Rezeki memang tak pernah salah alamat, pelakon Rita Rudaini meluahkan rasa bangga dan syukurnya terhadap pencapaian akademik anak sulungnya, Airit Rayyan baru-baru ini.
Menerusi satu hantaran yang dikongsikan oleh Rita di laman Instagram memaparkan anaknya itu yang sedang mengambil anugerah di sekolah. Rita juga kelihatan bersungguh merakam momen tersebut sebagai kenangan.
Baginya, hadiah ulang tahunnya tahun lepas yang diberi oleh Rayyan adalah dengan berjaya menempatkan diri di MRSM dan tahun ini pula dia dihadiahkan dengan sesuatu yang membanggakannya sebagai seorang ibu.
“Tahun ni Ryan bg hadiah lagi dapat Anugerah Pengetua dengan pointer tinggi. Syukur Alhamdulillah.
“Terima kasih Allah kerana hadiah rezeki anak-anak yang baik untukku, sudah memadai. Rezeki Ramadan,” tulisnya.
Pada masa yang sama, Rita tak terlepas untuk memanjatkan rasa syukurnya dan sempat memberi kata-kata semangat untuk anaknya itu.
“Mommy tak mintak lebih cuma mommy nak anak-anak mommy buktikan pada diri sendiri dan kepada orang di luar sana yg kita mampu berjaya. Pedulikan cemuhan dan kejian manusia kerana Allah sentiasa ada untuk kita,” tambahnya.
Rita juga memberi pesanan agar menjadi yang terbaik bukan untuk memuaskan hati orang lain malah, untuk diri sendiri.
Untuk rekod, Rita Rudaini pernah berkahwin dengan pemain bola tempatan, Aidil Zafuan pada Disember 2008 namun rumah tangganya berakhir pada 5 September 2013. Mereka turut dikurniakan 2 orang cahaya mata lelaki daripada hasil perkahwinannya ini.
Sumber: Instagram Rita Rudaini