Berita

Rumah ‘Tenggelam’ Dengan Timbunan Sampah Sarap, APM Terpaksa Dipanggil Keluarkan Warga Emas

Share

Rumah ‘tenggelam’ dengan timbunan sampah sarap, APM terpaksa dipanggil keluarkan warga emas. Seorang wanita warga emas berusia 86 tahun tinggal di sebuah rumah yang dipenuhi dengan sampah sarap.

Rumah ‘Tenggelam’ Dengan Timbunan Sampah Sarap

Bagaikan ‘ditelan’ sampah sarap, begitulah keadaan rumah dua tingkat di Jalan Mano, Georgetown, Pulau Pinang yang dihuni seorang wanita warga emas berusia 86 tahun.

Tabiat wanita itu yang gemar mengumpul barangan lusuh dan kitar semula di rumahnya sejak beberapa tahun lalu menjadikan rumah yang dihuninya itu ‘tenggelam’ dengan timbunan sampah sarap.

Pasukan penyelamat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang melakukan tugas khas mengeluarkan wanita itu dari rumahnya. Tugas penyelamatan dilakukan selepas APM menerima panggilan daripada ahli keluarga yang mendakwa wanita yang dalam keadaan tidak sihat itu sukar dikeluarkan dari rumahnya berikutan terdapat timbunan sampah.

Pegawai APM Daerah Timur Laut Kapten (PA), Muhammad Aizat Abdul Ghani berkata, mangsa didakwa tidak dapat berjalan dan sukar bergerak keluar daripada kediaman dua tingkat itu berikutan dipenuhi dengan barangan lusuh dan kitar semula yang dikumpulnya.

“Mangsa dikatakan mahu tinggal di pusat jagaan warga emas berhampiran namun berikutan keadaannya yang tidak sihat dan sukar keluar daripada timbunan sampah di dalam rumah, keluarga menghubungi APM bagi mendapatkan bantuan.

APM Terpaksa Dipanggil Keluarkan Warga Emas

“Seramai empat anggota APM terbabit dalam tugas itu dengan menggunakan pengusung dan teknik ‘berekor’ bagi membawa mangsa keluar daripada rumah,” katanya.

Muhammad Aizat berkata, mangsa yang berjaya dibawa dikeluarkan turut diberi rawatan awal.

Katanya, wanita terbabit mempunyai sejarah penyakit kencing manis, hipertensi, gangguan pendengaran dan lemah badan.

“Mangsa tidak berkahwin dan tinggal bersendirian di rumah itu serta dipercayai sudah lama mengumpul barangan terpakai dan lusuh.

“Keluarganya mendakwa mangsa yang kerap terjatuh sering menelefon mereka pada tengah malam bagi meminta bantuan.

“Berikutan itu, keluarganya mahu menghantar mangsa ke pusat jagaan dengan persetujuan wanita berkenaan,” katanya.

Difahamkan, wanita itu bukan saja menyimpan barangan di dalam rumah, tetapi juga di halaman kediamannya.

Tinjauan di rumah itu mendapati longgokan sampah boleh dilihat daripada luar pagar kediaman yang turut menempatkan tiga kereta.

Sumber: Sinar Harian

Baca artikel lain juga: Bayi Dilaporkan Hilang Ketika Tidur Nyenyak, Rupanya Bapa Muda Ini Tekup Hingga Maut Dan Buang Dalam Timbunan Sampah

Rezeki Terpijak, Lelaki Ni Dapat Cincin Bernilai RM24K Dalam Timbunan Sampah!

Terbuang Dompet Barang Kemas Yang Disimpan Sejak Umur 18 Tahun, Syukur Pekerja MBSP Sanggup Cari Sampai Jumpa!

 

 

 

Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA  atau join keluargagader club

Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my