Kunci kejayaan dalam industri ini adalah ‘kena smart’ dan buat keputusan yang bijak. Duit bukan segalanya.
Itu antara yang dikongsikan oleh Alif Satar dalam perbualan bersama penulis ketika ditemui dalam majlis sidang media Senang Jer Menang! RM1,000000 anjuran Power Root semalam.
“Saya mahu bertahan dan berada lama dalam bidang ini. Jadi, apa-apa tawaran menjadi suta produk misalnya akan dikaji terlebih dahulu untuk lihat kesesuaian dengan diri dan persekitaran. Saya takkan promosi jenama yang tak sesuai dengan diri dan keluarga saya. Jika selebriti lain tidak kisah janji ada tawaran dan sebagainya, itu terpulang pada pandangan masing-masing. Tetapi bukan saya.
“Begitu juga dengan soal privasi. Saya tidak limitkan hal famili di media sosial. Ada benda yang saya boleh kongsi dan ada yang tidak. Lagipun, saya ada kongsikan ‘personal life’ dan juga kerja di media sosial. Bab-bab kongsi ini memang saya tak nafikan, selalu kongsi pasal anak. Lagi pula saya sibuk dan masa terhad. Tapi yang penting kena bijak bahagikan masa.
“Jika kerja 6 bulan kemudian berhenti sekejap untuk rehat. Tetapi dalam masa yang sama ada limit dalam kerja. Jangan keluar shooting pukul 7 balik pukul 5 itu bukan life namanya. Itu bukan cara kerja yang bijak. Sebab itu, saya cakap pada pengurus, saya mahu kerja begini-begini. Kalau dah kerja 5-6 jam, saya mahu rehat. Tak dapat sehari pun, kalau separuh hari atau pagi pun boleh. Sebab kita kerah badan kita sebab itu kena rehat,”ulas Alif yang dilantik menjadi duta untuk produk Power Root.
Beri ‘me time’ untuk isteri
Bila berkaitan dengan anak-anak dan keluarga, jujur mengakui dirinya jenis ‘family man’. Baik pada isteri dan anak-anak, begitu juga dengan ahli keluarga dan adik-beradik lain. Jadi, kalau tak dapat sehari, sekurang-kurangnya berkumpul semeja untuk makan bersama sudah memadai.
“Sibuk bagaimana pun, memang ada masa untuk anak-anak dan isteri serta keluarga lain. Biasanya saya keluar bersenam dan pukul 7 anak-anak baru bangun, jadi masa itu saya bersama mereka baik makan dan mandikan mereka. Saya tak faham bila orang cakap tiada masa bersama.
“Yang penting pengurusan masa. Saya jadi sedih bila isteri cakap anak-anak asyik tanya bila saya tiada terutama kalau ada shooting lama di luar. Tetapi untung sekarang ini ada teknolgi seperti face time so bila-bila masa boleh lepaskan rindu.
Sambut kelahiran anak
Jujur mengakui sangat bersyukur kerana mendapat isteri yang memahami dan memudahkannya untuk membahagikan masa antara kerjaya dan rumah tangga. Justeru, sebagai suami, dia tahu isteri juga perlukan ‘break’ dari melakukan kerja rumah dan anak-anak.
“Boleh jadi gila jika tak keluar rumah. Sedangkan kita bekerja pun rasa bila la dapat bercuti. Begitulah juga dengan isteri dan ibu-ibu yang bergelar suri rumah. Sebab itu, suami patut beri ‘me time’ untuk isteri. Waktu inilah mereka boleh buat apa yang mereka suka.
“Memang saya sendiri selalu bagi isteri keluar sama ada buat rambut, buat manicure atau pedicure atau keluar makan dengan kawan-kawan, saya tiada masalah. Malah, saya suka bila isteri serahkan tugas jaga anak-anak di rumah jika dia nak keluar.
“Bahkan, waktu dalam pantang saya memang ambil cuti dan masakkan untuk isteri. Malah, anak saya lahir disambut sendiri oleh saya. Doktor pun pelik dan hairan tengok keterujaan saya. Siap pandai tengok mesin CTG yang turun naik draf dan minta isteri push. Macam saya pula doktor,”seloroh Alif.
Banyak cara hargai isteri
Mengulas mengenai perkongsian selebriti akan video privasi waktu isteri bersalin, Alif secara tegas mengakui ada limit dalam berkongsi gambar.
“Biasanya saya akan kongsikan gambar yang dalam kondisi sudah tersedia elok. Anak dah siap berbalut dan dibawa pada isteri. Itu limit saya dan tidak lebih dari itu. Isteri dalam keadaan sakit, kita sibuk rekod gambar.
“Banyak cara lain untuk hargai isteri. Mungkin isteri kita sendiri tak suka dibuat begitu, jadi kena ‘smart’ dan kena pandang dari sudut sensitiviti yang berbeza dalam melakukan sesuatu. Tetapi pada saya bergantung pada seseorang, jangan marah bila orang mengata dan sebagainya kerana itu adalah atas perbuatan sendiri.