Kisah keluarga ini pernah dimuat naik Majalah Keluarga baca di sini sebelum ini hasil perkongsian puan Natipah Abu. Menerusi laman facebooknya, sukarelawan terkenal dari utara ini menunjukkan keadaan pondok usang yang didiami oleh sepasang suami isteri dan empat orang anak ini bersih dan tenang walaupun keadaannya serba kekurangan.
Menurutnya lagi, keluarga ini memerlukan RM7K bagi membina dapur yang selamat dan juga selesa. Kebersihan pemilik rumah yang luar biasa telah membuka hati ramai pembaca dan rata-rata memuji keluarga ini kerana walaupun susah namun tetap menitikberatkan soal kebersihan dan kekemasan rumah.
Hasil perkongsian tersebut, ada Hamba Allah yang tampil membantu keluarga ini. Itu dikongsikan oleh puan Natipah atau mesra dengan panggilan Kak Pah baru-baru ini menerusi laman facebooknya. Rumah yang dahulunya berlantaikan tanah kini sudah berubah wajah.
SUSULAN POST .
Ketika berkongsi kisah rumah yang dapurnya berlantaikan tanah ini dalam slot Sedekah Jumaat 14 Ogos lalu, sasaran kita hanyalah untuk menyiapkan ruang dapur sahaja.
Namun siapa sangka rezeki yang Allah susun untuk pemilik rumah ini, kita didatangi seorang Hamba Allah yang benar-benar berhajat untuk melawat sendiri rumah tersebut.
Ketika lawatan ke rumah itu, kita pun menerangkan kepada Hamba Allah tersebut tentang matlamat kita untuk menyiapkan dapur itu seadanya.
Melangkah masuk ke ruang tamu rumah itu , kaki kami memijak lantai yang lembut. Lantai itu kelihatan sempurna di pandangan .. seolah-olah lantai semen beralaskan tikar getah tetapi anehnya bila dipijak, ia lembut dan tapak kaki kami seakan tenggelam.
“ Ini lantai apa ? “
“ Ini pasir yang dicampur dan digaul dengan semen. Pasir yang banyak. Kami tak ada duit nak buat lantai semen jadi kami buat macam ni. Lantai ni, kami alas dengan guni baja di atasnya … lepas tu baru kami letak tikar getah ni ! “
Kami terdiam seketika … begitu sekali pasangan muda ini mencari ilham untuk memberi kelesaaan kepada anak-anak mereka yang empat orang itu biarpun dalam keadaan tidak mampu.
“ Saya akan tanggung semua kos untuk ruang tamu ni. Saya nak dipasang tiles ! “
Hamba Allah itu tiba-tiba bersuara sambil memandang ke arah tukang rumah yang ada bersama. Jelas sekali arahannya …
“ Biar betul ! “
“ Ya betul. Cik Pah buat bahagian dapur. Yang lain saya buat semua. Saya tanggung ! “
Bagai bulan jatuh ke riba .. khabar gembira itu diterima dengan penuh rasa syukur oleh pemilik rumah.
Sungguh indah percaturan Allah .. kami bertiga langsung tidak pernah mengenali antara sama lain samada dia, kita atau pemilik rumah. Langsung tak pernah berjumpa pun sebelum ini namun kerana rezeki mereka, kami bergandingan untuk menyiapkan rumah tersebut.
“ Buat apa bagi kat tuan rumah ni banyak sangat. Baiklah bagi kat orang lain juga. Ramai lagi orang susah yang perlukan bantuan … “
Itu kata-kata yang kita terima ketika kerja pembinaan rumah ini bermula. Natijahnya … kita tetap dengan akad kita, menyiapkan dapur.
Yang lain .. datangnya dari Hamba Allah itu yang memang hajatnya untuk keluarga tersebut. Apa hak kita utk menghalang dan mempersoalkan tentang rezeki yang telah Allah kirim buat mereka.
Apabila kita sampaikan kata-kata sinis yang dilontarkan itu Hamba Allah itu, jawapannya ….
“ Saya suka orang yang pembersih. Kalau kita bagi pada orang macam ni, dia akan hargai dan jaga pemberian kita dengan elok. Semoga dengan rezeki rumah baru ni, akan meningkatkan ketaqwaan mereka kepada Allah . Inilah amal jariah saya untuk kedua arwah ayah bonda saya … “
Tenang Hamba Allah yang sudah melewati 50an usianya itu menuturkan bicara. Dia yang juga seorang ahli perniagaan, berasal dari daerah yang sama dengan lokasi rumah ini, Baling.
Benar .. posting rumah ini tular kerana kebersihan pemilik rumah yang luar biasa dan telah membuka hati ramai pembaca untuk mensyukuri segala apa yang ada di depan mata dan apa yang kita miliki hari ini.
Kerja-kerja pembinaan yang bermula pada Isnin, 17 Ogos itu telah berakhir dan rumah ini siap sepenuhnya pada Sabtu, 10 Oktober .
Kepada semua penyumbang slot Sedekah Jumaat FB Natipah Abu .. semoga kita terus istiqamah demi sama-sama mencari rahmah dan barakah hidup, menumpang doa dari insan-insan yang memerlukan di luar sana.
Terima kasih kepada semua penyumbang …
Ads
Ads
Ads