Rezeki Dapat Banyak Daging Korban. Elak Cepat Rosak, Boleh Simpan Dengan Cara Ni Kekal Segar & Tahan Lama

Share

Adat duduk berjiran, pasti akan bersedekah antara satu sama lain. Termasuklah ketika seseorang itu menjalankan ibadah korban, pasti akan sedekahkan bahagian daging tersebut pada jiran dan golongan yang memerlukan.

 

Disebabkan ramai kenalan, pasti ada ketika anda akan dapat daging dari beberapa pihak kan? Oleh kerana itu, penuh peti dibuatnya nak simpan daging korban! Haa yang mana masih lagi ragu-ragu dalam proses penyimpanan daging untuk pastikan sentiasa segar dan boleh simpan lama, di sini ada beberapa tip yang boleh dipraktikkan bersama. Jom ikuti perkongsian ini!

Ini cara-cara yang boleh diikuti.

1. Asingkan Daging

Asingkan daging ikut bahagian. Misalnya tulang, daging batang pinang, tulang, bahagian dalaman (perut, hati, limpa, paru) dan daging cincang.

Apabila ingin membuat sup, anda hanya keluarkan bekas berisi tulang sahaja, yang lain-lain kekal di dalam freezer.

2. Jangan Terus Cuci Daging Korban

Jika dicuci guna air paip, kuman-kuman boleh masuk dan tinggal di dalam daging. Itu akan merosakan kualiti daging. Mencuci hanya dibuat bila daging berkenaan hendak dimasak.

3. Jangan Simpan Semua Daging Dalam Satu Bekas

Jika dapat daging banyak, jangan simpan daging keseluruhan 2-4 kg di dalam freezer. Cara yang betul ialah dengan memotong daging berukuran lebih kecil, kemudian simpan di dalam plastik-plastik berukuran 1/2 kg atau 1 kg.

Jika hendak masak, ambil satu plastik yang kecil sahaja, biarkan yang lain tetap beku di dalam freezer. InsyaAllah daging dalam keadaan beku dapat disimpan lebih 1 tahun.

4. Jangan Terus Simpan Dalam Freezer

Sebelum disimpan di freezer, simpan daging terlebih dahulu di dalam peti ais ruang biasa selama 4-5 jam. Setelah daging itu sejuk, baru dimasukkan ke dalam peti sejuk beku/freezer.

5. Jangan Defrost Daging Guna Air Panas

Jika hendak memasak daging beku, jangan mencairkan daging yang beku menggunakan air panas.

Cara yang betul adalah meletakkan daging beku di bawah air paip suhu normal (dalam keadaan daging masih terbungkus rapat dalam plastik).

Setelah daging kembali empuk, buka plastik, cuci daging hingga bersih, toskan, dan daging sedia untuk dimasak.

6. Simpan Daging Dengan Bahan Perapan

Menyimpan daging yang siap dengan bahan perapan boleh menjadikan daging tahan lebih lama berbanding daging mentah. Bahan perapan paling mudah adalah dengan cara mengaulkan daging dengan garam, gula, bawang dan kunyit.

Ia kerana bahan perapan bersifat antibakteria dan agen pengawet pada makanan. Secata tidak langsung ia menjimat masa memasak. Setelah dikeluarkan dari freezer anda boleh terus masak tanpa perlu menyediakan bahan perapan lagi.

Tips Tambahan

Jangan memakai plastik warna hitam kerana plastik warna hitam itu adalah hasil recycle. Ia mengandungi karsinogen yang dapat mengaktifkan sel kanser. Gunalah sarung plastik putih atau plastik lutsinar yang ada seal.

Semoga bermanfaat.

Sumber: Art Of Butchery Inovasi Evolusi