Bekas isteri kepada pelakon Hafidz Roshdi iaitu Nurul Shuhada Mat Shukri menjadi antara individu bertuah melihat sendiri detik pembukaan pintu Kaabah ketika menunaikan umrah di Tanah Suci Mekah baru-baru ini.
Ibu kepada dua orang anak itu berkongsi beberapa video di akaun Instagram miliknya yang memaparkan saat-saat pintu Kaabah dibuka di hadapan ribuan jemaah umrah selepas waktu subuh sambil menadah tangan membaca doa.
Malah, ada juga jemaah yang berada di situ berpusu-pusu menuju ke arah kaabah sambil menggunakan telefon bimbit untuk merakam sekali gus dijadikan sebagai kenangan selain dikawal oleh sekumpulan anggota pihak berkuasa.
Menurut Shuhada lagi, dia juga rasa bertuah kerana diberi peluang untuk memegang kain lap dinding Kaabah diberikan oleh seorang diplomat yang dapat masuk ke dalam ruang suci itu.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata warganet meluahkan rasa kesyukuran dan tumpang gembira kerana bukan semua individu dapat melihat peristiwa berkenaan berlaku.
Difahamkan, pintu Kaabah hanya akan dibuka oleh dua orang penjaga Kaabah sebanyak dua kali setahun, iaitu pada awal bulan Sya’ban dan awal Dzul Hijjah untuk tujuan pencucian dan tidak boleh dibuka sewenang-wenangnya untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.
Untuk rekod, Nurul Shuhada pernah mendirikan rumah tangga bersama Hafidz pada 30 April 2016 dan dan hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata sebelum sah bercerai talak satu pada 27 Julai lalu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam.
Sumber: Instagram Nurul Shuhada