Sebenarnya pelbagai hidangan enak dan ringkas boleh dibuat menggunakan roti. Malah untuk membuatnya mudah dan menjadi kesukaan ahli keluarga. Roti Berlapis Daging Bakar adalah salah satu resipi yang mengunakan roti. Dengar menu ni pun sudah tahu gerenti sedap. Daging dan keju memang gandingan rasa yang mantap.
Rasa rangup dan keju pasti dapat memikat selera anak-anak untuk berbuka puasa. Dengan menggunakan bahan mudah seperti roti, susu segar, keju, daging dan sayur campur sudah pasti akan menjadi juadah menyelerakan buat seisi keluarga. Memang sedap dihidangkan ketika berbuka puasa! Menerusi facebook pemilik resipi ini, puan Sue M Arukin kita ikuti cara-cara membuatnya.
IKUTI PERKONGSIAN INI.
Roti Berlapis Daging Bakar. Beberapa tahun dulu pernah viral kejap resipi ni. Harini saya buat lagi untuk buka puasa kejap lagi. Mana tau ada yang nak resipinya dan cuba buat, di bawah ada resipinya.
Bahan-bahan:
8-10 keping roti (saya guna roti whole meal)
4 biji telur
1/2 cawan susu segar
Parutan keju secukupnya (Parmesan/mozzarella/cheddar)
Bahan-bahan inti:
300grams daging/ayam kisar
1/2 cawan kacang peas frozen
1 batang lobak merah – parut
1 tangkai daun bawang – cincang
1 labu bawang besar – dadu kecil
4 ulas bawang putih – cincang halus
1/2 sudu teh campuran Italian Herbs kering
Garam, lada sulah & lada hitam secukup rasa
Cara penyediaan:
1. Untuk membuat inti; panaskan 1 sudu makan minyak sayur dalam kuali. Tumis bawang dan bawang putih hingga wangi, masukkan daging kisar dan tumis hingga daging bertukar warna. Masukkan kacang peas, lobak merah, daun bawang dan Italian Herbs lalu kacau rata. Tambah garam, lada sulah & lada hitam secukup rasa. Ketepikan.
2. Bancuh telur bersama susu hingga sebati dan letakkan sedikit garam.
3. Sediakan bekas casserole lalu sapu sedikit mentega di dalamnya.
4. Roti di celup dalam bancuhan telur dan susun menjadi lapisan dasar dalam casserole. Sendukkan inti daging menjadi lapisan kedua kemudian taburkan parutan keju. Ulangi proses hingga menjadi beberapa lapisan. Akhir sekali tabur lebihan keju di bahagian paling atas.
5. Bakar dalam ketuhar yang telah dipanaskan pada suhu 170-180C selama 40 minit atau hingga masak.
Happy Cooking!
Sumber: Sue M Arukin