Niat untuk menghantar isteri ke tempat kerja bertukar tragedi apabila pasangan ini meninggal dunia selepas motosikal yang ditunggang mereka merempuh belakang sebuah lori.
Dalam kejadian tersebut, Muhammad Shakiran yang cedera di perut meninggal di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) manakala isterinya yang cedera di kepala meninggal dunia di tempat kejadian.
Berita tersebut didapati menerusi laman Facebook yang dimiliki oleh Nuraz Shamsuddin, kakak kepada mangsa Muhammad Syakiran Bin Shamsuddin.
Difahamkan, kemalangan terbabit berlaku di Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur sekitar jam 8.30 pagi semalam berlaku ketika mereka dalam perjalanan ke tempat kerja si isteri yang bernama Nurul Ashikin Kamaruddin.
Apa yang lebih memilukan, hasil bedah siasat menunjukkan Nurul Ashikin sedang hamil anak kembar.
Kakak mangsa, Nur Azmawati Shamsuddin, 37, berkata, keluarga mengetahui Ashikin mengandung anak kembar hasil bedah siasat ke atas jenazah kira-kira jam 1 petang semalam.
Katanya, usia kandungan sudah masuk dua bulan dan adalah anak kedua pasangan itu yang sebelum ini sudah dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Muhammad Arfan Ziqri, 1 tahun 10 bulan.
“Keluarga memang terkejut sebab kami belum dimaklumkan tentang kandungan arwah, mungkin sebab usia kandungan masih awal.
Menambah kesedihan katanya, ahli keluarga mereka yang berada di Kuala Lumpur baru sahaja berkumpul beramai-ramai di rumah pasangan suami isteri itu di kuaters polis tempat adiknya bekerja kerana adik bongsu mereka, Muhammad Nazrul Shamsuddin, 19 berada di rumah Syakiran untuk berjalan-jalan di Kuala Lumpur selama beberapa hari.
“Arwah dan isteri baru menghantar Nazrul menaiki bas malam tadi dan Nazrul tiba di Kelantan jam 7 pagi sebelum tidak lama selepas itu keluarga di kampung menerima berita mereka maut dalam kemalangan,” katanya.
Sumber: FB Nuraz Shamsuddin