Bergelar Ayah Cukup Indah, Hidup Pun Lebih Teratur Dan Rezeki Makin Murah- Fad Bocey

Share

Setiap pasangan suami isteri yang mendirikan rumah tangga menantikan zuriat dalam menyemarakkan lagi ikatan kasih sayang.  Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 14 Mac 2015.

Fad atau nama sebenatnya Muhamad Fadzlie Bin Mohd Nizam mengakui cukup teruja namun sedikit kekok tatkala pertama kali memegang anak kembarnya yang diberi nama Favian Adrazin Hayyan dan Favian Adrazin Zayyan.

“Keterujaan itu hanya Tuhan yang tahu. Saya nikmat yang Tuhan beri untuk saya kecapi membuatkan saya bersyukur sangat. Tetapi selepas anak lahir, saya yang memang jenis yang sukakan kanak-kanak sejak dahulu lagi, terus jadi kekok. Takut pun ada, yalah itulah pertama kali bergelar ayah dan memegang bayi sendiri.

“Tambahan lagi kembar lahir pra matang, jadi sukar sedikit. Kena lebih fokus, ditambah pula kalau mereka demam dan sakit memang sebagai bapa rasa sedih melihat keadaan mereka. Namun, lama-kelamaan saya sudah membiasakan diri dengan hal itu dan tidak lagi kekok. Cuma bila mereka makin membesar, seronok sebab ada sahaja keletah mereka yang membuatkan saya dan isteri tertawa,”ungkap Fad sambil mengakui pengalaman paling manis waktu kembar dapat kaki, mereka rajin bangunkannya waktu pagi.

Ditanya mengenai baka keluarga yang mempunyai kembar, Fad mengakui kedua-dua mereka ada kembar namun sebelah keluarganya lebih ramai.

“Kalau diikutkan sebelah saya memang ramai anak kembar. Ada juga sebelah Sheera yang kembar tetapi keluarga saya lebih ramai. Awal-awal kehamilan, saya dan isteri sudah membuat persediaan seperti membeli barang keperluan anak kami. Bayangkan setiap baju dibeli dua pasang dan memang ‘rabak’ time tu. Tetapi demi anak tak apalah,”seloroh Fad lagi tatkala bercerita mengenai kehamilan anak kembarnya.

Selepas kelahiran anak kembar, kemudian Sheera hamil buat kali kedua. Lebih meriah lagi apabila doktor sahkan kami bakal menimang anak perempuan.

“Memang seronok dan tak sabar rasanya kerana kembar sebelum ini dua-dua lelaki. Proses melahirkan anak kedua ini lebih mudah berbanding kembar sebelum ini. Malah, nak jaga pun lebih mudah kerana kami sudah ada pengalaman sebelum ini. Kalau dulu tak cukup tidur ditambah pula saya ada shooting tetapi Alhamdulillah ada mentua membantu meringankan kerja.

“Pengalaman sebagai ibu dan ayah cukup indah dan tidak seperti yang saya fikirkan waktu bujang. Konon selepas kahwin makin serabut tetapi rupanya tidak. Bahkan, lebih bahagia dan hidup teratur. Yang penting kita pandai handle rumah tangga kita. Saya sendiri tidak sangka diberi mandat dan bergelar ayah dalam usia yan masih muda. Tidak semua orang dapat rasa apa yang saya lalui terutama mengendalikan kembar satu pengalaman yang cukup manis.

Rezeki anak kita tidak boleh cakap. Saya bersyukur kerana terpilih menerima mandat sebagai ayah dan saya harap untuk menjadi lebih bertanggung jawab. Untuk yang bakal dapat kembar, kena banyakkan bersabar, biar seimbang antara kedua-dua kembar. Jangan takut sebaliknya reda dan ikhlas.

“Rezeki anak-anak itu luas dan itu yang dijanjikan oleh Yang Mah Esa. Saya sendiri sudah melaluinya dan itu yang saya peroleh atas rezeki anak-anak dan isteri, saya hanya menumpang dan melaksanakan tanggungjawab sebagai ayah dan suami. Semoga berjaya kepada ibu bapa yang bakal mendapat anak kembar, ingat bukan semua orang bertuah mendapat seperti kita dapat ini,”ujar Fad lagi memberi tip dan nasihat kepada ibu bapa yang bakal menimang cahaya mata kembar.