Pernah dengar tak, dalam rezeki kita, terselit rezeki orang lain juga? Tak kira la dari segi wang, makanan mahupun pekerjaan, bila benda tu tertulis bukan untuk kita, maka bukanlah untuk diri kita.
Dan sebenarnya sifat sebegini yang perlu kita ajar untuk anak-anak sejak dari kecil supaya tersemat dalam diri mereka dan turut berkongsi rezeki dengan yang lain. Seperti perkongsian dari Kamarul Ariffin Nor Sadan
ni, jom ikuti penulisannya.Bila berada di meja makan, di hadapan rezeki yang sudah terhidang, mak saya selalu pesan:
“Ambil sikit dulu, kalau tak cukup, boleh tambah.”
“Ingat sikit orang belakang(yang belum makan).”
“Cukup ni. Kalau makan rebut-rebut baru sedap.”
“Jangan beri orang sisa. Asingkan dulu siap-siap.”
“Dah, kalau tak habis, jangan paksa habiskan.”
Ia melatih kami adik-beradik untuk sentiasa berasa cukup dengan apa yang ada, sentiasa berkongsi walau sedikit mana pun milik kami, dan sentiasa memberi yang terbaik(bukan sisa) untuk orang lain.
Alhamdulillah, rezeki kami empat beradik sentiasa tak pernah putus. Walaupun jalannya berbeza, tapi kami semua berjaya mengecapi impian kami untuk jadi doktor, berkhidmat kepada ummah.
Begitulah hikmah sentiasa menghormati rezeki.
Memang tanggungjawab kita untuk cari rezeki, tetapi jangan pula sehingga tamak bila mengumpul duit. Bukan tak boleh bina kekayaan, cuma tak usah sampai berbelanja terlalu mewah untuk habiskannya.
Dalam rezeki kita, ada rezeki orang lain, jadi asingkan siap-siap bahagian untuk zakat, cukai dan sebagainya. Jika rezeki kita bukan dalam bentuk harta dan wang ringgit, boleh sumbang tenaga dan masa yang ada.
Jika kita memberi(perkhidmatan/sumbangan/dsb), berilah yang terbaik dan dengan sepenuh hati. Tak usahlah beri barangan yang telah terlalu lusuh dan dengan cara yang ala kadar.
Baik yang kita beri, baiklah yang kita terima.