Sambal tempe ada bermacam versi. Ada sambal tempe kering dan juga basah. Sambal tempe selalunya menjadi menu penambah selera. Jika anda suka melancong ke luar negara, sambal tempe sering dibawa bersama untuk dinikmati bersama nasi putih.
Jika anda gemarkan sambal tempe jenis basah, bolehlah cuba resipi seperti yang dikongsikan oleh Mariana Zainal ini. Bilisnya pun rangup. Boleh buat stok simpan dalam bekas kedap udara. Senang bila teringin nak makan.
RESIPI SAMBAL TEMPE BASAH
BAHAN-BAHAN:
4 paket tempe – hiris nipis & goreng garing
4 biji ubi kentang – potong nipis & goreng
2 genggam ikan bilis – goreng garing
2 ½ sudu makan gula
1 sudu teh garam
Sedikit bahan perasa
1 keping asam gelugur
1/2 cawan air – sebaiknya guna air panas
Minyak masak secukupnya
BAHAN KISAR HALUS:
25 tangkai cili kering
1 biji bawang besar – jika saiz kecil, tambahkan 1 biji lagi
5 ulas bawang putih
1 cawan minyak masak
CARA MEMASAK:
1. Panaskan minyak dalam kuali dan masukkan bahan kisar.
2. Tambahkan gula, garam, bahan perasa dan asam gelugur. Masak lagi hingga pecah minyak dan sambal garing.
3. Tambahkan air. Biarkan sambal mendidih dan menjadi pekat.
4. Masukkan tempe dan ubi kentang yang telah digoreng tadi. Gaul rata.
5. Seterusnya masukkan ikan bilis yang digoreng garing. Gaul lagi hingga semua bahan sekata.
6. Siap dan sedia untuk dinikmati. Jika suka, boleh buang lebihan minyak dalam kuali.
Kredit resipi & foto: Mariana Zainal