
Kalau anda sekeluarga memang gemar makan roti naan cheese dan kebiasaanya hanya order di kedai mamak, apa kata kali ini kita sediakan sediri di dapur rumah kita pula. Mungkin ada yang membayangkan mana mungkin, maklumlah di rumah kita mana ada perkakasan lengkap sepertimana yang biasa kita lihat di kedai-kedai makan.
Tapi itulah yang menjadikan perkongsian daripada puan Hadayati Johari ini unik dan istimewa. Melalui perkongsiannya, siapa sangka roti naan juga boleh dimasak di atas kuali dan hasilnya nampak sempurna dan menyelerakan!
Untuk itu, jom kita pula mencuba resipi ini dan dapatlah kita anak beranak mencuba rasa menu yang enak ini.
Resepi Roti Nan Cheese Super Simple
1kg Tepung Roti
3 Sudu Gula
3 Sudu Mentega/Marjerin
1 paket kecil Yis Kering
Setengah sudu Pelembut Roti(takde pun tak apa)
Air secukupnya(Tuang sikit-sikit sehingga jadi doh yang licin)
Mozarella Cheese
Caranya:
1. Satukan semua bahan kecuali Mozarella Cheese dan air.
2. Gaulkan bahan sehingga rata.
3. Masukkan air sedikit demi sedikit dan uli sehingga menjadi doh.
4. Setelah jadi doh. Rehatkan 30 minit dan tutup dgn kain basah.
5. Doh akan naik 2 kali ganda. Tepuk doh. Keluarkan anginnya. Uli sekali lagi.
6. Canaikan doh. Letakkan Mozarella Cheese di tengah. Seperti buat pau. Bulatkan semula.
Buat hingga siap. Saya buat tadi dapat 9 keping.
7. Canaikan. Dan panaskan kuali dengan api yang kecil. Masak sehingga kekuningan. Goreng tanpa minyak.
8. Siap dihidangkan.
Posted by Hidayati Johari on Tuesday, 17 September 2019
Note: Makan panas-panas.. Baru la boleh tarik-tarik cheese tu.. Hehe..
Kalau nak frozenkan, masak separuh dulu. Baru simpan.
sumber : Hidayati Johari via MAHN
“Isteri Baru Bukan Pengganti, Mereka Insan Berbeza.” Dulu Viral Jaga Arwah Isteri Sakit, Kini Abil Kembali Sulam Bahagia!

Masih ingat dengan kisah Abil Fikri Ahmad, seorang suami satu dalam sejuta yang telah berkorban segalanya untuk menjaga isterinya yang terlantar sakit?
Kisahnya pernah tular suatu ketika dahulu selepas mengambil keputusan berhenti kerja dan menjaga isterinya sepenuh masa. Mendapat jolokan Duda Idaman Malaya, kisah ketabahannya menjaga isteri Fauziah Muhamad yang menderita penyakit saraf otak sehingga meninggal dunia pada 2 April 2013 diingati sehingga kini.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 13 Mac 2009, namun selepas dua tahun merasai nikmat alam rumah tangga, isterinya mendapat serangan asma pada 22 Jun 2011 dan sejak itu dia disahkan lumpuh selain saraf otaknya tidak lagi berfungsi.
Akhiri zaman duda selepas lima tahun
Selepas lima tahun hidup menyendiri, Abil Fikri Ahmad, mengakhiri zaman dudanya dengan suri hati Nor Aida Mohamad pada Julai tahun lalu.
Dia dalam pada itu, meluahkan rasa syukur kerana kekosongan jiwanya selepas pemergian isteri kini terisi dengan kehadiran isteri baru yang disifatkan seorang yang memahami.
Isteri baru sama negeri dengan arwah
Menurutnya, perkenalannya dengan isteri bermula sebagai rakan blogger, namun masing-masing tidak pernah meluahkan isi hati.
“Isteri antara rakan blogger yang rapat dan banyak membantu saya. Lagipun kebanyakannya sudah berkahwin dan dia pula masih bujang pada waktu itu, sudah tentulah saya lebih rapat dengannya,” jelas Abil sambil mengakui Nor Aida yang berjaya mencuri hati Abil Fikri juga berasal dari Terengganu sama seperti Allahyarhamah Fauziah.
“Tapi, kami tak pernah declare sebagai pasangan kekasih pun. Cuma, Disember lalu saya mencuba nasib melamarnya dengan soalan bergurau sama ada sanggup berkahwin dengan saya. Tak sangka dia menjawab ok,” katanya.
Bekas perunding kewangan itu turut berkongsi rasa apabila bakal menimang cahaya mata sendiri dalam usia 50 tahun.
Allah sedia ‘hadiah’ istimewa
Malah, katanya, berita gembira itu dikhabarkan isterinya pada sambutan ulang tahun kelahirannya pada 28 Januari lalu sekali gus menjadi hadiah paling besar dalam hidupnya.
“Pada Julai tahun lalu, saya menemui pengganti teman hidup selepas lima tahun hidup sendiri dan tahun ini saya bakal bergelar bapa pula. Bayangkan dalam usia begini baru dapat rasa perasaan macam mana bergelar bapa.
“Awalnya saya seperti tak percaya, blur dan tidak terkata bila isteri memberitahu berita kehamilannya. Termenung seketika waktu itu, lama-kelamaan baru saya rasa seronok. Alhamdulillah, Tuhan nak bagi kita tak tahu, dulu saya jaga arwah sakit dan apabila dia ‘pergi’ saya rasa ‘alone’ kerana tak ada orang nak ceriakan hidup saya.
‘Rupanya Allah nak sediakan ‘hadiah’ yang cukup istimewa buat saya. Betapa besarnya nikmat yang Dia beri kepada saya. Saya sangat bersyukur dan gembira dengan kurniaan ini. Dapat isteri yang baik dan memahami. Kehadiran Aydan Mikail pada 19 September lalu cukup bermakna buat saya.
Kehidupan si kecil cukup bermakna
Malah pengalaman menjaga arwah isteri yan sakit juga memberi kelebihan untuknya menguruskan anak kesayangannya ini. Memang pada pandangan mata kasar, orang di luar sana sedih melihat dirinya yang berkorban menjaga isteri.
Sebaliknya bagi Abil, pengalaman enam tahun lepas banyak memberi pengajaran padanya tentang erti kasih sayang dan tanggungjawab.
Malahan terdapat juga pengalaman sampingan ketika itu yang dapat dirinya praktikkan hari ini. Seperti mana memandikan arwah, kini Abil dapat memandikan dan menukar lampin pakai buang anaknya tanpa kekok.
Pengalaman masa lalu dapat digunapakai Abil dalam kehidupan bersama isteri barunya, Nor Aida dan cahaya mata mereka. Kedatangan Aydan adalah pengganti kepada kesedihan yang telah dia lalui dahulu.
“Selama ini saya memang tidak pernah jangka akan berkahwin semula dan akan mempunyai anak, maklumlah saya menduda dalam usia lewat 40-an. Lagi pun ketika itu saya memang masih sayangkan arwah isteri, bahkan sehingga hari ni sayang dan cinta saya pada dia meningkat dari hari demi hari,” kata Abil lagi.
Rutin jenguk ibu arwah
Bercerita mengenai keluarga sebelah arwah, Abil Fikri berkata, saban tahun rutinnya adalah menziarahi ibu arwah isterinya di Terengganu.
” Walaupun sudah ada isteri baru tetapi ibu arwah Gee tetap ibu saya selamanya. Rutin saya melayaninya sehingga kini tetap sama.
Isteri bukan pengganti arwah
Malah, dia yang kini aktif sebagai penceramah bersyukur kerana Nor Aida sangat memahami dan tidak pernah cemburu.
“Saya tak pernah anggap Aida sebagai pengganti arwah kerana pada saya mereka adalah dua insan yang berbeza. Saya berkahwin bukan kerana nak cari ganti kerana arwah tiada galang gantinya. Tetapi saya kahwin lain kerana nak cari isteri baru. Mereka ada keistimewaan masing-masing dan saya tidak pernah terfikir untuk membandingkan mereka berdua.
“Kahwin kena ada rasa suka dan sayang, tapi sebab kami dah biasa buat kerja bersama memandangkan dia PA saya, jadi apa jua masalah saya ceritakan padanya. Ada benda yang saya tak ceritakan pada orang lain, tetapi dengan Aida mudah untuk saya luahkan.
“Malah, dulu saya selalu berdoa mengharapkan jodoh buat kali kedua dengan wanita berasal dari Terengganu iaitu sama dengan arwah isteri, itu juga Allah makbulkan. Bila satu kampung ini, senanglah saya nak pergi ziarah. Paling saya terharu kerana ibu arwah juga merestui hubungan saya dengan isteri.
“Alhamdulillah, lepas kahwin barulah saya rasa nikmat nak bercinta. Tak sangka cinta selepas nikah lebih menyeronokkan dan rasanya lain macam. Waktu isteri beritahu dia hamil, saya sempat bergurau, kononnya anak kami umur 10 tahun nanti saya dah macam ‘atuk’ pada anak sendiri,’ seloroh Abil yang mengakui selain memahami, isterinya juga matang dan tidak cepat melatah biarpun tahu suaminya itu mempunyai ramai ‘follower’ di media sosial.
DIY Kabinet Dapur Sendiri, Lelaki Ini Guna Kos Hanya RM94 Sahaja Lengkapkan Dapur Miliknya!

Memasang sebuah kabinet dapur yang cantik dan lengkap dengan segala fungsi memang didambakan oleh semua wanita.
Pun begitu bukan semua orang punya citarasa sama. Ada juga yang lebih gemar melakukan sendiri dan berkreatif demi mencari kelainan di rumah sendiri.
Ada daripada kita yang gemarkan gaya luar biasa, bersahaja mahupun cara paling simple dalam menghias rumah. Begitu juga di dapur.
Bagi anda yang lebih gemar melakukan sendiri, ada baiknya anda mencuba hasil ilham Shuhaimi Zulkefli yang membina sendiri kabinet DIY nya di rumah dengan hanya menggunakan rak buku.
Cantik, kemas dan kreatif. Bukan hanya cantik dan kemas, malah ideanya ini mendapat perhatian netizen yang rata-rata sangat berminat dengan hasil kerjanya.
Pemuda ini berkongsi hasil kerjanya dengan turut menyenaraikan bajet yang diperlukan. Menarik!
“Oleh sebab ramai pm cara buat kabinet pakai rak buku tu, saya bagi gambar detail di bawah sekadar berkongsi.
Saya hanya pakai :
1) Rak Buku (Tesco)
– RM14.90 x 6 Biji
2) Angle Bar L Shape (Kedai D.I.Y @ hardware)
– RM3.60 (12 pcs)
3) Paku Dinding (tak pakai drill)
– RM1 (sebungkus)
TOTAL = RM94.00
** Setiap rak, saya letak 2 pcs Angle Bar (atas & bawah) tepat pada tulang tengah tu. Tingkat atas tak perlu ikat, letak jer kat situ.
** Beban paling berat saya, lesung batu & botol pencuci.
Cantikkan hasilnya? Bukan hanya itu sahaja malah dia juga dengan sedang mempersiapkan beberapa projek DIY lain.
Next insya allah, sekarang saya tengah siapkan projek diy yang lain :
1) Sofa L Shape size 9 kaki untuk 12 orang duduk, dengan modal RM250 sahaja.
2) Buaian katil bayi dengan bermodal RM60.
3) Kitchen Hood – Penyedut Asap Dapur DIY kos dalam RM100
Hebat!
Selamat mencuba!
Nak Hidup Bahagia? Ikut 30 Cara Dari Pakar Motivasi Ini!

Semua manusia di dunia ini inginkan kebahagian dalam hidup. Kita bekerja keras mengumpul wang, belajar tinggi hingga ke menara gading dan pelbagai lagi usaha dilakukan hanyalah untuk mencari kebahagiaan.
Dan seringkali kita tersalah tafsir akan makna bahagia itu diterjemah dengan memiliki material. Rumah besar bak istana, duit banyak, barang kemas intan berlian, kereta mewah dan pelbagai lagi.
Rupa-rupanya formula nak hidup bahagia yang dikongsi oleh Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah tidak langsung memerlukan semua itu. Buat anda di luar sana lakukan 30 perkara ini untuk rasai hidup bahagia.

30 cara untuk hidup sentiasa gembira:
- Sentiasa cukup tidur.
- Makan makanan seimbang.
- Solat awal waktu.
- Tanam niat yang baik-baik sebelum buat sesuatu.
- Bersenam selalu.
- Pakai-pakaian bersih dan kemas untuk kepuasan diri bukan untuk impress orang lain.
- Tonton cerita kelakar yang memberi inspirasi.
- Bergaul dengan orang yang kamu sayangi.
- Sentiasa dalam mood bercinta. Bukan sahaja pada orang lain tetapi pada diri sendiri.
- Fikirkan sesuatu yang mengembirakan sahaja.
- Sentiasa bersyukur dengan semua yang kamu ada.
- Merasa cukup dan hargai dengan apa yang kamu ada.
- Jangan terpengaruh dengan hasad dengki orang.
- Tidak mengeluh dan komplen sana sini.
- Jangan bandingkan diri kita dengan orang lain.
- Jangan pernah berharap kamu ini adalah orang lain yang nampak sempurna di media sosial.
- Layan dengan baik apa yang kamu miliki.
Photo by Ron Sinda on Unsplash - Hargai peluang yang datang dalam hidup.
- Hargai juga peluang kedua.
- Hidup sesederhana dan mencukupi.
- Terima siapa diri kamu.
- Jadi versi orang yang paling terbaik.
- Sentiasa yakin dengan keupayaan kamu.
- Jangan menghukum dan menghina diri sendiri.
- Buat sesuatu yang kamu cintai.
- Jangan hidup semata-mata untuk perhatian orang.
Photo by Satria Hutama on Unsplash - Lepaskan apa juga yang menarik diri kamu ke lembah sengsara.
- Yakin bahawa kamu berhak dapat yang terbaik.
- Jangan biar orang mengawal hidup kamu.
- Jadi pahlawan yang sentiasa berjuang setiap hari.
Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah, sentiasa gembira dan ceria sepanjang masa.
Sebagai wanita, anda berhak untuk hidup bahagia dan menikmati kehidupan yang ceria dan gembira di sisi keluarga. Wanita yang bahagia akan juga membawa kebahagian buat keluarganya. Oleh itu pentingnya wanita menjaga emosi dan spiritualnya agar sentiasa stabil, seimbang dan gembira
Sumber : Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club