Setelah lebih setahun status rumah tangga antara pelawak dan pengacara, Shuk Sahar & passangannya, Rossa Sera menjadi tanda tanya, akhirnya semua terjawab apabila Shuk mendedahkan mereka akhirnya membuat keputusan untuk bercerai baru-baru ini.
Menurut laporan mStar, Shuk atau nama sebenarnya Mohammad Shukri Mohamed Sahar telah melafazkan cerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 22 Mac lalu.
Difahamkan, pasangan tersebut telah sebulat suara membuat keputusan untuk meneruskan kehidupan mengikut haluan masing-masing dan persetujuan itu dilakukan selepas balik mengerjakan ibadah umrah awal tahun lalu.
“Betul kami telah sah bercerai pada 22 Mac lalu dengan talak satu.
“Selepas pulang umrah bersama, kami duduk berbincang, bercakap secara elok dan membuat keputusan untuk bercerai. Kami berpisah dengan baik,” katanya.
Walaupun sudah berpisah, namun pelawak yang berusia 37 tahun itu mahu terus menjaga hubungannya bersama anak-anak memandangkan mereka tinggal bersama ibunya di Sabah.
Bagaimanapun, perpisahan yang berlaku menjadikan teladan buat Shuk untuk menjadi seorang lelaki yang lebih baik berbanding sebelum ini.
“Sekarang ini saya hanya fokus kepada anak-anak sahaja. Mereka (anak-anak) tinggal di Sabah bersama ibu Sera sebab anak yang sulung sudah mula sekolah darjah satu.
“Apa yang berlaku ini menjadi teladan buat saya memperbaiki diri. Selama ini kita cuba cari haluan masing-masing untuk perbetulkan diri sendiri.
“Semoga saya akan menjadi orang yang lebih di masa akan datang,” jelasnya lagi.
Pada November 2021, Sera memaklumkan dia sudah memfailkan cerai terhadap Shuk dan akan menerima keputusan mahkamah selepas pulang mengerjakan umrah.
Sekadar info, Shuk dan Sera mendirikan rumah tangga pada 2015 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Nur Wurratu Ain, 6, dan Nur Assyifatu Aimi, 3.
Sumber: mStar (Farol Hadi)