuasa, Wincci berkata, dia berasa agak letih pada hari pertama berpuasa semalam kerana terbabit dengan penggambaran drama 15 episod berjudul The Queen’s Ploy.

“Saya sibuk dengan penggambaran drama pada Ramadan ini dan hanya berbuka juadah yang ringkas untuk berbuka di lokasi.

“Kalau ada kelapangan, saya memang akan membeli juadah berbuka di bazar Ramadan,” katanya.

Ditanya mengenai bersahur pula, kata Wincci, dia pastikan bangun pada jam 5 pagi.

“Saya memilih untuk makan kurma, buah anggur, makan makanan yang mentah dan minum kopi untuk mendapat tenaga sepanjang berpuasa.

“Kalau makan nasi ketika bersahur, saya akan berasa sangat lapar sepanjang hari,” katanya.

Sementara itu, ditanya penerimaan keluarganya pula, kata Wincci, ibu bapanya serta anggota keluarga yang lain juga sudah dapat menerima rutinnya yang berpuasa pada bulan Ramadan itu.

“Ketika mula-mula berpuasa dulu, memang ramai yang membantah kerana saya bukan beragama Islam. Namun, lama kelamaan ibu bapa dan anggota keluarga lain sudah menerima dengan hati terbuka. Malah, ibu bapa juga menemani saya membeli kurma dan berbuka puasa bersama,” katanya.

Sumber : Harian Metro