Rezeki Buat Kebun Tepi Rumah, Siapa Sangka Pernah Terima Kunjungan Orang Istana!

Share

Siapa sangka ruang laman di tepi rumah boleh juga dijadikan sesuatu yang cukup istimewa apabila dipenuhi dengan tanaman sayur-sayuran. Digarap indah menjelmakan lanskap yang cukup cantik dipandang. Sekali pandang memang memukau, untuk itu ingin sekali dikenali empunya pemilik laman tersebut.

Ikuti perkongsian ini dan diharap dapat memberi inspirasi buat surirumah untuk merias laman berkonsepkan tanaman sayur-sayuran sepertinya ini. Pepatah oranmg tua-tua ada menyebut, berbudi pada tanah, pasti akan dapat hasilnya.


Menanam bunga hiasan menjadi kegilaan saya semenjak dahulu sehingga satu ketika saya disindir suami supaya menanam tanaman yang boleh dimakan. Sekitar awal tahun 2015 saya mula beralih dari tanaman hiasan kepada tanaman sayuran dan kebun sayur di tepi rumah mula menjadi viral pada penghujung tahunnya. Terkejut dan teruja dengan sambutan daripada orang ramai terhadap kebun sayur saya yang dikatakan unik dengan landskap yang menarik.

 

Memandangkan saya seorang penjawat awam, masa untuk berkebun agak terhad, jadi saya akan pastikan tanaman mendapat air dan baja yang secukupnya bagi memastikan pokok sentiasa kelihatan segar dan ‘montok’.

Seawal 6.30 pg, sebelum menghantar anak ke sekolah dan ke pejabat, selama lebih kurang setengah jam masa yang diambil untuk menyiram pokok di kebun.

Hasil berbudi pada tanah

Keghairahan demi keghairahan mula timbul sejak dari itu, saya mula bermain dengan kreativiti menghiasi kebun agar menjadi sebuah taman yang cantik dan menarik. Malah, apabila hasilnya melebihi keperluan, saya agihkan pada teman-teman sepejabat, jiran-jiran turut dapat merasainya.

Rezeki membuak-buak apabila baja yang saya hasilkan sendiri mula diburu ramai orang. Ramai yang datang sendiri ke rumah untuk membelinya, ada juga yang membeli secara online.

Apabila ditanya kenangan paling menarik sepanjang mengusahakan kebun tepi rumah, ini jawapannya.

Kenangan mendapat kunjungan Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang bersama anakandanya Yang Mulia Tengku Amir Nasser berserta 30 deligasi luar menjadi sebuah sejarah yang paling bermakna dalam hidup. Keseronokan berkebun hanya di tepi rumah betul-betul memberi impak yang bermakna bagi saya.

Keseluruhan kebun ditepi rumah adalah hasil kudrat saya dan tanpa bantuan sesiapa, daripada susun atur hinggalah pembinaan taman kebun adalah daripada usaha gigih sendiri.
Saya seronok menghabiskan masa di kebun, selain mendapat hasil yang boleh menjimatkan belanja dapur, pada saya ia juga satu terapi buat diri sendiri setelah penat seharian di pejabat.

 

sumber : Lisa Yusuff