Sudah pastinya semua ibu bapa inginkan anak genius. Malah sanggup memperuntukkan sejumlah wang untuk menyediakan kelas tambahan setiap minggu bagi memastikan anak-anak berjaya.

Bagaimana pun, selain cara itu, ibu bapa boleh follow cara untuk merangsang minda anak menjadi seorang genius terutama bagi anak sekolah rendah.

Ikuti ulasan Dr Abdul Halim Masnan , Pensyarah Kanan, Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak,Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Perak.

Rupanya Ada Cara Nak Merangsang Anak Jadi Genius. Boleh Follow 10 Tip Ni.

Mendidik Anak Genius? Ada caranya. Ikutilah 10 tip mudah meransang minda anak di Sekolah Rendah.

Anak saya boleh genius ke? Ya, sememangnya semua anak yang dilahirkan telah Tuhan kurniakan kepintaran (genius) sebagai seorang manusia. Cuma membezakan antara mereka ini adalah jenis kepintaran (IQ, EQ dan sebagainya), waktu dan keupayaan sama ada melibatkan intelek (kognitif), fizikal (psikomotor), dan tingkahlaku (afektif). Sehingga kini, kepintaran yang dimiliki setiap manusia menjadi misteri disebabkan oleh tahap kekuatan dan kebolehan dalam mengawal kepintaran bergantung kepada diri, latar belakang keluarga dan dunia persekitaran mereka. Jika kepintaran ini dapat dipupuk sejak usia kecil lagi, anak-anak ini boleh membesar dengan lebih baik dan cemerlang di masa hadapan

Secara umumnya ukuran kepintaran boleh dinilai melalui kreativiti dan inovasi yang dihasilkan anak ini secara semulajadi atau dipupuk. Tetapi bagaimana kita mampu untuk memupuk bakat dan minat anak ini? Berikut adalah 10 tip berdasarkan kepada pandangan pakar dan kajian terkini, antaranya:

1. Memupuk bakat sedia ada.

Kepintaran tidak dapat bergerak dengan sendiri. Ia perlu dipupuk. Bagi kanak-kanak di peringkat sekolah rendah, apabila terdapat kecenderungan kepintaran dalam sesuatu bidang, untuk menjadinya meningkat adalah melalui latihan dan pendidikan yang berkualiti dan berterusan sama ada yang diberikan di sekolah ataupun di rumah. Berterusan inilah yang dapat membentuk sistem dan amalan dalam diri kanak-kanak untuk terus meningkat maju.

2. Menjaga Masa

Ads

Masa adalah sesuatu yang diperlukan untuk memupuk kepintaran yang kekal dan berkembang. Kekangan masa membolehkan kanak-kanak tidak boleh fokus dan berkembang maju. Dengan cabaran gadget dan media massa yang besar, menyebabkan mereka lalai dan tidak focus untuk memupuk kepintaran yang dimilikinya. Walau bagaimanapun, melalui teknologi juga mampu mempercepatkan waktu mereka untuk lebih pintar jika tahu untuk mengawalnya.

3. Makan Makanan Berkhasiat

Ujian saintifik membuktikan bahawa manfaat makan makanan berkhasiat sejak lahir lagi dapat memberi kesan berpanjangan terhadap otak anak-anak untuk menjadi cerdas dan cerdas. Pemilihan makanan yang mengandungi nutrisi dan zat seimbang membantu tumbesaran otak dan fizikal anak untuk berfungsi pada kadar yang luar biasa.

4. Berikan galakan dan pujian positif

Galakan dan pujian menjadi kunci kejayaan kanak-kanak untuk lebih bersemangat dan positif untuk mempelajari sesuatu yang baru dan mencabar. Sebagai orang dewasa, penting untuk mengekalkan tahap motivasi kanak-kanak agar tidak luntur untuk melakukan dengan penuh berkeyakinan. Pastikan galakan yang diberikan adalah spesifik agar matlamat yang ingin dicapai dapat dilaksanakan sebaiknya. Elakkan komen negatif, perbanyakkan kata-kata semangat dan kisah kejayaan yang positif.

5. Harungi kegagalan sebagai penguat semangat

Ads

Kegagalan sesuatu yang sangat mempengaruhi motivasi diri untuk berjaya. Kita perlulah sentiasa memastikan sesuatu kegagalan adalah pengajaran untuk mereka berusaha untuk berjaya. Jangan terlalu menyalahkan diri mereka atau orang lain. Jadikan ia sebagai takdir yang perlu diharungi dengan pengajaran dan tindakan yang lebih baik secara bersama. Ia dapat mematangkan kanak-kanak untuk bertindak berani dengan cara yang betul.

6. Manfaatkan kejayaan yang hebat

Rupanya Ada Cara Nak Merangsang Anak Jadi Genius. Boleh Follow 10 Tip Ni.

Kanak-kanak kadang kala mempunyai idea yang sangat unik dan hebat. Jika ia membuahkan kejayaan, jadikan peristiwa tersebut sebagai galakan untuk lebih maju. Kembangkan idea hebat mereka melalui penerokaan aktiviti dengan melibatkan guru atau pakar yang dapat membantu mereka. Kualiti yang ditunjukkan nanti akan lebih bermakna, unik dan bermanfaat jika jalan yang diberikan adalah betul dan tepat.

7. Teruskan Perjuangan, Jangan Berundur ke Belakang

Ads

Kanak-kanak ini boleh diibaratkan seperti span yang sentiasa dahagakan maklumat baru. Jika mereka mampu untuk bertindak cemerlang, kita perlu teruskan dengan usaha dan keazaman bersama. Kekuatan intelek perlu seiring dengan kondisi fizikal dan sikap yang baik. Mendorong otak untuk sentiasa cerdas dengan kadar oksigen dan peredaran darah yang baik, memerlukan senaman yang betul dan disiplin yang tinggi. Aturan masa dan tindakan yang sistematik menjadikan mereka sentiasa dalam landasan yang betul, ke hadapan dan bukannya menoleh ke belakang.

8. Mencari bahan pembelajaran yang membantu kecerdasan

Minda perlukan rangsangan. Sesuatu alat atau bahan pembelajaran yang mampu merangsang pemikiran anak untuk menjadi cerdas perlulah betul dan sesuai. Penggunaan instrument muzik sebagai contoh, merangsang otak untuk mengingati not lagu dengan melibatkan fizikal untuk memainkan alat muzik dan perasaan yang menggambarkan kemerduan lagu yang dimainkan. Rangsangan berterusan dengan kemahiran bermain alat muzik secara tidak langsung dapat menjadi tenaga baru untuk kanak-kanak lebih kreatif dalam menghasilkan sesuatu tindakan atau pemikiran yang hebat.

9. Menimba ilmu dengan membaca

Jadikan membaca sebagai tabiat. Melalui pembacaan sebenarnya lebih banyak maklumat yang mereka inginkan dapat dijelmakan dengan tindakan. Keaktifan otak dalam mentafsir maklumat melalui pembacaan sebenarnya dapat membantu kanak-kanak untuk berfikir dengan lebih matang, kreatif dan tepat. Menjadikan buku sebagai panduan perlu dipupuk di rumah dengan menyediakan pustaka kecil dengan bahan rujukan yang berkaitan. Jadikan kita sebagai pemudah cara untuk mereka memahami dan mencintai ilmu agar lebih berfokus dalam menjadikan mereka pintar.

10. Berbincang dengan sihat

Kepintaran perlu dinilai dan ditambahbaik. Kebijaksanaan kita dalam memahami kehendak dan masalah anak, sedikit sebanyak dapat memupuk semangat mereka untuk lebih fokus dalam melakukan sesuatu aktiviti yang mencabar. Perbualan secara langsung dan tidak langsung, dengan menanyakan soalan atau memberikan pandangan dapat memberi mereka banyak ruang dan peluang untuk menambahbaik tahap pencapaian mereka. Jadual waktu rutin harian yang dipersetujui di rumah merupakan salah satu perancangan dalam mencapai matlamat dan akan dinilai sama ada perlu diperbaiki, dikekalkan atau dipertingkatkan.

Secara keseluruhannya, kepintaran memerlukan sokongan dan dorongan kita berdasarkan tahap dan kemampuan yang kanak-kanak perolehi. Sememangnya bakat dan minat boleh dipupuk. Tetapi cara didikan dan asuhan yang diberikan adalah pada kadar yang sesuai pada tahap dan kebolehan mereka. Jangan terlalu memaksa, dan jangan terlalu kecewa jika mereka tidak berjaya. Bersyukurlah atas apa yang Tuhan berikan kepada anak kita, sekurang-kurangnya kita telah berusaha untuk mereka menjadi insan yang berguna.

Sumber: Majalah Keluarga isu Nov -December 2019

Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI