Rupanya salah seorang mangsa satu tragedi Cameron Highlands iaitu Muhammad Fakrul Danish Mohd Junaizi merupakan atlet kriket.
Majlis Sukan Negeri Terengganu
(MSNT) menyifatkan pemergian atlet kriket, Muhammad Fakrul Danish Mohd Junaizi satu
kehilangan besar buat sukan yang semakin popular di negeri Terengganu.
Pengarah MSNT, Ahmad Shahrizal Yahaya berkata, atlet kelahiran Kampung Payang Kayu, Hulu Terengganu itu berpotensi untuk meraih kilauan pingat pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke 22 di Selangor pada 2026.
Bagaimanapun jelasnya, segalanya hanya tinggal impian selepas atlet berusia 18 tahun itu yang merangkul pingat gangsa Sukma edisi ke-21 di Sarawak Ogos lalu pergi buat selama-lamanya pagi semalam.
MSNT mengucapkan takziah buat keluarga arwah dan turut bersedih atas pemergian Muhammad Fakrul Danish yang terlibat dengan kemalangan pagi semalam sehingga mengorbankan semua yang berada di dalam kereta itu termasuk kedua ibu bapanya.
“Arwah adalah seorang atlet yang berdisiplin sehingga berjaya menyumbangkan pingat gangsa dalam acara kriket T10 biarpun penampilan kali pertama dalam temasya itu.
“Kita sasarkan kilauan pingat perak ataupun emas pada temasya Sukma akan datang di Selangor kerana arwah adalah atlet yang berpotensi untuk mewakili negara, walau bagaimanapun adik Fakrul pergi buat selama-lamanya,” kata Ahmad Shahrizal ketika dihubungi hari ini.
Pada temasya Sukma di Sarawak sebelum ini, pasukan kriket Terengganu yang turut diwakili Muhammad Fakrul Danish berjaya menumpaskan Kedah pada perlawanan penentuan pingat gangsa.
Terdahulu, Muhammad Fakrul Danish terkorban selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 86, Jalan Gua Musang-Lojing pagi semalam yang turut mengorbankan kedua ibu bapanya, Mohd Junaizi Jusoh, 48 dan Shazwani Ismail, 39.
Turut terkorban dalam nahas akibat bertembung dengan sebuah lori itu adik kepada Shazwani, Farhana, 35 selepas kereta jenis Perodua Myvi yang mereka naiki terjunam ke dalam gaung.
Sumber: Harian Metro