Bila nampak je kucing,mesti pecinta kucing jadi teruja sehingga ada yang sanggup berhenti dari berjalan dan mengusap lembut haiwan kesayangan Nabi Muhammad SWT itu. Malah kucing adalah antara haiwan kesayangan yang sering dijadikan peneman setia.
Tetapi, dalam ramai yang menyukai si bulus ini, hakikatnya masih terdapat ramai orang yang takut terhadap kucing, malah ada juga yang tak senang dengan bau najis mereka.
Isu kucing jiran berak merata-rata di rumah orang lain bukanlah benda yang asing. Lebih-lebih lagi bukan sekali perkara itu terjadi di rumah kita dan berkali-kali menegur namun tiada penyelesaian dibuat. Waktu tu mula lah, ‘nak marah, tapi kena sabar…’.
Itulah yang dirasai oleh seorang pesara guru, Puan Abidah Mohd Noor, yang mengalami masalah kucing berak di rumahnya.
Dalam video yang dikongsikan di laman Tiktok miliknya, ketika sedang santai membersihkan perkarangan rumahnya, dia seakan-akan berubah bad mood kerana rupanya telah tersapu najis kucing milik jirannya.
“Taik kucing… Satu dua tiga, sampai tiga longgok ni. Bela kucing menyusahkan jiran.” katanya dalam video tersebut.
Tahap kesabarannya telah melebihi had memandangkan situasi sebegitu sudah dihadapi selama puluhan tahun. Bukan sahaja berak di laman rumah, malahan pernah juga kain alas kaki terpaksa dibuang ekoran menjadi ‘target’ kucing jirannya. Malah, pernah juga berlaku ketika pergi bercuti selama 3 hari apabila dia mendapati 8 longgok najis kucing terkumpul di dalam dapur miliknya.
Langsung tidak membenci haiwan tersebut, namun dia berharap agar tuan badan dapat menjaga kucing-kucing mereka sebaiknya.
@abidahmohdnoorkucing mmg kesayangan nabi so pastikan kucing anda tidak membuang di laman jiran
Meninjau di ruangan komen, ada yang mengadu turut hadapi masalah yang sama kucing berak di halaman rumah mereka sehingga ada yang tidak bertegur sapa dengan jiran disebabkan masalah ini. Malah, ada juga yang bersifat positif menganggap itu semua sebagai ujian.
Sumber : @abidahmohdnoor
Ini Amalah Yang Diajar Rasulullah SAW Kepada Anaknya. Ibu Ayah Kena Alert Ye
”Tarik Nafas Dalam-Dalam…” Doktor Ceritakan Detik Cemas Apabila Mangsa Insiden LRT Tiba Di Hospital.
Semalam negara dikejutkan dengan berita insiden dua gerabak transit aliran ringan (LRT) laluan Kelana Jaya bertembung di terowong berhampiran KLCC.
Kejadian tular di media socmedia yang melaporkan kejadian yang melibatkan 213 penumpang. Rata-rata warganet yang mengikuti berita melahirkan rasa terkejut dan sedih.
Tindakan pantas para penyelamat bergegas ke tempat kejadian amat dikagumi. Malah penumpang segera dihantar ke pusat perubatan yang berhampiran.
Rentetan daripada itu, seorang pegawai perubatan menceritakan detik cemas di hospital kala merawat pesakit. Bayangkan pesakit dihantar dalam jumlah yang ramai ada antaranya dalam keadaan parah. Lebih mencabar apabila hospital juga sedang bergelut dengan pesakit yang ramai dijangkiti covid-19.
Bukan calang-calang untuk hadapi situasi cabaran ‘berganda’ ini. Ikuti lanjut perkongsian ini.
Bencana LRT Semasa Pandemik
Semasa pandemik, hospital-hospital di seluruh Malaysia bergelut dan berhempas pulas untuk menempatkan pesakit-pesakit Covid saban hari. Apabila, saya masuk untuk bekerja pada pukul 10 malam di Jabatan Kecemasan & Trauma HKL, saya dikejutkan dengan berita bahawa terdapat insiden dua gerabak transit aliran ringan (LRT) laluan Kelana Jaya bertembung di terowong berhampiran KLCC.
Terdapat 213 orang penumpang dalam gerabak tersebut. Sebelum saya masuk, terdapat 3 pakar Kecemasan yang bertugas iaitu Dr Nurul Liana, Dr Azman dan Dr Khairul Izwan. Kejadian dikhabarkan berlaku pada pukul 8.33 malam.
SIAP SEDIA MANGSA
Kira-kira setengah jam sebelum saya masuk, Dr Liana dikejutkan dengan 3 pesakit kritikal yang datang serentak. 5 minit selepas itu, 12 ambulans tiba. Dr Liana segera menghubungi Ketua Jabatan kami, Datuk Dr Mahathar dan dengan cemas melaporkan situasi.
“Tarik nafas dalam-dalammm…” Datuk Mahathar menenangkan Dr Liana. Dia mendengar setiap butir cerita. Pusat Panggilan Kecemasan memaklumkan ada 47 mangsa.
Kami selalu mengusik Dr Liana kerana kerapkali insiden ‘bencana’ berlaku ketika dia bertugas. Dia pula tetap ‘rancak’ walaupun sarat mengandung.
Dari perkiraan Datuk Mahathar, dengan mengoptimakan staf, kami masih dapat menampung pesakit asalkan tidak melebihi 50 orang. Tambahan pula, agak dikhuatiri jika pesakit yang salah dibawa ke hospital yang salah.
Misalnya, pesakit dengan kecederaan otak tidak harus dibawa ke hospital yang tidak ada pakar neurosurgeri. Maka semuanya diterima oleh HKL. Jika mangsa lebih dari 50, kami akan ‘berkongsi’ pesakit-pesakit dengan hospital-hospital lain. Ini pernah kami lakukan pada masa lalu.
Di tempat kejadian, sudah ada lebih 10 ambulans dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, pasukan ambulans Bomba dan Penyelamat, pasukan St John’s Ambulance Malaysia dan pasukan ambulans dari Hospital Kuala Lumpur.
Apabila masuk kerja, saya sedar, perkara pertama adalah untuk memahami situasi. Setelah ini saya lakukan dan mendapat semua maklumat, saya mula fikirkan tentang penempatan pesakit-pesakit di setiap zon. Kita perlu besarkan setiap zon.
Maka saya membuat ‘ briefing’ ringkas di zon merah dan zon kuning yang tidak terlibat dengan kes-kes Covid. Semua petugas syif petang diarahkan untuk tidak pulang dan bersama-sama petugas syif malam menyelesaikan setiap kes.
SENARAI NAMA PESAKIT DI WHITEBOARD
“Penyelia-penyelia, buka katil-katil kanvas di zon-zon tambahan. Team leader malam, agihkan semua staf untuk ambil pesakit. Sister, gunakan tag lain warna untuk asingkan pesakit insiden dan pesakit yang lain. Sila senaraikan semua nama pesakit insiden di ‘whiteboard’.”
Saya tahu, semua petugas syif petang keletihan kerana sudah sampai masa untuk mereka pulang. Tetapi mereka sangat tabah dan sabar. Tidak ada satu wajahpun yang memperlihatkan riak wajah yang tidak suka dengan arahan ini. Sebaliknya semua nampak bersemangat.
Saya bernasib baik, kerana selain 3 pakar yang sudah ada, ada lagi pakar-pakar lain yang datang dari rumah – Dr Ibrahim, Dr Rathini, Dr Hafiz dan Dr Amira sudahpun sampai. Malah ada pakar kecemasan, Dr Shah Jahan dari Hospital Sungai Buloh yang turut serta. “My house dekat jer,” katanya.
Pakar-pakar ini dibahagi-bahagikan ke setiap zon untuk merawat pesakit bersama pasukan kami.
Ketua Jabatan kami, Datuk Dr Mahathar pun tiba sejurus selepas itu dan mula memantau semua perawatan pesakit. Hati kami semakin berbunga kerana pengarah kami, Datuk Dr Heric Coray sudah tercegat di tepi pintu.
Sementara Datuk Mahathar dengan pantas dan teliti memeriksa pesakit-pesakit malah ada yang sudah siap dibuat pemeriksaan ultrasound, Datuk Herric pula kami berikan maklumat insiden.
Dia sangat membantu, dengan memberikan arahan kepada pasukan kejururawatan untuk melihat katil-katil wad bagi menampung tambahan pesakit. Dia tidak sedikitpun mengganggu tugas kami dan saya tahu, fikirannya berligat mahu memudahkan semua kerumitan ini.
Saya katakan kepadanya, “Datuk, we have 42 patients in the green zone and they are all queing up for X-Ray in the emergency department. If we can get the radiologist to open their X-Ray department, we can send those who can walk there and speed up all X-Rays.”
Sepantas itu, dia terus menelefon ketua jabatan radiologi, Dr Shantini. Dr Shantini terus bersetuju. Dr Amira selepas itu mengumpulkan semua pesakit yang perlukan X-Ray dari zon hijau dan seramai 19 orang dihantar untuk secara berkumpulan. Ianya menjadi pantas.
Pakar-pakar Neurosurgeri, Anestesiologi, Surgeri dan Ortopedik juga turun dan bersama mereka keputusan pembedahan dan kemasukan wad juga pantas setelah semua pesakit diperiksa dan distabilkan oleh pasukan kami.
Dengan kekuatan dua syif seramai sekitar 400 orang, Pegawai-pegawai perubatan, Penolong Pegawai Perubata, Jururawat dan Pembantu Perawatan Kesihatan bekerja pantas dan tanpa henti.
Malah kami juga melihat ‘houseman’ yang membantu tanpa mengira lelah setelah seharian bekerja. Terdetik juga di hati saya, ‘mereka lebih dari layak diberikan jawatan tetap dan bukan hanya kontrak’. Semoga Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan dapat membuat rancangan yang baik untuk mereka.
Sementara semua ini berlaku, pesakit-pesakit Covid atau bukan-Covid yang sudah sedia ada di jabatan tetap dirawat seperti biasa.
SITUASI MENJELANG TENGAH MALAM
Menjelang pukul 12, seramai 67 pesakit sudahpun ada di jabatan kami dan pasukan yang ada berkerja dengan efisyen. Respons di tempat kejadian sudah diisytiharkan ‘stand down’ pada pukul 11.37 malam.
Pasukan kejururawatan telah menyediakan katil-katil di hospital untuk semua yang perlukan ICU dan Wad. dari 67 pesakit, 6 adalah kritikal, 19 separa kritikal manakala 42 adalah tidak kritikal.
Kami juga perlu memeriksa suhu badan dan memastikan mereka tidak ada gejala Covid semasa memberikan rawatan. Malah bagi setiap pesakit yang perlukan kemasukan wad, ujian RTK antigen atau Gene Expert PCR dibuat.
Akhirnya, menjelang pukul 1 pagi, semua pesakit selesai diperiksa dan telah ada perancangan rawatan. Maka pada pukul 1.25 pagi, kami semua mengadakan sesi ‘debriefing’. Semua gembira kerana insiden ini dapat ditangani dengan amat efisyen berkat kerjasama semua di HKL. Kami melepaskan petugas syif petang untuk pulang.
Datuk Dr Mahathar mengucapkan terima kasih kepada semua petugas dan akhirnya dia mengisythiharkan ‘stand down’ tepat jam 1.38 pagi.
Walaupun insiden ini dapat ditangani, ‘loceng’ terus berbunyi bagi kes-kes Covid yang datang ke hospital membawa pesakit yang tercungap-cungap. Dua daripada mereka terpaksa kami ‘tidurkan’ dan pasangkan mesin ventilator.
Bencana seperti ini tidak memilih masa malah masih boleh berlaku ketika pandemik dan mengusutkan lagi keadaan.
Tidak kira walau apapun krisis yang menimpa, kita harus tenang, rasional, sabar dan bersatu hati menyelesaikan setiap masalah.
Jika semua mencurahkan tenaga untuk ‘menjambatankan’ setiap jurang, setiap ribut dapat kita hadapi bersama.
Sumber: Dr Alzamani Mohammad Idrose
Walau Diuji Dengan Keuzuran Suami, Ibu Anak Empat Ni Terus Cekal Lalui PKP!
Semenjak Perintah Kawalan Pergerakan yang diumunkan pasa 18hb yang lalu hingga kini, tentunya setiap antara kita punya jalan cerita yang berbeza.
Dulunya bebas hendak ke mana jua, namun kini terbatas pergerakan. Dulu boleh mencari rezeki dengan gigihnya, namun hari ini terhalang usahanya.
Keadaan ini mungkin ada yang berasa tidak selesa, berasa sukarnya hidup. Namun jangan lupa mungkin apa yang kita rasa susahnya saat ini ada keluarga lain lagi sukar hidupnya pun begitu tetap positif meneruskan hidup.
Ini sebagaimana perkongsian ibu anak empat ini dan semoga anda terinspirasi membacanya.
Assalamulaikum dan Selamat Pagi.
Ini pandangan dari tingkap bilik tidur saya.
Hari ke 11 perintah kawalan pergerakan dan Abe Mie masih belum jemu mengajak saya keluar. Setiap hari ayat yang sama. Mahu ke Kok Lanas dan mahu ke rumah abangnya.
Adakalanya responnya tenang, adakalanya agak keras disusuli tantrum. Jemu di paras maksima barangkali.
Biasanya seminggu sekali saya akan bawa Abe Mie keluar sarapan dan makan malam di luar. Kemudian saya akan bawa Abe Mie ke perkuburan di mana arwah ayah mertua, ibu mertua, dua orang kakak dan seorang abangnya disemadikan.
Kami hanya duduk di dalam kereta di tepi tanah perkuburan. Abe Mie akan menadah tangan sambil tunduk khusyuk membaca doa. Apa agaknya doa Abe Mie. Adakalanya kelihatan butir-butir permata kecil terbit di hujung matanya. Betapa kasihnya beliau pada arwah ayah, arwah mek dan saudaranya.
Perintah kawalan pergerakan amat mencabar buat kami seisi keluarga dengan keadaan mental disability Abe Mie sebegini. Beberapa hari lepas saya lupa kunci pintu bilik stor dan suis lampu bilik tersebut tak boleh dibuka. Jika dibuka akan short circuit bahagian lain di dalam rumah. Tak sempat panggil juruelektrik datang baiki dah kena perintah kawalan pergerakan. Saya beli lampu kalimantang dahulu gantikan lampu dapur dan lampu hall tengah yang rosak. Kipas di hall pun pakai kipas meja dahulu.
Makan minum juga mencabar, serba tidak kena. Sejak sakit begini Abe Mie tak suka makan benda yang sama berulang. Jenuh juga nak masak setiap masa.
Sebelum perintah kawalan pergerakan biasanya saya beli sahaja serba sebungkus untuk Abe Mie makanan berlainan seperti bihun goreng, mee goreng dan nasi serta kuih di waktu pagi selepas hantar anak-anak ke sekolah. Kemudian terus masukkan ke dalam peti sejuk dan panaskan di dalam microwave sahaja apabila beliau mahu makan. Inilah kaedah yang terbaik setelah try and error selama empat tahun. Saya hanya masak satu jenis lauk untuk saya dan anak-anak.
Setiap hari saya berperang dengan masa. Bukan mudah untuk uruskan serba serbi sambil mencari rezeki dari rumah apabila segalanya di bahu kita. Perkara-perkara remeh seperti memasak dan mengemas ini mencuri banyak masa.Kalian sedang laluinya sekarang bagaimana rasanya bekerja sepenuh masa di rumah.
Saya ada pakej tambahan lain sejak empat tahun yang lalu, bekerja sepenuh masa dari rumah sambil menjaga suami uzur serta tugas uruskan empat orang anak.
Tempoh kawalan pergerakan bertambah meletihkan bagi mereka yang berada di dalam kasut yang sama seperti saya. Sekali keluar perlu harung berbagai urusan sekaligus. Ambil duit, buang sampah, beli groceries, temujanji hospital dan sebagainya. Dalam keadaan sekarang sebagai ketua keluarga mahu tidak mahu perlu uruskannya juga.
Jika kalian masih ada pasangan yang boleh berkongsi rasa, berkongsi penat lelah apatah lagi dalam situasi seperti sekarang…itu sudah cukup hebat buat saya, nikmat besar, nikmat kasih sayang pasangan.
Jika kalian tidak perlu bersekang mata dan lelah emosi setiap hari melayan kerenah pesakit, itu juga nikmat besar kalian ada, nikmat masa.
Begitu juga saya, walaupun diuji dengan kesihatan suami, saya masih Allah swt beri rezeki makan pakai dan gelak tawa anak-anak di dalam rumah ini dengan melimpah ruah.
Begitulah. Kuncinya dari kaca jendela bersih atau kelabu kita pandang aturan hidup kita. Sentiasa bersangka baik dengan Penulis Agung cerita hidup kita, Allah swt.
Zurots
Kerana syurga bukan percuma.
sumber : Azura Abdullah