Apabila anak sudah melangkah ke alam persekolahan iaitu darjah satu, ramai ibu bapa mula merasa risau dan memikirkan perkara yang bukan-bukan. Pun begitu kerisauan itu hanya sementara. Apabila anak sudah tiga bulan bersekolah dan mula membiasakan diri dengan persekitaran, ibu dan ayah mula lepas tangan.
Mungkin mereka merasakan anak sudah mula serasi dengan keadaan dan jadual yang baru atau juga mengharapkan guru seratus peratus untuk menjaga anak kecil mereka.
Risiko pelbagai masalah seperti kemalangan atau apa sahaja tidak hanya terjadi apabila anak sudah mula serasi dengan persekitaran. Apapun keadaannya, anak anda masih kecil dan seharusnya dipantau dari semasa ke semasa. Risiko anak di sekolah? Ibu ayah sentiasa kena ambil tahu. Jangan leka!
Lapan perkara ini perlu anda ambil kira dan sentiasa beritahu anak-anak.
1. Jangan Bersendirian
Pesan pada anak jangan bersendirian ketika di sekolah. Jika mahu ke tandas, koperasi, kantin atau ke mana sahaja di dalam kawasan sekolah, pesan pada anak supaya dia mengajak kawan menemaninya. Selain aspek keselamatan, anak juga semakin pandai berkawan.
2. Tahu Persekitaran Sekolah
Ketika mendaftarkan anak di sekolah, sebaiknya periksa semua persekitarannya supaya apabila anak bercerita kepada anda sebaik pulang daripada sekolah, anda sendiri sudah dapat membayangkan. Malah anda juga dapat sentiasa mengingatkan mana-mana kawasan yang dirasakan agak sunyi atau berbahaya kepada anak kecil anda.
3. Aspek Kebersihan
Risiko anak terdedah kepada keracunan makanan daripada makanan yang disediakan di kantin sekolah tidak mustahil. Jika tidak soal kebersihan diutamakan, siapa tahu anak anda sendiri yang mengalami alahan kepada satu-satu jenis makanan. Jadi pastikan anak anda bijak memilih makanan yang tepat. Mungkin mengajarnya membeli makanan dipersekitaran yang bersih adalah satu langkah bijak.
4. Berada di Kawasan Sekolah
Ajar anak supaya tidak mengikuti atau menumpang sesiapa ketika habis sesi persekolahan. Minta dia menunggu bas sekolah di dalam kawasan sekolah dan keluarlah daripada pintu pagar sekolah sebaik bas telah sampai. Ini penting.
5. Jangan Berlari
Sentiasa berpesan pada anak akan bahaya berlari-lari di dalam kawasan sekolah atau ketika bermain. Peralatan sekolah seperti kerusi dan meja, kawasan yang sempit atau juga longkang berbahaya misalnya perlu diambil kira. Mintalah dia berhati-hati kerana ini mungkin membahayakan mereka.
6. Kenalpasti Objek Bahaya
Minta anak tidak bermain-main atau bergurau senda dengan alat-alat tulis yang agak tajam dan mempunyai risiko seperti gunting, pisau dan sebagainya. Walaupun kecil namun objek ini terdedah kepada pelbagai risiko keselamatan. Pastikan anak anda tahu menggunakan peralatan tersebut dengan betul. Jelaskan kepada mereka akan bahayanya.
7. Rujuk Guru
Pesan pada anak supaya sentiasa memberitahu guru walau ke mana dia pergi. Ini bukan sahaja lebih selamat malah ia mendidik anak untuk lebih menghormati guru.
8. Tanya Anak
Setiap kali selepas anak pulang dari sekolah, tanya anak apa yang dia buat di sekolah pada hari tersebut. Ini membolehkan kita tahu apa dia buat misalnya seperti bermain, berlari atau juga mencuri waktu belajar. Kanak-kanak suka berterus terang dan apabila amalan ini dilakukan setiap hari, lama-kelamaan ia menjadi perkara biasa dan kita lebih tahu apa yang anak kita lakukan.