Dah jadi tabiat, kalau telinga tak selesa je, korek! Tahu tak, tindakan mengorek tahi telinga menggunakan besi atau putik kapas itu salah dan boleh menyebabkan gegedang telinga pecah serta bocor. Itulah yang dihadapi oleh salah seorang pesakit Dr Shaiful Nizam. Ikuti perkongsiannya di bawah.
Lagi kes rujukan gegendang telinga pecah/bocor akibat tabiat suka korek telinga ke klinik Pakar ENT (Telinga Hidung Tekak) Ini antara kes rujukan yang saya terima di Klinik Pakar hari ini sebaik sahaja masuk kerja selepas cuti raya haji.
Antara gejalanya, pesakit ini mengadu sakit di telinga kiri, kurang dengar serta bunyi berdesing. Kesemua 3 gejala ini terjadi sebaik sahaja beliau mengorek tahi telinga menggunakan besi kecil. Putik kapas disebelahnya juga digunakan.
Gambar pengorek besi kecil itu pesakit sendiri yang keluarkan dari poket beliau. Beliau mempunyai tabiat korek telinga sudah agak lama menggunakan putik kapas & besi.
Tahukah anda, tahi telinga a.k.a earwax atau lilin telinga tidak perlu dikorek. Ia sudah pun mempunyai mekanisma tersendiri tanpa kita sedar melalui kunyahan mulut, pergerakan rahang & pertumbuhan kulit dlm telinga yg akan menolak keluar. (AAO-HNS)
5 FUNGSI TAHI TELINGA. JADI, JANGAN KOREK!
Dr Shaiful juga menjelaskan fungsi tahi telinga dan beliau memberitahu tahi telinga tidak perlu dikorek.
1. Bersifat kalis air – Cegah air dari meresap masuk ke salur telinga.
2. Bersifat anti-bakteria untuk melindungi telinga daripada jangkitan dan pembiakan bakteria & kulat.
3. Bersifat asid untuk lembabkan kulit halus sekitar saluran telinga.
4. Menghalang kemasukan serangga-serangga kecil seperti semut, lalat dan nyamuk
5. Mengeluarkan kotoran & habuk dalam saluran telinga.
GUNA UBAT TITIS TELINGA JIKA TAHI TELINGA BANYAK
Jelasnya juga, apabila tahi telinga sentiasa dikorek, secara tidak langsung akan menyebabkan ia tertolak ke bahagian tengah saluran telinga seterusnya akan berkumpul dan tersumbat.
Perkara itu sudah tentunya boleh mengakibatkan masalah pendengaran dan lebih parah lagi ia boleh menyebabkan luka & radang telinga luar & tengah.
Selain itu, Ia juga boleh menyebabkan kecederaan pada gegendang telinga seperti yang berlaku kepada pesakit Dr Shaiful Nizam. Beliau memberi cadangan untuk menggunakan ubat titis jika terlalu banyak tahi telingan dan tersumbat. Jika masih lagi rasa tersumbat dan bergejala, segera dapatkan pemeriksaan Pakar ENT.
Sumber: Twitter Dr Shaiful Nizam