Sakit Kepala & Tiada Ubat Di Rumah, Lakukan Petua Ni Dulu Untuk Legakannya!

Share

Bila sakit kepala menyerang, memang satu kerja pun tak menjadi dibuatnya. Terasa serba serbi tak selesa dan kadang kala mengundang rasa marah pun ada. Jadi cara paling mudah untuk legakannya, kita akan makan ubat untuk tahan sakit. Betul bukan?

Namun, ada cara atau petua yang boleh dipraktiskan untuk  legakan sakit kepala tanpa makan ubat yang kita patut tahu.

PETUA HILANGKAN SAKIT KEPALA YANG ANDA HARUS TAHU

Pernahkah anda mengalami sakit kepala teramat sangat? Akibat stres, migraine, ada banyak masalah dan sebagainya. Bagaimana hendak atasi dengan mudah di rumah?

Berikut adalah beberapa petua untuk melegakan sakit kepala:

1.Tutup mata dan berehatlah.

Ini adalah rawatan sakit kepala yang berkesan untuk sakit kepala seperti migrain, dan dapat membantu meredakan sakit kepala. Duduklah di dalam bilik yang tenang dan gelap dengan mata anda ditutup dan cubalah berehat seketika. Jika perlu, tidur sebentar.

2.Urut leher dan kepala anda.

Menggosok dan mengurut-urut bahagian leher dan kepala anda dapat memperbaiki aliran darah dan menenangkan sakit kepala. Ini sangat membantu untuk sesiapa sahaja. Dapatkan bantuan daripada rakan dan ahli keluarga,

3.Hangat atau sejukkan leher anda

Cuba letakkan pad suam atau kain hangat di leher anda untuk mengurangkan sakit kepala akibat ketegangan otot dan sebagainya. Jika itu tidak membantu, anda boleh menggunakan pek ais jika ia membantu anda melegakan sakit kepala.

4.Bersantai dan rileks

Luangkan masa untuk diri anda, bernafas dalam-dalam, dan cuba untuk membayangkan imej yang damai dan tenang. Pelbagai ’relaxation techniques’ boleh membantu pesakit yang mengalami masalah sakit kepala.

5.Kurangkan stres dan tekanan.

Sekiranya anda mengalami sakit kepala yang teruk, cuba elakkan dari tekanan. Jauhkan diri dari persekitaran yang bising, pulang bekerja lebih awal sekiranya anda boleh, atau minta rakan atau ahli keluarga membantu mana yang boleh.

6.Lihat semula apa yang anda makan dan minum.

Apa yang anda masukkan ke dalam badan anda boleh memberi impak besar kepada sakit kepala anda. cuba hadkan kafein dan alkohol dan elakkan rokok. Jadual makan juga adalah penting, terutama bagi mereka yang mendapat sakit kepala dari gula darah rendah. Jangan lewatkan makan, terutamanya sarapan pagi.

PERHATIAN : Sekiranya masalah anda tidak berkurang selepas melakukan langkah di atas, terus berjumpa doktor. Tahu punca dan rawat sewajarnya. Jangan cuba-cuba dapatkan rawatan melalui produk dan suplemen tanpa nasihat doktor dan ahli farmasi. Bahaya untuk kesihatan.

Sumber : Dr. Ezairy M.Sallih