“Rezeki Datang Dari Allah, kita Kena Berusaha.” Status Kahwin Tak Halang Husna Mustaffa Berlakon, Suami Penyokong kuat!

Share

Wajah manisnya sering menghiasi dada akhbar mahupun majalah sebagai model busana muslimah sedari awal 2015 lagi. Siapa sangka, dari model dia melangkah ke hadapan dengan mencuba bidang lakonan.

Sementelah kini, penonton sudah mengalu alukan kelibat insan seni bertudung. Lihat sahaja pelakon yang sudah punya nama dan terkenal tetapi berhijab seperti Mira Filzah, Ummi Nazeera, Zulin Aziz, Wan Sharmila, Elfira Loy dan ramai lagi.

Kini, pemilik nama Husna Mustafa mula dikenali ramai. Siapa sangka, rupa-rupanya  Husna sudah punya dua orang cahaya mata. Namun, pengarah dan penerbit berani meletakkan namanya sebagai teraju utama berjudul Mencari Kiblat Cinta sedang bersiaran di TV Okey

Drama 26 episod terbitan NS Star Studio milik Darling Ngasri itu turut dibintangi Syazuwan Hassan dan Shah Hazvee.

Menurut pemilik nama penuh, Sharifah Husna Syed Mustafa biarpun bermula agak lewat, dia tidak pernah menyesalinya. Malah statusnya yang sudah berkahwin juga tak disembunyikan.

“Saya berkahwin di usia 22 tahun. Kini saya sudah berusia 34 tahun. Suami pula dua tahun lebih tua daripada saya. Saya berkahwin betul betul selepas tamat pengajian di sebuah universiti.

“Kami dikurniakan dua orang anak. Anak pertama, Putera Adam Harith berusia (11) dan kedua, Puteri Adra Hana (8). Selama ini pun saya tak pernah menyembunyikan status diri dan gambar bersama dikongsi di media sosial. Saya percaya rezeki datang dari Allah. Kita sebagai manusia kena terus berusaha

“Suami pun antara penyokong kuat apa yang saya lakukan selama ini. Dia tak pernah menghalang minat saya. Daripada zaman sebelum berlakon, sibuk dengan uji bakat peragaan dan iklan komersial… dialah yang akan menemani,” katanya yang pernah bekerja sebagai pembantu makmal di sebuah universiti.

Bagaimanapun menurut anak kedua daripada empat beradik kelahiran Johor Bahru itu, pada saat memutuskan untuk terjun ke bidang lakonan, suami agak berat hati memberi keizinan.

“Pada awalnya saya percaya dia mempunyai pendirian sendiri untuk mempertimbangkan keputusan saya jadi pelakon. Saya yakinkan dia yang boleh buat (berlakon).

“Alhamdulillah hingga saat ini, dialah yang terus bagi semangat untuk saya lebih berjaya di arena lakonan. Cuma saya harus tahu batas sebagai isteri yang mencari rezeki sebagai pelakon,” katanya.

Jelas Husna yang pernah menjadi model klip video lagu Satu nyanyian Najwa Latif pada awalnya dia bergelut memastikan kehadirannya disedari.

“Maklumlah saya mula di ambang 30 an selain sudah berkahwin. Sukar juga untuk memecah tembok itu. Namun lama kelamaan peluang yang diberi saya manfaat sebaik mungkin.

“Daripada situ, ramai sedar saya menunjukkan komitmen tinggi. Cuma saya tak mensasarkan populariti, cukup jika bakat ini dapat diterima. Kalau popular itu semestinya bonus,” katanya yang turut belajar berlakon dengan pelakon Zulhuzaimy.

Sumber gambar: husnamustaffa

Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club