Lelaki Bawa Anak Jadi Peneman Daki Bukit, “Hana Langsung Tak Meragam, Menangis…”
Lelaki bawa anak jadi peneman daki bukit, “Hana langsung tak meragam, menangis…”Kisah dua beranak Hazwan Harawi mendaki bukit bersama bayinya mendapat perhatian warga maya.
Lelaki Bawa Anak Jadi Peneman Daki Bukit
Hazwan memuat naik video pendakiannya bersama anak angkatnya, Hana di TikTok. Hana mendapat pendedahan mendaki bukit kerana bapa angkatnya, Hazwan Harawi, 29, sering membawanya sebagai peneman untuk mendaki di bukit dan taman riadah sekitar Lembah Klang.
Hana sudah merasai pengalaman mendaki walaupun baru berumur sembilan bulan. Bercerita lanjut, Hazwan berkata, mendaki adalah minat dan salah satu hobinya sejak di kampus lagi.
Menurut Hazwan, isterinya, Fatin Sihan, 29, juga ada minat yang sama dan mereka pernah pergi mendaki bersama, salah satunya di Bukit Broga, Selangor.
“Dulu kami pergi mendaki berdua saja tapi sejak hadirnya Hana, dia pun dibawa bersama.
“Cuma, kami ambil Hana sebagai anak angkat pada umurnya tiga bulan. Waktu umurnya empat bulan baru dedahkannya dengan aktiviti riadah.
“Hana Langsung Tak Meragam, Menangis…”
“Awalnya bawa Hana pergi Taman Saujana Hijau di Putrajaya saja kemudian waktu umurnya lima bulan saya dan isteri bawa dia berkhemah di Kuala Kubu Bharu, Selangor dan pernah juga ke Taman Tugu, Kuala Lumpur ketika umurnya tujuh bulan selain berjalan di Pulau Pinang,” katanya.
Hazwan berkata, setakat ini, isterinya tiada halangan walaupun dia pernah pergi berdua saja dengan Hana.
Ia kerana dia dan isteri percaya aktiviti itu baik malah dapat mendedahkan anak kepada alam semula jadi dan bukan hanya membesar dengan gajet atau menonton televisyen semata-mata.
“Selalunya memang kami pergi bertiga tapi dua bulan lalu, isteri ditahan di Hospital Kajang dan saya kena uruskan anak waktu ketiadaannya.
“Jadi bila nampak saya boleh lakukan, isteri tak ada masalah untuk saya bawa Hana berdua tambahan dia kini pun baru hamil.
“Cuma, saya tetap buat persediaan rapi sebelum bawa Hana mendaki di sesuatu tempat dengan menonton video terlebih dulu untuk tengok bagaimana laluan trek dan periksa sama ada kawasan berkenaan mesra bayi serta ada kemudahan tandas berhampiran atau tidak,” katanya yang bekerja di sebuah syarikat dalam bahagian pemasaran dan digital.
Hazwan juga membuat persediaan lain termasuk menyediakan alat pembawa kanak-kanak selain lampin, susu juga snek sebagai bekalan.
Katanya, persiapan lain adalah dengan melihat ramalan cuaca dan ke pusat gimnasium sekurang-kurangnya tiga kali dalam seminggu bagi memantapkan stamina.
“Setakat ini, Hana beri kerjasama baik malah tak meragam pun… paling terkejut waktu mendaki Bukit Sri Bintang kerana dia tak menangis langsung.
“Cuma waktu di Taman Tugu, Hana menangis dalam 100 meter sebelum sampai di atas tapi itu pun sebab dia nak minum susu.
“Cabarannya lebih kepada saya kerana umur Hana pun sudah sembilan bulan jadi agak berat juga nak pikulnya di belakang dan memang sakit bahu serta lenguh kaki setiap kali balik mendaki,” katanya.
Menyentuh mengenai perkongsiannya di TikTok, Hazwan berkata, dia baru memuat naik video aktiviti bersama Hana sejak Mei lalu dan tidak menyangka mendapat perhatian hingga ada yang mengenali serta mahu bergambar dengan anaknya ketika berjumpa di luar.
Menurutnya, niatnya adalah untuk menyimpan memori dengan Hana dan memberi inspirasi kepada bapa di luar sana untuk habiskan masa di luar sana.
“Secara tak langsung, saya nak buktikan juga orang lelaki pun boleh diharap untuk jaga anak cuma bila baca komen, baru saya sedar ramai rupanya ibu bapa di luar sana tak bawa anak beriadah.
“Ada yang tak pernah keluar rumah pun sejak ada anak kecil kerana paranoid. Segelintir netizen pula persoalkan kenapa bawa Hana mendaki kerana anggap ia bahaya untuk keselamatan selain risau jika anak terkena gangguan mistik.
“Saya faham kebimbangan mereka malah sebagai orang Islam memang kena percaya dengan benda ghaib cuma risiko atau bahaya ada di mana-mana jadi kita cuba ambil langkah keselamatan.
“Selebihnya doa minta perlindungan Allah SWT,” katanya yang menggalakkan ibu bapa lain membawa anak beriadah sebagai terapi emosi bagi menghilangkan tekanan menjaga si kecil.
Sumber: Harian Metro Facebook Hazwan Harawi
Baca artikel lain juga: Pelajar Malaysia Di UK Sorok Bayi Baru Lahir Dalam Kotak Bijirin, Sumbat Dalam Beg Pakaian
Pelakon Hafeez Mikail Timang Anak Sulung, Isteri Selamat Bersalin Bayi Perempuan
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my
Pertama Kali Anak Datang Haid: Ibu Sila Main Peranan!
Menginjak ke usia 10 tahun, kanak-kanak perempuan mula menampakkan perubahan dari alam kanak-kanak ke alam remaja dan sekali gus menuju ke arah akil baligh. Ia merupakan kejadian fisiologi yang biasa terjadi sehingga memasuki alam dewasa, kebiasaannya proses ini mula berlaku antara usia sembilan hingga 15 tahun.
Pada waktu usia sebeginilah, darah haid yang menandakan seseorang itu telah baligh akan mula keluar.
Justeru, kanak-kanak seusia begini harus diberi penjelasan yang sebenarnya. Memang benar mereka telah mengetahuinya mengenai haid ini menerusi iklan televisyen yang memaparkan tentang cara penggunaan tuala wanita, namun apa sebenarnya haid dan bagaimana untuk menghadapinya tidak diketahui. Walaupun perkara ini mungkin disentuh melalui pendidikan kesihatan di sekolah, namun penerangan dari ibu terutamanya lebih menjadikan pengalaman pertama kali datang haid ini lebih selesa untuk dilalui oleh si anak.
Dalam zaman yang moden ini, seharusnya soal ini diberi perhatian khusus oleh ibu-ibu. Ini kerana banyak persoalan yang bermain di minda kanak-kanak ini yang perlu penjelasan supaya mereka dapat melalui proses kedatangan haid ini tanpa sebarang masalah.
Antara persoalan yang selalu akan bermain di dalam fikiran mereka termasuklah:
* Bila haid akan keluar?
* Bagaimana mereka akan mengalaminya, sakit atau tidak?
* Bagaimana hendak mengahadapinya?
* Bagaimana hendak memakai tuala wanita?
* Malu!
* Jika datang tiba-tiba di sekolah, bagaimana?
* Bagaimana nak membasuh tuala wanita itu?
*Bagaimana kalau pening lihat darah yang banyak keluar?
* Apa yang perlu dihindarkan semasa datang haid?
Sebenarnya banyak lagi persoalan yang tidak mungkin terjawab selagi mereka tidak mengalaminya sendiri, namun seelok-eloknya sedikit panduan harus diberitahu terlebih dahulu. Sebagai ibu, tugas dan tanggungjawab menerangkan tentang haid sudah semestinya dipersiapkan di dalam diri kerana lambat atau cepat, anak perempuan anda pasti akan melalui proses ini.
Sebagai ibu, terangkan apakah itu haid?
Penerangan yang paling ringkas mengenai haid ialah setiap bulan, ovari dalam badan perempuan akan menyediakan satu ovum untuk menunggu ia matang dan dilepaskan. Ovum akan berhenti di saluran ovari, sedia untuk persenyawaan. Ketika ini, bahagian dalam uterus akan menjadi lembut supaya ovum boleh berada di dalamnya. Jika ovum bersama dengan sperma, mereka akan bersenyawa di dalam uterus. Jika tidak ovum akan dialirkan keluar badan bersama membran uterus. Darah dan badan sel inilah dikatkan haid.
Kebiasaannya,jangka waktu hari haid akan mengambil masa tiga hingga enam hari di mana darah akan berwarna merah atau coklat kehitaman. Ibu juga harus menerangkan kepada anak perempuan mereka bahawa datang haid tidak membataskan mereka melakukan aktiviti dan beriadah kerana aktiviti ini dapat mengurangkan kesakitan semasa datang haid atau period pain.
Kebanyakan wanita yang didatangi haid akan mengalami gejala-gejala seperti sakit perut di bahagian bawah perut. Ini adalah kerana pengecutan yang kuat oleh uterus untuk mengalir membran uterus keluar.Proses ini merupakan proses yang sering kali dialami oleh wanita. Antara cara untuk mengurangkan rasa sakit tersebut adalah dengan meletakkan hot water bag di perut atau menyapukan minyak angin di perut.
Selain itu, penggunaan tuala wanita juga harus diberi pendekatan yang berbeza untuk anak perempuan. Galakkan mereka untuk menukar tuala wanita tiga hingga lima kali bergantung kepada banyaknya darah yang keluar.Teknik kebersihan tuala wanita juga merupakan perkara yang wajib diberi perhatian khusus oleh kanak-kanak perempuan kerana ia perlulah dibungkus dengan menggunakan kertas surat khabar dan dibuang ke dalam tong sampah. Kebanyakan kanak-kanak perempuan mudah merasa panik sekiranya haid tiba-tiba datang ketika mereka berada di sekolah. Oleh itu, sediakan tuala wanita extra di dalam beg dan maklumkan kepada guru sekiranya terpaksa menukar baju jika darah terkena pada belakang pakaian.
Tip semasa datang haid
* Kurangkan pengambilan garam kerana boleh menyebabkan pengumpulan cecair dalam badan dan menyebabkan ketidakselesaan.
* Makan dengan cukup.
* Sekiranya sakit perut, boleh mengambil makanan seperti coklat, teh, yogurt atau susu.
* Makan sayur-sayuran, buah-buahan, bijirin, roti, ikan, tomato dan pisang.
* Bersenam dan melakukan aktiviti ringan.
* Mandi dan tukar tuala wanita pada masa yang tetap.
Hidap Cerebral Palsy Bukan Halangan Pasangan OKU Bina Rumah Tangga, Keluarga Beri Sokongan
Hidap Cerebral Palsy bukan halangan pasangan OKU bina rumah tangga, keluarga beri sokongan. Majlis perkahwinan pasangan Orang Kurang Upaya (OKU) yang menghidap Cerebral Palsy baru-baru ini menarik perhatian warga maya. Pasangan istimewa itu melangsungkan perkahwinan pada 24 Mei lalu.
Hidap Cerebral Palsy Bukan Halangan Pasangan OKU Bina Rumah Tangga, Keluarga Beri Sokongan
Perkahwinan Muhammad Shahriel Hakimi Hayuddin dan pasangannya, Aireen Natasha Mohd Zahid menjadi tumpuan di TikTok selepas Muhammad Shahriel Hakimi memuat naik video majlis mereka.
Memetik SinarPlus, Shahriel, 25,berkenalan dengan Aireen Natasha, 21, melalui penstriman langsung seorang sahabat di TikTok tiga tahun lalu. Pertemuan di alam maya tersebut menimbulkan perasaan suka terhadap Aireen Natasha.
“Saya kenal isteri melalui live kawan. Ibarat cinta pandang pertama, dari situ saya mula mendekati dirinya. Pada mulanya saya bimbang mendekati kerana takut keluarga belah sana tidak setuju. Alhamdulillah, keluarga saya dan keluarga isteri menerima hubungan kami dengan hati terbuka,” ujar Shah.
Shahriel mengambil keputusan untuk berkahwin, setelah mendapat sokongan dan restu kedua-dua keluarga,
“Sebulan sebelum majlis, kami telah menyediakan segala kelengkapan dengan bantuan kedua belah keluarga. Kami seperti insan lain yang mahu merasai kebahagiaan. (Selepas video perkahwinan mendapat perhatian) ada yang memberi kata semangat dan ada yang negatif, tetapi saya jadikan ia sebagai motivasi untuk melangkah lebih jauh.
“ALHAMDULILAH KALAU DAH JODOH TAK KEMANA.. TERIMA KASIH KAWAN-KAWAN KERANA MERIAHKAN MAJLIS PERKAHWINAN KAMI BERDUA”- TULISNYA DIRUNGAN KAPSYEN.
“Syukur, orang tua kami memberi sokongan dan kepercayaan kepada kami anak OKU berkerusi roda untuk menjalani kehidupan berkeluarga,” katanya.
Berkongsi mengenai perubahan dirinya selepas berkahwin, Muhammad Shahriel meluahkan rasa syukur dan gembira kerana impiannya untuk hidup bersama insan tersayang tercapai.
“Mestilah gembira… Dahulu buat apa-apa sendirian, sekarang berdua. Selain itu, tanggungjawab juga perlu saya galas dengan baik. Itu yang membantu membuatkan saya lebih matang dan bersemangat untuk berkeluarga walaupun kami banyak kekurangan diri. Yang penting kami syukur selalu,” ujarnya.
Shah dan isterinya yang kini masih menetap bersama keluarga bercita-cita untuk memiliki kediaman sendiri suatu hari nanti.
“Saya berniaga dalam talian, manakala isteri tidak bekerja. Walaupun saya berstatus OKU dan agak sukar mencari rezeki, tetapi saya berusaha dengan kemampuan diri untuk membahagiakan orang sekeliling.
“Saya juga mahu membuktikan OKU boleh bekerja seperti orang normal. Walaupun pendapatan tidak banyak, saya bersyukur dapat memberi hasil kepada ibu bapa dan kini menanggung isteri.
Saya berharap dapat memberikan keselesaan dalam menyediakan keperluan untuk keluarga kecil kami ini,” katanya sambil mendoakan agar hubungan mereka kekal hingga ke syurga.
Sumber: SinarPlus
Baca artikel lain juga: Road Tax Percuma! Mak Ayah Ada Anak OKU Layak Mohon, Rugi Tak Buat!
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my