Setiap pasangan yang berkahwin sudah pastinya inginkan bahagia hingga akhir hayat. Namun ketentuan sang pencipta tiada siapa yang tahu. Kesedihanan pasti menerpa dalam diri, biarpun sudah lama kehilangan orang tersayang.
Begitulah yang dirasai oleh seorang suami yang kehilangan isteri sejak dua tahun lalu disebabkan oleh jangkitan kuman dalam darah yang menyebabkan kegagalan organ. Beliau yang kini tabah membesarkan tiga orang anak-anak yang kesemua lelaki. Bukan calang-calang untuk membesarkan anak yang sedang mempunyai pelbagai keletah.
Ikuti perkongsian Saudara Khairul Abdullah yang meruntun jiwa ini.
Aku buka almari baju dan tengok semua baju arwah isteri aku masih di tempat yang sama.
Sudah lebih 2 tahun dia pergi.
Dalam laci semua barangnya masih di tempat yang sama. Hampir semua benda yang dia tinggalkan masih berada di tempat yang sama.
Aku tak usik, aku tak ubah. Sesekali aku sentuh, sesekali aku ambil dan cium.
Keadaan masih sama dalam bilik ini.
Baju dan begnya masih bergantung di tempat yang sama. Barang kemasnya, barang makeup dan segala perfumenya semuanya di tempat yang sama.
Kenapa?
Entah. Aku tak tahu.
Aku suka begitu.
Aku suka keberadaan semua benda tersebut di tempat asalnya. Cukup untuk buat aku merasa sebahagian dirinya masih ada bersama aku dan anak-anak.
Cukup untuk buat aku rasa tidak ditinggalkan.
RINDU TIADA PENGHUJUNG
Aku tak move on?
Entah.
Aku tak tahu atau faham apa makna move on itu. Adakah perlu melupakan? Apakah perlu buang semuanya dan lupakan segalanya?
Jika tidak, jika masih menyimpan dan mengingat, adakah aku tidak move on?
Entahlah.
Selepas isteri dikebumikan, aku teruskan tanggungjawab aku besarkan anak-anak. Hidup aku dan anak-anak ok sahaja. Aku tak abaikan sesiapa, aku hidup seperti biasa. Tidaklah aku tertekan, tidaklah aku menderita, tidaklah aku jadi gila.
Aku tak move on?
Move on bagi aku adalah meneruskan hidup.
Alhamdulillah, aku hidup bahagia dengan anak-anak. Cuma kasih sayang dan rindu aku tak boleh aku hilangkan begitu sahaja.
Lagipun memang aku memilih begitu.
Memilih untuk terus mengingat dan merindu.
Kau tahu,
Sentiasa ada setitis manis dalam setiap rindu yang pahit.
Jadi, aku gagahkan demi yang setitis itu.
Kredit: Khairul Abdullah