Kalau menggosok dan baju terkoyak disebabkan panas melampau memang buat kita rasa sakit hati. Bukan hanya baju yang rosak tetapi kesan paling nyata adalah kesan hitam pada belakang seterika.
Walaupun rupanya sudah tidak seperti dahulu tetapi ia masih elok digunakan seperti biasa. Rasa rimas melihat kesan hitamnya? Hilangkannya dengan mudah, ikut langkah ini. Memang berkesan.
Cara 1
Losyen
Caranya:
1. Letak losyen tangan di atas tapak seterika.
2. Sapu rata.
3. Panaskan seterika pada suhu panas dan gosokkan pada permukaan tempat seterika.
4. Kesan hitam hilang dengan pantas.
Cara 2
Garam halus
2 helai kertas surat khabar
Caranya:
1. Bentangkan surat khabar dan letakkan garam di atasnya.
2. Panaskan seterika pada suhu yang agak panas.
3. Gosok seterika pada garam berulang kali hingga kesan hitam hilang.
4. Hasilnya bukan saja hilang tapi berkilat macam baru.
Cara 3
Daun pisang
Caranya:
1. Ambil sehelai daun pisang muda.
2. Panaskan seterika dan gosok di atas daun pisang.
3. Gosok hingga kesan hitam tanggal.
Selamat mencuba!
Nak Rezeki Melimpah & Hidup Jadi Berkat, Amalkan ‘Micro Habit’ Ni. Walau Buat Sekejap Tapi Impak Besar Dalam Hidup!
Dalam sehari pelbagai perkara kita lakukan, bermula dari bangun tidur hingga malam hari, ada sahaja aktiviti yang kita buat untuk mengisi ruang masa yang ada. Pun begitu, alangkah bagusnya dalam banyak-banyak aktiviti yang dilakukan ianya dapat memberi impak hebat dan bermakna dalam hidup. Umpamanya dengan amal sesuatu itu dapat dikurniakan rezeki melimpah ruah, diberikan nikmat hidup tenang dan berkat dan banyak lagi perkara baik yang kita harapkan.
Jadi apa kata anda membiasakan tabiat ini yang hakikatnya nampak mudah dan kecil sahaja usaha yang perlu dibuat namun sebenarnya dapat memberi kesan hebat dalam kehidupan seseorang.
Inilah yang dikongsikan oleh Khairul Hakimin Muhammad tentang micro habit, iaitu perkara yang perlu kita jadikan kebiasaan setiap hari. Jadi apa kata anda amalkan saranannya itu dan lihat kesannya pada diri anda. Tak rugi pun mencuba, kerana kesannya lebih besar dirasai dalam hidup anda!
Buat Dalam Masa Sekejap, Impak Besar Dalam Hidup
Kita kena ada 13 micro habit yang ini. Ia kecil dari jumlah masa, namun beri impak besar dalam hidup:
1. Mengaji 1 helai Al-Quran setiap hari, jiwa akan tenang.
2. Membaca 1 helai buku setiap hari, akan dapat lebih 200 perkataan dimasukkan dalam kepala.
3. Bersenam 10 minit sehari, badan sihat.
4. Minum 8 gelas air masak sehari, badan cergas.
5. Sentiasa berfikir 1-2 saat sebelum bercakap atau menjawab soalan atau memberi idea adalah rasional.
6. Solat 5 waktu hanya 30 minit dari 24 jam sehari.
7. Menyusun checklist setiap pagi untuk siapkan kerja sepanjang hari.
8. Istighfar jika tersalah, bismillah untuk bermula dan sebut alhamdulillah apabila selesai adalah mendahulukan Allah. Ia sekitar 1 saat setiap kali menyebutnya.
9. Mengucap selawat kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam sekitar 5-7 saat sahaja. Ia untuk tegapkan hati mendahului sifat, sikap dan cara baginda dalam melakukan sesuatu.
10. Sedekah secara transfer atau menghulurnya terus hanya sekitar kurang 10 saat sahaja.
11. Terserempak sesiapa, beri salam. Ia hanya perlu sekitar 1 saat sahaja mengucapkannya.
12. Berdoa merupakan perkara kita suka buat. Namun kita sengaja baca laju-laju. Tenang! Bacalah perlahan-lahan, biasanya hanya sekitar 2-3 minit sahaja!
13. Berwuduk hanya sekitar 1 minit sahaja kawan-kawan!
Kawan-kawan, semua perkara ini sangat sekejap. Sangat kecil dari jumlah 24 jam sehari. Kita mahu hidup kita aman, tenteram, jiwa lapang dalam diuji, namun kita tak serikan dengan habit-habit “kecil” begini.
Ia adalah cara hidup (lifestyle), kita kena biasakan. Jadikan sebagai tabiat. Hidup kita akan banyak berkat. Dilimpah dengan berbagai hadiah, rezeki dan nikmat.
Sumber : Khairul Hakimin Muhammad,
Buat list micro sendiri gais! Lihat mana yang tiada, tambah! Mula terus esok! Bismillah!
Jom sertai E-Keluargagader BELAJAR BUAT ROTI UNTUK KELUARGA secara online, daftar segera! Whatsapp di http://www.wasap.my/60169647520
Dapatkan juga promosi produk berjenama untuk anda miliki dengan klik di sini
Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club
Jadi ‘Mata’ Dan ‘Telinga’,Cara Ibu Ini Didik Anak Sangat Berinspirasi.Patutlah Anaknya Berjaya, Patut Jadi Contoh Ni!
Ibu mana yang tak banggakan bila anak-anak berjaya dalam pelajaran. Segala penat lelah dan usaha selama ini akan berbaloi dengan keputusan yang terpampang di depan mata. Demikian juga dengan ibu bertuah ini bila mana anaknya mencapai kejayaan.
Namanya tidak pernah tercicir dari senarai 10 pelajar terbaik di sekolah. Usaha gigihnya yang sentiasa mengulang kaji pelajaran dan tidak suka membuang masa antara faktor yang membolehkan dia mencapai kejayaan cemerlang dalam UPSR sebelum ini.
Muhammad Zaki Mahdi bin Chamam, muncul sebagai anak Melayu pertama yang memperoleh 8A di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC).
“Zaki merupakan seorang yang sensitif dan boleh dikatakan manja. Selagi kerja rumah atau hasrat dia tidak saya turut selagi itu dia tidak akan berhenti berusaha. Dalam erti kata lain dia seorang yang konsisten dan tahu apa yang dia nak.
Dia juga lebih suka habiskan masa dengan membaca buku cerita pada waktu lapang. Sekiranya kami ke Ampang Point, kedai buku Popular sudah menjadi keutamaan untuk dia singgah. Selain itu, di rumah dia ada jadual belajar sendiri yang memang dia akan ikut sepenuhnya.
“Malah, dia rajin buat peta minda dengan pen warna-warni. Zaki juga gemar membaca buku cerita. Untuk memperbaiki bahasa Mandarin saya bawa dia ke kedai buku Popular dan belikan buku cerita yang dia pilih sendiri. Setiap buku cerita yang dibeli pasti Zaki akan meminta saya balut terlebih dahulu.
“Seminggu 3 kali mereka akan ikuti kelas bimbingan untuk mata pelajaran UPSR. Saya menyediakan mereka dengan pelbagai jenis kamus sebagai bahan rujukan. Saya juga beli kan buku latih tubi sebagai persediaan dan saya akan tetapkan masa seperti peperiksaan sebenar agar mereka terbiasa untuk menyiapkan soalan dalam masa yang ditetapkan. Selain dari itu saya juga menyediakan whiteboard untuk mereka gunakan sebagai alat bantuan agar dapat ajar satu sama lain,”jelas Nurhidayu ibu kepada si kembar Muhammad Aqil Mahdi dan Muhammad Zaki Mahdi ketika ditemu bual oleh Majalah Keluarga baru-baru ini.
Kembar tidak bermakna minat dan pemikiran sama. Namun satu kelebihannya mereka punya hati dan perasaan yang sama. Saling menyayangi dan tidak wujud perasaan iri hati jauh sekali cemburu biarpun salah seorang daripada mereka lebih berjaya.
“Waktu mengambil keputusan UPSR baru-baru ini, saya dari awal sudah tahu keputusan mereka kerana menerima melalui SMS. Sebagai ibu, saya rasa gembira dan terharu sehingga menitis air mata.
“Cuma saya kena bijak main peranan supaya tidak ada yang terasa hati. Walaupun abang tidak mendapat A dalam Bahasa Mandarin, tetapi dia seolah olah dapat menjangka yang adiknya pasti mendapat keputusan lebih baik dan dia turut rasa bangga atas pencapaian adiknya.
“Keputusan Zaki mendapat 8A’s juga semuanya atas izin Allah SWT. Saya selalu mengingatkan Aqil dan Zaki, UPSR hanya permulaan, mereka perlu tempuh ujian yang lebih besar lagi selepas ini. Justeru, sebagai ibu, saya sentiasa mendoakan anak-anak saya akan mendapat keputusan yang cemerlang juga di PT3 dan SPM.
“Bab layanan tidak timbul soal berat sebelah kerana sejak dahulu lagi saya berusaha sedaya upaya untuk memberi layanan sama rata baik abang mahupun adik. Soal gaduh itu perkara biasa nama pun adik- beradik kan. Oleh kerana mereka belajar di SJKC, setiap Sabtu dan Ahad pagi mereka akan belajar agama dan mengaji Al-Quran di Azraq Center. Selepas itu kami akan melakukan aktiviti bersama seperti bermain badminton di Sport Planet, roller blade di Taman Cabaran Putrajaya, berenang di rumah. Aktiviti seperti ini setiap minggu saya akan ganti-ganti agar mereka tidak bosan.
“Pada hujung minggu juga saya akan bawa Aqil Zaki untuk berjumpa atok dan nyang mereka di Kota Warisan Sepang. Bila di rumah atok pasti Tok Wan akan masakan kari ayam lauk kegemaran Aqil Zaki. Di sana mereka juga akan meluangkan masa bermain bersama sepupu,” ujar Nurhidayu Kamaludin sambil memberitahu anaknya gemar makan bijirin dengan susu sebelum pergi sekolah dan setiap hujung minggu dia akan bawa anak-anak ke bakery untuk memilih roti kegemaran mereka sebagai bekal sekolah.
Memegang jawatan sebagai Regional Sales Manager, GeoTeric di salah sebuah syarikat oil & gas services, Nurhidayu bagaimanapun tidak mahu kerjaya menyebabkan masanya dengan anak-anak terbatas. Bahkan, setiap kali menjelang peperiksaan baik dia mahupun suami, Chamam Zulkarnen yang bertugas sebagai Freelance Konsultant Geophysicist sentiasa menadah telinga dan membuka mata untuk anak-anak andai diperlukan.
“Satu yang penting apabila menghantar anak-anak ke sekolah jenis kebangsaan adalah menyediakan pelbagai kamus supaya mereka dapat banyak manfaat daripadanya. Saya dan suami tiada pengetahuan dengan Bahasa Mandarin, jadi kami kena banyak guna kamus untuk membantu mereka. Sebab itu saya belikan pelbagai kamus kerana dapat memahami banyak perkataan baru.
“Dua minggu sebelum UPSR, ibu saya iaitu nenek kepada Aqil dan Zaki yang telah pun bersara merupakan seorang guru bahasa Melayu, turut membantu mereka mengulang kaji dalam subjek bahasa Melayu. Sehari sebelum peperiksaan, saya mengingatkan mereka untuk menelefon nenek dan atok agar mendoakan kejayaan buat mereka.
“Ketika hari peperiksaan UPSR saya memberi mereka motivasi dengan menghantar mereka ke sekolah dan teman mereka ulang kaji di dewan sekolah sehingga lah loceng berbunyi. Saya cuma berpesan, lakukan yang terbaik dan berserah pada Allah. Sekiranya panik ingat pada Allah dan berdoa lah.
“Kami tidak pernah bertanya bagaimana kertas soalan peperiksaan pada hari tersebut sehingga lah semua kertas UPSR telah selesai sepenuhnya. Yang sudah selesai tidak perlu dibicarakan. Fokus pada kertas yang seterusnya,” ujar Nurhidayu lagi sambil memberitahu anak-anaknya juga seperti kanak-kanak lain yang berminat main game dan mereka hanya boleh berbuat demikian pada hujung minggu selepas selesai kerja sekolah dan membasuh kasut.
Ditanya mengenai pemakanan untuk anak-anaknya, akui Nurhidayu selain bijirin dan susu, menu sayur antara yang wajib ada di meja makan baik siang mahupun malam.
“Sejak dari kecil mereka suka makan sayur. Sayur kegemaran mereka seperti bayam, kacang panjang, sawi dan kangkung. Susu pula minuman pilihan selepas makan malam dan sarapan mereka. Setiap minggu saya akan masak tempe dan tauhu goreng buat mereka. Selain dari itu Zaki juga suka sangat makan telur mata separuh masak. Alhamdulillah mereka pengemar sayur tetapi kurang gemar makan daging dan tidak makan seafood. Nasi goreng cina dan nasi goreng telur menjadi pilihan bila makan di luar.
“Saya jadikan waktu makan dan hujung minggu sebagai waktu bersama-sama keluarga. Oleh itu pada waktu makan malam saya akan sentiasa bertanya kegiatan dan kejadian yang berlaku seharian di sekolah. Masakan spegetti bolognise yang saya masak merupakan makanan kegemaran Zaki. Oleh itu hujung minggu saya akan hidangkan untuk mereka.
“Buah yang mereka makan hanya Buah Naga yang berwarna merah. Buah ni dari kecil mereka makan sampai lah sekarang. Kalau buah lain mereka akan makan kalau dipaksa. Kalau bab makan mereka banyak persamaan tetapi hobi sedikit berbeza, Aqil suka membaca komik dan aktiviti lasak manakala Zaki pula suka membaca buku terutama novel selain melukis.
Ditanya sama ada akan terus belajar di SJKC selepas ini, Zaki hanya menggelengkan kepala kerana dia kini sudah ada impian lain iaitu ingin menyambung pengajian di Sekolah Aminuddin Baki bersama abangnya, Aqil jika ada rezeki dan terpilih.
“Sebagai ibu, saya tidak akan memaksa mereka untuk sambung belajar di sekolah menengah cina. Saya akur dengan pilihan mereka untuk tidak sambung belajar di sekolah menengah cina. Saya sendiri telah melihat bagaimana mereka luangkan masa mengulangkaji dan cuba memahami mata pelajaran yang tidak mampu saya ajar sendiri.
“Saya cuma boleh support mereka dengan membayar kelas tambahan. Kami hanya dapat mengajar mereka subjek Bahasa Melayu dan English sahaja. Matematik dan Sains semua nya dalam bahasa Mandarin.
‘Satu lagi, saya dan suami elakkan gajet pada anak-anak. Cuma apabila mereka capai kejayaan dalam UPSR jadi saya belikan hadiah telefon kerana itu yang mereka inginkan. Cuma jika mereka mahu belajar bahasa Mandarin, saya berikan telefon saya kerana ada apps di dalamnya yang boleh membantu mereka. Malah, kami tahu siapa kawan mereka dan dengan siapa mereka bergaul. Saya suka mereka bawa kawan ke rumah, saya akan memasak dan mereka akan makan bersama.
“Alhamdullillah mereka hargai pengorbanan yang kami lalukan buat mereka. Terima kasih Zaki dan Aqil telah berusaha dan juga membuktikan di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Saya berpesan kepada mereka agar lakukan yang terbaik untuk PT3 dan SPM agar terus mengharumkan nama bangsa Melayu,”ujar Nurhidayu lagi.
Tip belajar dari Zaki
- Selepas balik sekolah pastikan di rumah luangkan masa untuk membaca buku dan buat ulang kaji sambil menyiapkan kerja sekolah.
- Buat nota ketika cikgu tengah ajar agar boleh baca pada minggu peperiksaan.
- Kalau tidak faham terus bertanya pada guru atau kawan supaya tidak ketinggalan.
- Banyakkan buat latihan.
- Banyakkan membaca kamus berbeza-beza dalam dwi bahasa untuk mendapat pengetahuan dan perkataan baru.
- Buat peta minda dan nota kaki untuk lebih mudah memahami.
Sumber: Majalah Keluarga Jan-Feb 2018
Rayyanah Barnawi, Angkasawan Wanita Pertama Arab Saudi. Bakal Jalani Misi Ke ISS
Menjadi angkasawan adalah impian bagi setiap orang terutamanya kanak-kanak. Kekaguman melihat keindahan ruang angkasa menajdikan impian ini sering di dambakan namun ianya bukanlah sesuatu yang mudah untuk dikecapi.
Bagi wanita ini, Rayyanah Barnawi yang merupakan seorang penyelidik kanser payudara, dia sangat bertuah kerana menjadi sebahagian daripada misi Axiom Space 2 bersama seorang lagi angkasawan lelaki Ali AlQarni.
Malah, dia merupakan angkasawan pertama wanita yang berasal dari negara padang pasir, Arab Saudi.
Menurut NASA, misi tersebut bakal dilancarkan pada kira-kira pukul 5.37 petang (waktu EDT) pada 21 Mei.
Malah, misi itu akan mengambil masa dalam 10 hari dan ia dirancang untuk berlepas dari Pusat Angkasa Kennedy di Florida pada 8 Mei, sebelum pelancarannya dijadualkan semula pada 21 Mei oleh NASA dan Axiom Space.
Dua angkasawan Arab Saudi itu dijangka menyertai angkasawan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sultan Al Neyadi yang sedang dalam misi selama enam bulan di ISS.
Angkasawan Peggy Whiston dan perintis perniagaan serta juruterbang John Shoffner juga akan menjadi sebahagian daripada misi Axiom Space 2.