Petua tradisional dilihat lebih semulajadi dan bahan-bahan yang digunakan pula mudah didapati di dalam rumah kita sendiri. Contohnya jika ingin merawat rambut yang gugur dan mahukan ianya kekal sihat.
Caranya bagaimana?
Ya, terdapat banyak petua yang boleh diamalkan untuk tujuan penjagaan rambut ini. Di sini disenaraikan untuk dijadikan info dan amalan bersama.
Petua 1: Daun inai
Sejak dulu daun inai memang diakui mempunyai banyak khasiat, khususnya dalam merawat masalah rambut serta kulit kepala. Caranya cukup mudah, hanya perlu kisar atau tumbuk lumat daun inai tersebut dan campur dengan sedikit air untuk menjadi pes.
Kemudian ratakan di seluruh kulit kepala dan biarkan selama 3 jam. Selesai tempoh berkenaan, bilas dengan air bersih dan gunakan perapi. Ulangi langkah ini dua kali seminggu untuk menggalakkan pertumbuhan rambut yang lebih aktif.
Petua 2 : Santan
Gunakan santan untuk menyuburkan rambut dengan cara lumurkan keseluruhan rambut hingga ke kulit kepala bagi mendapatkan hasil yang baik. Kemudian balut rambut dengan tuala dan biarkan sehingga ½ jam. Kemudian basuh dengan air suam. Amalkannya selama 2 bulan untuk kesannya yang diingini.
Petua 3 : Minyak kelapa
Minyak kelapa juga dapat memberi nutrisi kepada rambut dari dalam sehingga mampu membuatkan rambut berkilat dan lebih sihat. Minyak kelapa adalah perapi semula jadi yang dapat mencegah pertumbuhan rambut rosak.
Untuk mengatasi rambut gugur, lumur minyak kelapa ke rambut hingga mengenai seluruh kulit kepala. Urut kulit kepala selama beberapa minit dan bilas. Mengurut juga membantu melancarkan peredaran darah.
Petua 4 : Daun bunga raya
Ambil beberapa helai daun bunga raya dan lidah buaya. Basuh hingga bersih dan kisarkan hingga hancur. Perap ramuan di atas kepala selama 1 jam. Lakukan 2 kali seminggu. Anda akan memperolehi rambut lebat, hitam dan berkilat semulajadi.
Petua 5 : Kulit tembikai
Ambil kulit tembikai dan gosok pada bahagian kulit kepala. Biarkan ia meresap dan tunggu dalam masa 20 hingga 30 minit. Selepas itu barulah dicuci bersih. Anda hanya perlu amalkan petua ini sekali dalam seminggu.