Sambut Kelahiran Cucu Kembar Di Rumah. Doktor Pakar Awal Kanak-kanak Ni Kongsi Pengalamannya!

Share

Bergelar nenek tentu sesiapa pun mempunyai kisah dan jalan cerita yang menarik untuk dikongsikan kepada anak cucunya. Begitu juga buat Dr. Mahani Razali, Pakar Awal Kanak-kanak yang bergelar nenek di usia muda. Malah apa yang lebih menarik pengalamannya menyambut cucu kembar yang bersalin di rumah. Ikuti perkongsiannya.


Dipanggil nenek mahu pun opah pada usia muda bukanlah satu mimpi ngeri bagi saya. Ia sebenarnya adalah satu anugerah Allah yang sukar diceritakan tentang kebahagian yang dirasai.

Ia juga merupakan pengalaman indah yang perlu dikongsikan kepada orang lain agar merasa bahagia dan menganggap betapa bertuahnya  di beri anugerah panggilan ini dalam keadaan diri masih sihat dan bertenaga untuk mendukung cucu kesayangan ke  sana sini.

Segalanya bermula  3 tahun dulu bila anak sulung saya, Siti Athirah menyuarakan hasrat untuk berumahtangga pada usia 23 tahun. Pada masa tersebut beliau masih berada pada tahun akhir di Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjung Malim Perak. Pasangannya juga adalah pelajar tahun akhir di universiti yang sama. Memandangkan saya hanya mempunyai dua orang sahaja anak, maka keputusan ini saya terima dengan penuh redha dan  gembira kerana sememangnya saya mengharap kehadiran ahli keluarga yang baru bagi menambahkan lagi bilangan ahli keluarga kami yang kecil.

Sebagai ibu yang berkerjaya, saya sangat positif dengan perkahwinan di usia muda dan saya tidak menghalang atau menasihatkan Athirah supaya merancang dahulu kelahiran anak pertama. Bagi saya, setiap anak yang di lahirkan akan ada rezekinya  sendiri yang  telah ditentukan oleh Allah subhanahuwataala. Athirah di sahkan mengandung sebulan selepas majlis perkahwinannya dan ini bermakna saya akan menjadi nenek pada tahun yang sama kerana Athirah berkahwin pada awal tahun.

Saya agak bertuah kerana Athirah merupakan anak yang sangat obses dalam melengkapkan dirinya dengan ilmu kehamilan dan ilmu-ilmu persediaan menjadi seorang ibu. Jujur saya katakan, bahawa saya sangat kagum dengan keterujaan Athirah dan mendalami ilmu-ilmu tersebut melalui kelas-kelas berbayar dan juga melalui pembacaan buku-buku serta melalui media sosial.

Sebagai ibu, saya memberi sepenuh kepercayaan kepada beliau dalam usaha mencari ilmu ini memandangkan saya juga bertugas sebagai pensyarah dalam bidang awal kanak kanak. Saya tahu banyak hal-hal yang berkaitan dengan kanak-kanak yang perlu di ketahuinya.

Bersalin di rumah

Adakalanya Athirah sering menceritakan kepada saya hasil penemuaannya dari bahan- bahan bacaan dan saya juga sebenarnya banyak mempelajari pelbagai ilmu baru dari beliau. Cuma hati saya mula berkocak bimbang apabila Athirah menyuarakan hasratnya untuk bersalin anak pertama secara normal di rumah kami sendiri. Saya agak terkedu dan tidak segera memberi persetujuan pada cadangan tersebut.

Sejak dari itu, hati saya mula berdebar-debar dengan kemampuan untuk menghadapi situasi ini. Apa pun saya terus memberi sokongan pada Athirah dengan meminta dia membuat  pemeriksaan bayi dalam kandungan secara teratur bagi memastikan bayi tersebut tidak mempunyai apa apa komplikasi untuk bersalin secara normal di rumah. Sebagai ibu saya hanya mampu berdoa dan terus berdoa tanpa henti moga Allah permudahkan urusan ini. Sebagai persiapan untuk bersalin secara normal ini juga, kedua-dua anak menantu saya telah hadir ke kelas melahirkan anak secara normal di rumah.

Alhamdulillah, tepat pada waktunya, Athirah melahirkan bayinya di rumah dengan di temani oleh suaminya dan seorang teman tanpa saya di sisi kerana waktu tersebut saya berada di Johor Baharu kerana bertugas. Saya masih ingat dalam pukul 7.00 pagi lebih kurang, saya menerima panggilan dari menantu saya mengatakan bahawa Athirah telah selamat melahirkan seorang bayi perempuan. Syukur.

Debaran saya tidak berakhir begitu sahaja, tidak sampai setahun kelahiran Maryam, saya di kejutkan dengan berita gembira iaitu Athirah hamil lagi dan kali ini disahkan kembar dua. Seperti biasa sekali lagi Athirah membuat keputusan untuk bersalin di rumah juga. Walapun telah ada pengalaman bersalin yang pertama, tapi memandangkan kali ni melahirkan anak kembar, saya sekali lagi diusik rasa bimbang dan ragu.Namum saya buang jauh jauh rasa tersebut dan terus memberi sokongan pada Athirah untuk meneruskan hasratnya bersalin di rumah.

Apa yang paling manis dan pengalaman paling berharga pada saya kali ini ialah, saya bersama sama dengan menantu Hakim sama-sama berganding bahu menjadi bidan bagi menyambut kelahiran kembar Soffiya dan Safiyya. Jarak kelahiran Antara Safiyya dan Soffiya hanya lebih kurang 15 minit sahaja. Tidak berlaku sebarang komplikasi  pendaharan pada Athirah dan segala galanya berjalan lancar.Bayi kembar juga sihat dan sempurna

Perlu ingat

  1. Jika ingin bersalin secara normal di rumah, lengkapkan diri sepenuhnya dengan ilmu.
  2. Jalanilah pemeriksaan kandungan bagi mengetahui posisi dan kedudukan kesihatan bayi dengan sepenuhnya  dari awal kehamilan hinggalah ke saat saat akhir kehamilan.
  3. Jangan memperjudikan nyawa bayi tanpa ilmu.

Rasa bertuah

Saya rasa sangat bertuah dan bahagia melalui semua proses dan pengalaman  ini. Walapun adakalanya berlaku juga pertentangan pendapat antara kami, tapi saya selalu mengambil jalan membuka minda menerima dan sebagai ibu saya akan tetap memberi teguran yang sewajarnya. Pada saya, banyak yang saya pelajari dari Athirah sebagai ibu muda yang berada dalam zaman IT yang serba moden. Adakalanya ilmu ilmu baru yang diperolehinya dan hasil dari perbincangan antara kami telah banyak mengubah persepsi saya tentang banyak perkara juga terutamanya tentang proses kelahiran.

Dalam proses mendidik juga, saya tidak banyak campur tangan urusan mendidik cucu cucu saya. Saya memberi sepenuh kepercayaan pada Athirah dan suami dalam mengurus dan mendidik anak anak mereka.

Bagi memastikan wujud keakraban antara saya dan cucu-cucu, saya memastikan saya mempunyai masa yang berkualiti bersama mereka. Alhamdulillah setakat ini, hubungan kami sangat rapat. Dan sebagai nenek yang berkerjaya  dan sebagai persediaan menghadapi usia tua, saya membahagikan masa saya dengan terutur.

Misalnya saya peruntukkan waktu untuk ke surau atau masjid tanpa gangguan cucu-cucu.Di mana ada kesempatan saya akan membawa Maryam terutama mengikuti saya ke mana mana saya pergi terutamanya sewaktu membeli belah. Pada saya, inilah masanya juga untuk saya melayani kerenah cucu.

Nasihat saya pada nenek-nenek dan opah-opah di luar sana, kita boleh membantu dan memantau, tapi biarlah anak-anak yang menguruskan sendiri urusan keluarga mereka. Mereka akan menjadi lebih bertanggungjawab dan lebih banyak pengalaman yang di perolehi. Pengalaman yang dilalui ini akan mematangkan mereka dalam menerima ahli keluarga baru yang seterusnya.