Rupanya Ini Sebabnya Doa Bukan Untuk Keluarga Sahaja Tetapi Juga Sahabat. Ikuti Perkongsian Ustaz Ini.

Share

Doa bukan sahaja untuk ahli keluarga tetapi sahabat kita jua. Jika sebelum ini merekalah tempat kita mengadu susah senang, namun kita alpa untuk mendoakan sahabat kita. Sebagaimana perkongsian ustaz Pahrol Mohamad Juoi bahawa mendiakan sahabat sangat tinggi nilainya di sisi Allah.

IKUTI PERKONGSIAN INI

DOA KU UNTUK MU!

Mat dan Ali adalah dua orang sahabat baik yang tinggal berjiran. Mereka berdua hidup dalam kesempitan dan kemiskinan. Setelah berusaha masing-masing berdoa. Itulah kelaziman yang dilakukan oleh mereka berdua. Mereka akan singgah di masjid setiap kali habis bekerja untuk mengerjakan solat lalu berdoa.

“Apa doa mu pada hari ini?” tanya Mat kepada sahabat karibnya.
“Aku pinta dimurahkan rezeki. Bulan ini aku perbelanjaanku dijangka lebih daripada biasa…” jawab Ali.
“Doa kau?” tanya Ali pula.
Mat senyum. Tanpa berkata apa-apa.

Keesokan harinya, Ali berkata, “:Alhamdulillah doa aku telah dimakbulkan Allah. Majikan ku akan memberi bonus pada hari ini.”
“Alhamdulillah. Hari ini kau nak berdoa apa pula?” tanya Mat.
“Aku ingin isteri ku selamat bersalin,” jawab Ali.
Mereka berdua pun masuk ke dalam masjid, mengerjakan solat dan masing-masing berdoa.
Sejurus selepas keluar dari masjid, Ali bertanya, “kau pula berdoa untuk apa hari ini?”
Mat senyum. Sambil menepuk-nepuk bahu Ali.

“Syukur, isteriku selamat bersalin malam tadi,” kata Ali pada hari esoknya ketika mereka berdua singgah di masjid seperti biasa.
“Aku berdoa agar isteri ku selamat,” kata Ali dengan wajah muram.
“Kenapa dengan isteri mu?”
“Dia sakit agak tenat, banyak kehilangan darah..”
“Insya-Allah, dia akan selamat.”

Dua tiga hari kemudian, mereka berdua berbual lagi seusai solat dan berdoa di masjid seperti kebiasaannya.
“Wah, wajah mu berseri-seri hari ini,” tegur Mat.
“Apa tidaknya, isteri ku telah sihat sepenuhnya dan dibenarkan pulang ke rumah oleh doktor semalam.”
“Tahniah.”
“Aku tidak sangka doa ku sangat makbul. Hampir setiap yang aku doakan mustajab,” kata Ali.

Tiba-tiba Ali bertanya, “mengapa doa mu tidak mustajab?”
“Kenapa kau kata begitu?” tanya Mat.
“Aku lihat hidup mu masih ‘begitu-begitu’ sahaja. Tak ada perubahan. Tak ada kemajuan.”
Mat tersenyum.

Melihat Mat tersenyum, Ali semakin hairan lalu menegaskan lagi pertanyaannya, “mengapa doa mu tidak makbul?”
“Doa ku telah banyak dimakbulkan Allah. Syukur, Alhamdulillah.”
“Apa doa mu?”
“Kau benar-benar nak tahu?”
“Ya, sebab aku lihat tidak ada apa-apa kebaikan yang berlaku kepada mu. Apakah doa mu?”
“Doaku sejak dulu hanya untuk mu. Aku doakan agar apa yang kau doakan kepada Allah dimakbulkan oleh-Nya!”

Pengajaran:
Doa kita untuk sahabat, saudara mara dan orang lain sangat tinggi nilainya di sisi Allah. Apatah lagi jika kita berdoa tanpa pengetahuan orang yang kita doakan. Itulah keikhlasan. Sayangnya, itulah yang jarang dibuat oleh manusia. Manusia selalu mementingkan diri sekalipun dalam doanya kepada Allah!

Sumber: Pahrol Mohamad Juoi