Datuk Aznil Nawawi terpanggil membantu anak tahfiz di Maahad Tahfizul AlQuran Anawiyah, Cheras yang berdepan serba kekurangan.
Pengacara serba boleh itu memohon jasa baik pengikut Instagramnya untuk menderma wang ke pusat tahfiz berkenaan.
Sehingga kini, sudah RM31,000 berjaya dikumpul untuk disalurkan ke pusat tahfiz itu berkat derma orang ramai termasuk peminatnya.
“Alhamdulilah, ada ramai yang bermurah hati mengurangkan beban sekali gus membantu pihak pusat tahfiz ini memperbaiki apa yang kurang.
“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan lalu mereka terus diuji. Banyak sudut di pusat tahfiz itu rosak. Ada yang dimakan anai anai. Malah bumbung tempat mereka berteduh pun bocor hingga dimasuki air hujan.
“Malah masih tinggi lagi tanggungan yang pusat tahfiz ini perlu demi meneruskan operasi. Sekurang kurangnya dengan bantuan yang menderma dapat mengurangkan masalah ditanggung,” kata Aznil.
Jadi kerja membaik pulih pondok tahfiz itu dilakukannya tanpa mengambil upah.
“Kiranya derma yang dikumpul antaranya dapat digunakan untuk membayar kos barangan yang dibeli.
“Kalau ada yang mahu terus menderma, boleh ke Instagram saya @aznilnawawihm,” katanya.
Kata Aznil yang baru melancarkan single mengenai kisah buli siber berjudul Apo itu, beliau mula mengenali pusat tahfiz itu kira kira tiga tahun lalu menerusi syor pengurusnya.
“Ada dalam 30 orang anak tahfiz di situ. Tenaga pengajar pula sekitar empat orang.
“Saya pernah juga menganjurkan majlis khatam Al Quran untuk anak tahfiz di situ sebelum ini. Dalam hati juga pernah terdetik nak jadikan ambil beberapa orang daripada anak tahfiz itu sebagai anak angkat,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Aznil yang terkenal dengan sikap pemurah turut menganjurkan Class Of Infuencer secara percuma di Shah Alam Sabtu lalu.
Bengkel perkongsian ilmu mengenai yang menekankan kepentingan kuasa vokal dalam dunia digital itu berlangsung selama empat jam itu diadakan di Akademi Eskayvie. Ia membabitkan kira kira 16 ‘influencer’ yang popular dan mempunyai ramai pengikut di Instagram.
“Bengkel ini seiring dengan peranan saya sebagai duta produk kesihatan Eskayvie yang pada masa sama juga mahu memberikan satu tanggungjawab sosial kepada masyarakat.
“Jadi peranan saya tidak terhad kepada hal kesihatan semata mata. Biarpun dulu saya tidak berguru dengan sesiapa pun untuk berada pada tahap sekarang, ia bukan alasan untuk saya tidak berkongsinya dengan orang lain.
“Pada tahap sekarang, ada hal tertentu tidak membabitkan ganjaran wang. Saya percaya dengan banyak memberi, ada saja rezeki lain akan masuk. InsyaAllah,” katanya