“Salah Satu Perubahan Terbesar, Ainul Mula Terima Makanan & Minuman Masuk Dalam Mulut Dia!” – Ibu Ainul

Share

Bila sebut tentang adik Ainul Mardhiah, semestinya satu Malaysia mengenali anak kecil yang sebelum ini pernah mendapat perhatian ramai dek kerana ketumbuhan dalam mulut dan selamat menjalani pembedahan di luar negara.

Baru-baru ini, ibunya Nurul Erwani Zaidi ada memuat naik perkembangan terbaharu tentang perkembangan positif dari aspek kesihatan puterinya itu. Ainul yang kini sudah berusia empat tahun itu sudah mula dapat menerima makanan dan minuman yang dimasukkan melalui mulutnya.

Menurutnya, sejak dilahirkan, anaknya tidak pernah menggunakan deria mengunyah dan menelan sebaliknya hanya dilatih pada bahagian mulut selepas pembedahan pada tahun 2019 lalu.

“BismillahiMashaAllah Salah satu perubahan terbesar untuk Ainul. Ainul dah mula nak terima makanan dan minuman masuk dalam mulut dia! Alhamdulillah. Dia dah start explore rasa rasa makanan ya.

“Yang mana masih tanya lagi kenapa Ainul masih belum makan ikut mulut lagi ialah sebab Ainul masih trauma dengan penyakit dia waktu dulu.

“Dari lepas lahir ainul tak gunakan mulut langsung untuk develop dia punya mode kunyah dan telan. So dari situ…

“…lepas operation kena kerap stimulate bahagian mulut supaya Ainul kena biasakan mulut dia bergerak,” tulisnya menerusi satu perkongsian di laman Instagram.

Tambahnya, dia juga sudah mula memakaikan peralatan ‘trach valve’ pada Ainul bagi memudahkan pernafasan melalui mulut dan hidung selain dapat mendengar suara anaknya.

“Sekarang ni, mama Ainul dah start pakaikan Ainul trach valve untuk bagi Ainul bernafas guna mulut dan hidung dan guna trach valve ni juga boleh dengar suara Ainul tau.

“Alhamdulillah Ainul selesa bila mama Ainul bagi guna trach valve ni. Dan nak latih juga Ainul sebelum Ainul nak off trachy nanti,” tambahnya.

Jelas ibu kepada dua cahaya mata itu, dia dan suaminya Ahmad Safiuddin Ahmad Razak merancang untuk membawa Ainul ke hospital bagi menjalani latihan berhubung proses simulasi berkenaan.

Pada masa sama, mereka berharap peralatan tersebut dapat diberhentikan sebaik Ainul sudah biasa dengan pernafasan melalui hidung dan mulut.

“Dalam masa terdekat ni dan Ainul pun sihat, plan mama dan walid Ainul akan bawa Ainul ke HUKM untuk buat asessment pada trachy Ainul dan akan offkan trachy Ainul. Salah satu sebab nak offkan as soon as possible sebab taknak Ainul selalu kena infection.

“Pakai trachy ni akan cepat sangat kena infection sebab saluran trachy ni direct ke paru-paru itu yang menyebabkan akan senang berjangkit dengan orang yang batuk dan selsema.

“InshaAllah ada masa mama Ainul akan update proses Ainul seterusnya ya!,” ujarnya.

 Pada bulan Ogos tahun lalu, Ainul dilaporkan berada dalam keadaan kritikal akibat jangkitan virus sebelum beransur pulih dan sihat sehingga ke hari ini.

Sumber: Instagram Nurul Erwani Zaidi