Jangan buat main apabila wanita yang bergelar isteri mula burnout. Burnout ini adalah keadaan terlampau tertekan dengan keluarga sehingga mengabaikan keperluan diri sendiri.
Tanda-tanda burnout termasuk terlalu letih, cepat matah, rasa anak orang lain lebih bauk daripada anak sendiri, kemurungan dan kurang sabar.
Apabila masalah ini menjadi lebih teruk, anak akan menjadi mangsa sehingga lebih terdedah kepada penderaan fizikal dan emosi.
Jadi untuk mengatasi ibu -ibu menjadi tertekan antaranya bersikap sedar bahawa anda bukan ibu yang perfect. Tidak mampu mengendalikan semuanya.
Sebagaimana pesanan Dr Rusyainie Ramli ini yang memberi nasihat supaya tidak memaksa diri sebaliknya menjadi terbaik mengikut versi diri sendiri.
Ikuti perkongsian beliau.
Surirumah lah pekerjaan tanpa ada cuti tahunan, malah kalau sakit pun tak ada cuti. Dah lah tak bergaji dengan setimpalnya. Kalau ada elaun untuk membeli-belah kira ok lah tu. Bonus, memang belum tentu dapat. Semuanya bergantung pada poket suami.
Isteri, sebagai surirumah, benda yang paling penting yang kita kena pahatkan dalam kepala ialah, kita mesti sayangkan diri sendiri dulu. Kalau tak boleh nak hargai diri sendiri, jangan mimpi akan ada manusia lain boleh kasihi kita.
Sebab bila kita boleh letakkan diri kita yang utama, kita takkan biarkan diri kita tak gunakan kontraseptif. Kita nilaikan sendiri lah diri kita ni macam mana. Bukan berserah pada takdir. Kalau mengandung, terima saja lah. Macam lah kita ni tak berakal.
Yang tak boleh diterima ialah, tak amalkan merancang keluarga, sebab suami tak bagi. Siapa kata, bila kita berkahwin, kita tak berhak ke atas badan kita sendiri? Suami boleh saja kan merokok? Dah beranak pinak pun masih tetap dengan keragihan nikotin tu kan. Kalau bab merosakkan badan dia pun, dia tetap ada hak pada diri dia, kenapa kita tak boleh melindungi diri kita?
Kalau suami jenis patriaki, mengapa kita masih nak menyuakan diri kita dengan masalah nak menjaga anak berderet? Adakah kita ni sengaja nak menjadi mangsa supaya dikasihani?
Kita tak payah lah perasan, yang suami tu berubah sebab kita atau anak-anak. Mereka tu kalau nak berhijrah menjadi suami lebih baik, sebab dia sendiri yang mahu. Bukan sebab kita. Mengandung lah 10 kali pun, kalau dah perangainya begitu, tak adanya tetiba bangun pagi besok dia jadi malaikat. Huh.
PESANAN BUAT SURI RUMAH
Saya selalu berpesan pada surirumah di klinik saya, kita perlukan masa berehat. Sebab tu kita mesti dari anak tu lahir, dah mulakan jadual yang konsisten untuknya yang secara tak langsung berikan ruang untuk kita punya masa untuk diri sendiri.
Contoh mudah. Anak mesti tidur awal. Benda nampak senang tapi berapa ramai anak kecil yang umurnya 3 atau 4 tahun masih belum tidur jam 9 malam? Malah pukul 11 malam pun mereka masih aktif. Dengan anak yang masih berjaga pada jam begitu lewat, bila kita nak ambil masa nak rehat? Padahal sejam dua yang ada lepas anak tidur, sebelum kita lelapkan mata, tulah masa untuk diri kita, malah untuk suami juga. Waktu tulah kita nak melepak, duduk berdua dengan suami sambil menonton TV ke. Kenapa kita lupakan yang kita ni pasangan kekasih hanya sebab kita dah ada anak?
KENA ADA ME TIME
Bila saya menulis tentang pentingnya anak tu tidur berasingan dari katil kita suami isteri, ramai yang memandang enteng isu ni. Lupa gamaknya perjalanan rumah tangga kita ni jauh lagi. Kalau hubungan suami isteri tak dititikberatkan hanya sebab dah ada zuriat, hilang lah serinya. Suami tak boleh berebut kita dengan anak. Tu tak adil untuk kita dan suami.
Untuk saya yang bekerja ni, masa saya memandu ke pejabat yang pergi balik tu jauhnya 240km, tulah masa untuk diri saya. Sendirian. Tanpa gangguan. Panggilan pun tak boleh menembusi telefon saya kerana taliannya begitu teruk. Maka, saya tak dikacau. Tu lah kelebihan saya yang bukan surirumah. Bila dah tiba di rumah, jangan mimpi nak punya masa bersendiri kalau anak-anak masih kecil, minta maaf lah. Semuanya perlukan perhatian termasuk lah suami.
Dapat keluar dari rumah pun dah satu rahmat bagi ramai surirumah yang menjadi pesakit saya. Jauh dari hingar-bingar dan hiruk-pikuk suara anak-anak yang sekejap ketawa berderai, kang tak lama selepas tu bergaduh berperang.
Sebab tu kalau anak-anak dapat keluar bermain di taman pun kita dah lega sangat dah. Sunyi sepi rumah tu walau masanya singkat cuma.
Bukan budaya masyarakat kita, isteri keluar tanpa anak-anak dan suami yang menjaga si kecil tu semua di rumah. Sedangkan itu lah yang sangat diperlukan oleh kita. Kadang-kala dipandang serong pula mak yang tak bawa anak bersama.
Tapi tulah, ada juga mak yang seakan tak mahu berenggang langsung dengan anak. Padahal dia sendiri tahap stres dah menggunung. Seakan macam risau pula, kalau dibiarkan anak tu dengan orang lain waima suami sendiri pun, anak tu tak cukup segalanya. Macam kita saja lah yang terpenting untuk anak tu.
Aduhai, kita sedar tak yang satu hari nanti anak tu akan ke sekolah semua bagai. Rilek saja lah kan. Tak payah nak obses dengan anak sendiri lah, saya naik rimas dengan mak yang angkat tinggi sangat martabat zuriat dia. Macam anak dia saja lah yang sempurna. Lagi pun, tak adanya kurang sayang dia pada kita hanya sebab kita tak jaga dia sepenuhnya. Lepaskan dia sebentar saja, untuk kita bertenang di luar 4 dinding rumah kita tu.
Bukan mudah nak menjadi sempurna dan sampai bila pun memang kita takkan jadi begitu. Kita bukan nak bertanding dengan sesiapa. Bukan nak menunjuk yang kita ni jauh lebih bagus dari mak-mak yang lain.
Kita jadi lah yang terbaik versi diri kita sendiri, dengan limitasi yang kita ada, tu pun dah memadai.
Cuma sekali lagi saya nak berpesan, cintai lah diri kita sendiri sebelum kita mahukan dikasihi orang lain. Sebab dari situ lah kita akan buat keputusan yang paling baik untuk diri kita dan seterusnya ia akan mempengaruhi mereka di sekeliling kita termasuk lah suami dan anak-anak kita.
Moga perkongsian ini menjadi pengajaran buat para suri rumahtangga supaya tidak terlalu memaksa diri. Carilah masa untuk me time untuk kekal bahagia dalam menguruskan rumahtangga.
Sumber: Rusyainie Ramli