“Rindu Tak Pernah Padam, Kasih Tak Pernah Hilang.” Reda & Move On Demi Anak-Anak, Sebak Baca Luahan Sayu Bapa 3 Anak Ini!

Share

Dia insan biasa seperti lelaki lain. Namun ‘istimewanya’ dia apabila terpilih menerima ujian dari Yang Maha Esa. Kehilangan insan yang disayangi seolah-olah merentap kebahagiaan mereka sekeluarga.

Teremosi Plak Pepagi ni… 

Hari ni genap 2 tahun 1 bulan awak pergi. Sepanjang tempoh tu, tiada lagi ciuman di pipi. Tiada lagi ucapan sayang. Yang ada hanya sepi.

Tapi “sepi” itu indah dengan adanya Nabil, Nabila dan Nadia. InsyaAllah, akan ku jaga amanah ini sebaik mungkin.

Buat awak di “sana”, sabar yer menanti kami. InsyaAllah kita akan bertemu kembali di alam abadi.

*Rindu tak pernah padam, kasih tak pernah kurang, sayang yang tak pernah hilang*


Itu luahan lelaki bernama Zubayry Abady terhadap arwah isterinya yang meninggal dunia akibat kanser 2 tahun yang lalu. Arwah pergi meninggalkan suami dan tiga anaknya yang masih kecil.

Pengorbanan bapa tunggal ini juga menjadi viral di laman media social facebook. Pemergian arwah isteri akibat penyakit kanser menyebabkan Zubayry Abady Sofian yang terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai ayah dan ibu dan masa yang sama kepada tiga cahaya mata mereka Nabil Zikry, 11 tahun; Nabila Zahra,8 tahun dan Nadia Zahra, 3 tahun 7 bulan.

Sebagai insan kerdil yang faham akan qada dan qadar, Zubayry Abady sedaya upaya melaksanakan tanggungjawabnya demi melihat anak-anak bahagia dan gembira menjalani kehidupan seharian biarpun tanpa ibu di sisi. Menelusuri pintu hati lelaki bersemangat waja ini, nyata cukup memotivasikan penulis.

 

“Proses untuk fahamkan mereka tentang ketiadaan arwah sangat mudah dan mereka juga anak yang mendengar kata. Cuma awal-awal ketiadaan arwah itu memberi kesan. Nabil jenis yang menunjukkan emosi. Tetapi sebulan selepas itu, Nabil okey. Manakala Nabila pula jenis yang banyak bertanya soalan ‘cepu emas’ dan jenuh nak memberi jawapan.

“Pernah sekali saya mengajak mereka ke zoo. Nabila kemudiannya mengatakan teruja untuk pergi tetapi mahu mengajak mamanya untuk turut serta. Ketika cuti sekolah bulan Disember dan arwah meninggal bulan Ogos.

“Jadi, dalam fikiran Nabila ketika itu, mamanya masih ada lagi dan berfikiran boleh jumpa mama bila-bila masa. Sukar untuk terangkan ketika itu dan kemudian, saya cakap jom kita tanya mama sendiri. Jadi, saya bawa anak-anak melawat kubur arwah.

“Waktu itu, Nabila berborak dengan arwah mamanya, saya hanya perhati dari jauh dan biarkan Nabila melayan emosinya waktu itu. Begitu juga sekarang, kalau anak-anak teringatkan arwah selain bawa melawat kubur, saya juga akan tunjukkan gambar arwah untuk mereka melepaskan kerinduan.

“Sebelum arwah sakit, anak-anak memang rapat dengannya dan selepas arwah tiada, Nabila agak bad mood dan murung, berbeza dulu jenis happy go lucky. Waktu arwah sakit tenat, Nabila ada di sisi sehingga arwah meninggal. Memang Nabila tidak mengeluarkan air mata langsung tetapi selepas 15 hari dia mula menangis.

“Mungkin waktu itu dia sudah mula rasa rindu pada arwah. Nadia, waktu itu baru berusia 1 tahun 6 bulan. Belum mengerti apa-apa tentang kehilangan. Dan kerana dia jugalah yang menyebabkan saya tergerak hati untuk menghasilkan buku bertajuk Aku, Nora & Adenocarcinoma.

“Buku tentang kisah benar kami berdua termasuklah tentang penyakit arwah,” ujar Zubayry yang mahu jadi ‘perantara’ antara arwah dan anak-anak kerana tidak mahu mereka hilang memori tentang arwah lebih-lebih lagi Nadia atau lebih mesra dengan panggilan Bie yang masih kecil.

Terpaksa melupakan hobi dan minat
Tidak menghadapi masalah untuk menyediakan hidangan sekeluarga memandangkan sejak dahulu lagi dia sering turun ke dapur untuk memasak. Setiap hujung minggu, Zubayry akan memberi cuti kepada arwah dari segala urusan kerja rumah termasuk memasak. Sebaliknya segala urusan tersebut akan di ambil alih olehnya.

“Mungkin juga Tuhan sudah menetapkan dan selepas pemergian arwah, saya tidak banyak hadapi masalah memandangkan sudah biasa melakukan kerja-kerja tersebut. Cuma dulu ada “partner” dalam segala benda termasuk urus anak dan rumah tangga.

“Sekarang, saya seorang jadi kena ubah sedikit rutin harian. Kalau dulu tak pernah sental baju sekolah anak tetapi sekarang hujung minggu itu antara aktiviti wajib. Selain itu, saya ada jadual waktu supaya memudahkan urusan. Segala urusan perlu diselesaikan ikut apa yang sudah disusun supaya tidak bertangguh.

“Waktu arwah sakit enam bulan sebelum pemergiannya. Banyak benda saya belajar dalam tempoh tersebut. Saya sudah pun menggalas segala tugas baik menjaga anak dan juga menguruskan rumah tangga. Boleh saya katakan itu waktu ‘training’ sebelum menghadapi ujian sebenar selepas pemergian arwah.

“Saya memang sudah  menerima hakikat dan bersedia selepas doktor menerangkan tentang tempoh hayat arwah. Kalau dulu, hujung minggu saya akan  memanjat gunung atau mengayuh basikal. Kadangkala saya mengambil cuti hanya untuk melakukan hobi dan minat tersebut. Namun selepas isteri sakit, saya terpaksa melupakan semua itu dan tumpuan sepenuhnya kepada anak-anak dan rumah tangga sehinggalah sekarang,” ujar Zubayry yang kini menjadi Penyelaras Program Institusi Politik, di Institut Integriti Malaysia.

 

Hilang satu Allah gantikan dengan lain

Cabaran sebagai bapa tunggal akui Zubayry bukanlah sesuatu yang mudah. Selain emosi diri sendiri, dalam masa yang sama dia khuatir tentang emosi dan tumbesaran anak-anak terutama anak perempuan memandangkan tiada ikon wanita di dalam rumah.

“Saya bimbang dengan perkembangan anak-anak perempuan memandangkan tiada wanita di dalam rumah. Saya khuatir tentang perkembangan anak-anak perempuan yang boleh dijadikan sumber rujukan terutama apabila tiba fasa peralihan daripada kanak-kanak ke remaja dan dewasa. Emosi berubah dan saya bimbang tidak mampu menangani waktu itu dan anak lelaki tiada masalah. Termasuklah juga cabaran fizikal yang memerlukan saya menguruskan semua hal daripada termasuk makan pakai dan sakit pening mereka.

“Begitu juga dari segi kewangan. Kalau dulu sumber datang dari dua orang tetapi kini tinggal satu. Tetapi mungkin Allah sudah mengatur perjalanan hidup saya dan hilang satu Allah gantikan dengan yang lain. Saya murah rezeki dengan benda yang lain. Cuma kadangkala bila penat sangat, membuatkan saya nak marah. Tetapi sejak dahulu lagi, anak-anak kalau dengar saya berdehem mereka sudah takut. Saya tidak pernah memukul tetapi mungkin ikon bapa itu membuatkan mereka takut dan terus senyap walaupun sekadar berdehem sahaja. Alhamdulillah anak-anak faham bila saya minta mereka beri saya rehat sebentar sebelum keluar makan dan sebagainya.

“Nabil banyak bantu dan semua anak-anak saya memang jenis ringan tulang. Keperluan adik-adik untuk di bawa ke sekolah, dia yang uruskan. Itu dilakukan selepas arwah meninggal. Kalau dulu selepas makan, pinggan tersebut dibiarkan sahaja tetapi kini, Nabil sendiri yang cuci pinggan tersebut. Saya bersyukur kerana anak-anak cukup memahami dan tidak banyak karenah,”ulas Zubayry lagi.

Kena melalui ‘3 panel utama’

Ditanya mengenai pengganti arwah isteri, Zubayry bagaimanapun menyerahkan soal jodoh kepada Yang Maha Esa.

“Kalau diikutkan perancangan, saya selesa dengan anak-anak dan memberi fokus pada pendidikan mereka. Soal jodoh saya tidak rancang tetapi andai ada, calon tersebut perlu melalui ‘3 panel utama ‘ (anak-anak) terlebih dahulu.  Memang ada yang cuba mendekati tetapi saya menerangkan pendirian dan ada yang memahami ada juga yang tidak.

“Lagipun prinsip perkahwinan sudah berubah. Kalau dulu saya berkahwin kerana diri sendiri, tetapi kini lebih kepada anak-anak. Jika mereka setuju, barulah saya akan menimbangkannya,”jelas Zubayry lagi yang memberitahu keterujaan untuk menyambut raya agak kurang. Justeru, persiapan raya kali ini dibuat mengikut permintaan anak-anak dan tiada lagi warna tema sepertimana yang dilakukan arwah saban tahun.

Sumber: Majalah Keluarga Jun 2017 & FB Zubayry Abady