Saiful Nang Didik Anak Guna “Sistem Roll Call Adaptasi Daripada Disiplin Solat. Jom Praktikkan!

Share

Anak merupakan anugerah dari Allah s.w.t yang tiada tandingannya. Selain menjadi penyambung keturunan, zuriat adalah amanah buat ibu bapa yang berperanan mendidik anak-anak mengikut landasan-Nya.

Bagi usahawan fotografi Mohamad Saiful bin Haji Nang atau lebih dikenali sebagai Saiful Nang, dia dan isteri Dr Intan Salwani Ahamad mempunyai cara tersendiri mendidik empat orang puterinya.

Bagi Saiful dan isteri, mereka berusaha untuk menerapkan didikan berteraskan Islam sejak anak-anak masih kecil lagi. Malah, mereka memperkenalkan sistem yang dikenali sebagai roll call sebagai salah satu cara untuk mendekatkan anak-anak dengan ajaran Islam dan pencipta-Nya. Kata Saiful, sistem ini diadaptasi daripada disiplin solat yang wajib dilaksanakan oleh setiap umat Islam sebanyak lima kali dalam sehari.

“Setiap hari Allah mewajibkan kita melakukan roll call ini sebanyak lima kali sehari. Ada yang datang roll call secara sendirian dan ada juga melakukannya secara berjemaah yang mana umum mengetahui, ia punya lebih kebaikan.

Jadi, saya terapkan disiplin yang sama terhadap anak-anak. Setiap hari mereka akan roll call sebanyak dua kali iaitu sebelah pagi dan malam. Biasanya, saya sempat bersama mereka pada waktu pagi untuk memberi pesanan dan harapan yang perlu mereka pegang sebagai iktibar,” ujar bapa kepada Orked, 9 tahun, Seri, 7 tahun, Lela, 5 tahun dan Wafa , 3 tahun.

Berjiwa prihatin & penyayang

Saiful Nang bukan sahaja sangat mengambil berat perihal keluarga dan anak-anaknya, malah dia sekeluarga berusaha menyebarkan nilai kasih sayang terhadap insan yang memerlukan. Dengan sokongan sahabat handal seramai 20 orang, mereka telah menubuhkan Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP) pada tahun 2005 lalu yang menempatkan anak-anak yatim dan asnaf. Malah, Dr Intan Salwani turut bertindak sebagai pendidik di Akademi Insan Prihatin.

“Selain praktik bersama anak-anak, saya juga menggunakan kaedah yang sama di RPWP. Malah, saya dan isteri tidak pernah mengasingkan pendidikan anak-anak sama seperti anak-anak yatim dan asnaf di sini.

Mereka tidur di tempat yang sama dan makan di tempat yang sama. Hatta, saya dan isteri juga berkongsi tempat tinggal bersama 45 orang anak yatim dan asnaf di sebuah rumah sewa sementara di Bangi. Kami berada di situ kerana ruang di induk sudah tidak mencukupi sehingga kami terpaksa menyewa rumah lain. Bayangkan setiap pagi roll call, memang meriah dan kami gembira,” ujar Saiful apabila ditanya mengenai sistem yang memberi manfaat terhadap perkembangan sahsiah anak-anak.

Tambah Saiful lagi, kaedah perhimpunan ini dijalankan dalam suasana syura yang indah apabila anak-anak ini mengakui istighfar harian mereka atas apa kesalahan yang mereka sendiri lakukan sepanjang hari. Sebagai pengatur, saya memberi  pesanan yang berulang-ulang tanpa jemu,” ujar Saiful yang tertarik dengan kaedah yang dijalankan oleh Ibu kepada Sultan Mehmet Alfateh  yang  sentiasa mengulangi visi Sultan Murat (bapa Alfateh) untuk anaknya meroboh tembok Constantinople secara ulangan yang banyak.

Teknik ulangan

“Sistem ini bukan saya yang pilih sebaliknya sistem yang Allah ajarkan. Inilah amalan nabi yang makin dilupakan dan tidak popular dilakukan. Alhamdulillah, hasilnya sangat baik. Dalam roll call pagi juga, anak-anak mengangkat baiah (ikrar) harian mereka sebagai anak kepada ibu bapanya. Bukankah itu menarik dan menjadi ritual ulangan sehingga ia boleh dilaksanakan?”

“Saya mengguna pakai kaedah ini sejak anak saya yang pertama mula pandai bercakap walaupun pelat,” ujar Saiful panjang lebar yang yakin konsep tersebut mampu membentuk keperibadian yang baik dalam diri anak-anak.

Tip Ibu Bapa Untuk Menjadi Tauladan Anak-Anak:

  • Jadi ibu bapa yang sensitif dan kasyaf memerhatikan gerak geri anak.
  • Tajamkan pertimbangan kita dengan Al-Quran dan Sunnahnya.
  • Pada zaman ini “It takes a community to raise a child”.Jadi, kami biasakan anak-anak bergaul dengan anak yatim dan asnaf di RPWP.
  • Tiada yang lebih baik selain dari apa yang telah ditunjukkan uswahnya dari rasul-rasul dan nabi-nabi yang terdahulu.
  • Berhenti melihat kepada corak keibubapaan cara barat kerana sebahagian yang baik yang mereka lakukan juga adalah cedokan sistem Islam yang telah lama dipraktik oleh nabi-nabi dan rasul-rasul terdahulu.
  • Secanggih manapun teknologi, pendidikan rohani anak tidak mungkin berlaku dengan sentuhan teknologi tetapi melalui sentuhan seorang ibu dan ketegasan seorang bapa.

Sumber: Majalah Keluarga Oktober 2016