
Isi Kandungan
ToggleLihat sahaja warnanya sudah menaikkan selera, belum di makan lagi. Gabungan rasa susu dan mangga yang masam-masam manis memang sangat menyegarkan. Teksturnya yang lembut lebih-lebih lagi kalau makan sejuk-sejuk memang sedap.
Untuk ibu-ibu yang tengah berdiet tapi nak cuba puding mangga susu yang simple ini resipinya. Bahan-bahan pun mudah hanya menggunakan 3-4 bahan utama saja. Hasilnya pula sangat menarik, ala puding mangga KFC tapi lagi sedap!
Jadi, jangan buang masa lagi. Jom kita tengok resepi puding mangga oleh Puan Yang Ku Rodzmah ini.
RESEPI PUDING MANGGA SUSU ALA KFC. KURANG MANIS LAGI SEDAP!
Hari tu ada orang share resepi dadih susu yang viral.
Serius sedap makan sejuk-sejuk. Rasanya ala puding mangga yang dijual di KFC. Mungkin lagi sedap lagi sebab kita boleh olah ikut citarasa sendiri dan pakai pula bahan yang segar. Dah tentulah lagi uummpph hasilnya.
Ini saya sertakan bahan yang saya gunakan dan cara membuatnya langkah demi langkah.
Bahan-Bahan
- 1 liter air masak / air tapis
- Agar-agar tali 20g dibahagi 3 (letak 1 bahagian saja)
- Susu kotak full cream 1 liter
- Gula
- Garam
- Buah mangga segar dipotong dadu
- Sunquick mangga
Cara membuat
- Masak agar-agar
Mula-mula masakkan agar-agar tali menggunakan 1 liter air.
Tunggu sampai agar-agar betul-betul larut dan hancur. Masukkan sedikit gula dan garam.
2. Tuangkan susu full cream
Bila dah hancur agar-agar tu barulah letak susu kotak full cream 1 liter.
Tunggu sampai meruap dah boleh padamkan api ya. Tak perlu sampai gelegak sebab nanti susu tu tak cantik.
3. Isi dalam bekas
Isi puding susu ke dalam bekas dan tunggu kejap biarkan ia memejal.
4. Letak topping
Untuk topping tu saya cuma campurkan mangga yang dipotong dadu dan bersama Sunquick perisa mangga. Tak perlu masak, terus campurkan saja.
Ikutlah banyak mana nak guna, boleh agak-agak ikut kita nak manis macam mana.
Bila dah siap, inilah hasilnya. Mudah kan? Nampak warnanya pun menarik.
Sumber: Sirap Limau
“Kemas Rumah Sambut Baby, Yang Pulang Jasad Isteri, Cucu.” Jenazah Anak, Mentua Syafiq Ahmad Dibawa Ke Kedah!

Suasana suram di hadapan Unit Forensik Hospital Sungai Bakap dapat dirasai apabila Syafiq Ahmad menggendong jenazah bayi lelakinya yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya awal pagi tadi.
Dalam perkongsian gambar yang dimuat naik oleh Bernaman itu, dapat dilihat penyerang Johor Darul Takzim (JDT) itu tidak dapat menahan sedih ketika mencium jenazah anak lelakinya Muhammad Aisy Saqeef, 22 hari, selepas selasai dikapankan di Hospital Sungai Bakap, Pulau pinang.

Syafiq dan ahli keluarganya dilaporkan terlibat dalam satu kemalangan yang berlaku di Km163 Lebuhraya Utara-Selatan di Sungai Bakap sekitar 5.30 pagi tadi.

Dua lagi yang maut dalam nahas itu ialah ibu mentuanya Zainab Wahab, 45, serta pembantu rumah warga Indonesia, Titik Sukamti, 30-an.
Sementara itu, Norain Shahadan,50 yang merupakan bapa mentua kepada Syafiq memberitahu, arwah isterinya ada meminta dia mengemas rumah untuk menyambut cucu baru mereka.
“Arwah isteri, Zainab Wahab, 46, ada hubungi saya dua hari lalu dan minta kemaskan rumah sebab nak bawa balik cucu baru.
“Tapi tak sangka pula dia dan cucu pulang sebagai jenazah,” kata Norain lagi.
Menurut Norain, dia menerima berita sedih itu melalui besannya, Ahmad Ibrahim, 56, yang menghubunginya sekitar 6 pagi tadi.
Katanya, dia ketika itu antara percaya atau tidak apabila dimaklumkan isterinya dan cucu mereka, Muhammad Aisy Saqeef, 22 hari, meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer 163 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Plaza Tol Jawi, di sini, hari ini.
“Saya tidak menyangka, namun reda dengan apa yang berlaku kerana kehilangan isteri dan cucu kedua kami.
“Namun, saya bersyukur anak sulung, Nur Amalina, 25, menantu, Muhamad Syafiq Ahmad, 25, serta cucu sulung, Aaira Nur Saffiyya, 2, selamat,” katanya lagi.
Sumber: Harian Metro & BERNAMA
“Kulit Pada Jari Menggelupas Teruk Sehingga Berair & Berbau.” Sangka Dijangkiti Kulat Air Biasa, Setahun Akhmar Derita Ekzema.

Menjadi kebiasaan untuknya membersihkan bilik air di rumah, namun kali ini berbeza situasinya. Tanpa di sangka-sangka jari-jarinya ditumbuhi bintik-bintik air yang membuatkan dia gatal yang tidak terhingga.
Sangkanya mungkin hanya dijangkiti kulat air biasa, tapi itu sebenarnya salah satu jenis penyakit ekzema. Daripada gatal biasa bertukar serius bila jari-jemarinya menggelupas teruk sehingga berair dan berbau. Itulah yang dialami oleh Zaiazrein Akhmar Zainal Abidin, 27 yang berasal dari Nilai, Negeri Sembilan.
“Masa mula-mula kena tu saya cuci bilik air dan itu mungkin salah satu penyebab. Lepas itu terus terasa gatal dan naik bintik-bintik air. Suami saya cakap mungkin disebabkan pakai cincin. Lama-kelamaan ia makin teruk dan merebak kepada 10 jari tangan saya.
“Saya ingatkan ini jangkitan kulit yang biasa jadi saya hanya ke farmasi untuk dapatkan ubat. Menurut pekerja di farmasi yang saya pergi itu, saya terkena jangkitan kulat air, jadi dia sarankan untuk saya beli krim.
“Saya pakai krim yang dibeli di farmasi, ia jadi lebih kering begitu juga dengan losen tangan, ia seakan tidak berfungsi malah memudaratkan lagi keadaan kulit saya yang sedia ada. Saya selalu basuh tangan dan pakai sarung tangan untuk elakkan jari bersentuhan dengan benda-benda lain. Tambahan pula ia memang menyakitkan.
Menurut Akhmar, dalam keluarganya memang tiada yang pernah menderita dengan penyakit ekzema sepertinya. Justeru keadaan itu sedikit sebanyak membuatkan dirinya tertanya-tanya apakah punca sebenar.
Rawatan di lima klinik
Risau dengan keadaan jari tangan yang semakin hari semakin teruk, Akhmar tidak hanya duduk dan menunggu jari-jarinya sembuh sendiri. Sudah tiga klinik kulit yang dikunjungi, namun hasilnya masih sama, malah keadaan semakin teruk.
“Dalam tempoh setahun lepas keluar semua air-air, ia berjangkit ke 10 jari-jari saya. Ia mula merekah membengkak yang akhirnya kulit yang sudah agak rapuh itu membuatkan jari-jari saya senang berdarah.
“Bukan setakat itu sahaja, kulit yang mudah tanggal dan berdarah itu buatkan saya hilang mood untuk memandu sendiri dan juga buat kerja-kerja rumah yang lain termasuklah memasak. Anak pun saya takut nak pegang risau berjangkit pada anak yang masih kecil itu. Sampai satu tahap saya tak berani makan makanan laut sebab ingatkan benda ini berlaku kerana alergik dengan makanan tersebut.
“Bukan sahaja ke farmasi, malah saya turut ke klinik pakar kulit untuk dapatkan rawatan. Masa pergi klinik pakar kulit, ada doktor yang berpendapat kemungkinan ia adalah kesan ubat bius yang masih belum keluar sepenuhnya dari badan saya ketika bersalin dua tahun yang lalu. Pendapat itu dibuat berdasarkan cerita saya tentang penyakit gatal-gatal di kaki selepas melahirkan anak suatu masa dahulu. Saya fikir mungkin ada benarnya juga. Tapi ubat yang diberi selepas ke klinik-klinik berkenaan masih tidak menunjukkan tanda-tanda untuk sembuh.
“Tak dinafikan memang banyak belanja yang saya keluarkan utnuk penyakit kulit yang saya hidapi ini. sampai satu tahap bila suami ajak untuk dapatkan rawatan di klinik pakar kulit yang tular saya menolak kerana hampir berputus asa dengan keadaan jari tangan saya. Kalau nak ikutkan tiga klinik pakar dan dua klinik biasa yang saya kunjungi untuk berubat tapi keadaan masih lagi sama.
Penderitaan berakhir
Pelbagai usaha yang telah dilakukan namun semuanya tidak menunjukkan tanda untuk sembuh. Hampir setahun Akhmar menanggung derita dengan penyakit kulit yang masih tidak sembuh-sembuh. Akhirnya desakan suami untuk ke Hospital Columbia Asia, Seremban menjadi penyelesaian buat penyakit yang hampir setahun ditanggung oleh Akhmar.
“Akhirnya suami ajak saya untuk ke Hospital Columbia Asia di Seremban 2, dan Alhamdullilah semuanya dipermudahkan. Saya bertemu doktor yang tepat untuk merawat ekzema yang saya alami dan akhirnya penderitaan saya bakal berakhir.
Ekzema Dyshidrotik Dermititis
Rawatan yang diterima daripada pakar Dermatologi di hospital tersebut iaitu Dr. Najeeb Ahmad Safdar menunjukkan kesan yang positif. Lima hari dimasukkan ke wad, penyakit ekzema yang dihidapi Akhmar dan dikenali sebagai Dyshidrotik Dermititis perlahan-lahan mula sembuh.
“Akhirnya apa yang berlaku kepada saya terjawab. Saya mengalami ekzema yang dikenali sebagai Dyshidrotik Dermititis. Menurut doktor ekzema jenis ini biasanya menghasilkan lepuhan kecil dan kegatalan di tepi-tepi jari dan kaki. Gejalanya dapat dilihat seperti lepuhan kecil berisi air, kegatalan, merah, kupas, bersisik dan juga berasa sakit. Dan biasanya kaum wanita lebih mendapat daripada kaum lelaki,” ceritanya tentang ekzema yang dihidapinya itu.
Dimasukkan ke wad selama lima hari, keadaan Akhmar semakin bertambah baik. Kulitnya perlahan-lahan sembuh dan sehingga kini dia masih lagi mendapatkan rawatan susulan dari hospital tersebut.
“Saya dimasukkan ke wad selama lima hari. Dalam 5 hari itu tangan yang dahulu berair dah kering dah tak mcam dulu lagi dan jari perlahan-lahan kembali seperti biasa. Kalau sebelum ini jari-jari saya bengkak dan putih disebabkan ekzema itu, sekarang ia sudah kemerahan dan kembali seperti biasa. Cuma ada
“Dalam masa 10 hari Nampak perubahan, bila dah warded dan diberi rawatan di hospital barulah saya Nampak perubahan dekat kulit jari saya. Hari kedua rawatan tu saya dah tak gatal-gatal seperti sebelumnya,” ujarnya penuh kesyukuran.
Menurut doktor yang merawat Akhmar juga, punca sebenar penyakit yang dialami olehnya bukanlah berpunca daripada makanan.
“Doktor juga ada cakap ekzema yang saya alami ini bukan disebabkan oleh makanan. Tapi sebab darah dalam badan. Ia mungkin berpunca daripada sabun yang saya gunakan di rumah seharian. Doktor juga beritahu ekzema ini akan berulang kembali kalau kita tak jaga apa yang kita pegang apa yang kita sentuh. Jadi untuk mengelakkan perkara sama berulang, kini saya mengambil langkah berjaga-jaga saya memang tak pakai sabun biasa dan hanya menggunakan sabun yang disarankan oleh doktor sahaja kerana bimbang jangkitan tersebut akan berulang semula. Kalau basuh baju pun saya akan gunakan sarung tangan. Pencucui pinggan mangkuk pun saya gunakan yang baik untuk kulit sahaja. Alhamduliilah setelah berhenti menggunakan sabun-sabun biasa saya dapat lihat ada perubahan.”
Sehingga kini Akhmar masih lagi mendapatkan rawatan susulan dari hospital yang sama. Doktor menasihatkan supaya Akhmar mengambil langkah berjaga-jaga selama setahun supaya penyakit ini tidak berulang lagi.
Turut meninggalkan pesanan kepada orang ramai di luar sana, saran Akhmar jika ada tanda sepertinya segeralah berjumpa dengan doktor pakar agar ia dapat dirawat tanpa menunggu lama.
“Jangan Tanya Saya ‘Apa Pantang Lepas Bedah Atau Bersalin.” Ini Nasihat Pakar Sakit Puan Untuk Wanita Jika Mahu Sihat & Berjaya.

Sebagai ibu dan isteri, sudah pasti banyak pengorbanan yang terpaksa dilalui oleh kaum wanita.
Bukan sahaja bekorban masa, tenaga dan wang ringgit, malah ada antara mereka yang rela berkorban nyawa melahirkan zuriat demi penyambung warisan keluarga.
Ada juga yang terpaksa berpenat lelah bersengkang mata dalam membahagikan masa menjaga anak-anak dan dalam masa yang sama bekerja membantu suami demi kelangsungan hidup.
Justeru, wanita memerlukan penjagaan yang lebih baik bagi memastikan kesihatan tubuh dalam keadaan yang baik. Berikut beberapa pesanan daripada Dr Hamid Arshat kepada wanita di luar sana, satu pesanan yang amat berguna untuk dipraktikkan, seperti pesanan seorang ayah kepada anak.
Pesanan kepada wanita dan pesakit-pesakit saya
1. Jagalah kesihatan anda sebelum ditimpa penyakit. Tiada harta dan wang ringgit yang bertimbun banyaknya pun yang boleh menebus kesihatan bila sudah dilanda penyakit kronik.
2. Pencegahan penyakit adalah lebih baik dari rawatan. Tapi bila sudah ditimpa penyakit perlu cari ubat dari peringkat awal. Cari ubat dari doktor bertauliah dulu. Rawatan alternatif dan tradisional boleh dikabungkan kemudian.
3. Berdoa kepada Allah SWT setiap hari dan setiap waktu dan ditempat yang makbul doa agar dikuatkan iman dan diberi kesihatan badan, jiwa dan panca indera. Jangan putus doa atau putus harapan. Allah Maha Pengasih dan Penyayang.
4. Kuasai, kawal dan urus diri untuk mengikuti cara,gaya, budaya dan tabiat hidup kearah sihat walafiat. Jangan asyik bergantung dengan ubat. Ubah minda dan ubah tabiat kepada ciri2 positif. Hapuskan kepercayaan dan amalan kuno yang tidak berasaskan ilmu pengetahuan.
5. Maksud hadis – pada akhir zaman (sekarang) dua perkara menjadi punca utama bagi pelbagai penyakit iaitu makanan tidak seimbang dan gangguan jiwa dan rohani. Memang benar.
Lain-lain punca penyakit ialah keracunan dari berbagai punca saperti bahan-bahan kimia, radiasi dan pencemaran.
6. Penyakit timbul dari tabiat makan yang tidak sesuai serta pemilihan makanan yang kurang berkhasiat dan berzat. Sering berlebihan gula dan karbohidrat. Juga makanan yang mungkin mengandungi toksin sebab diawet, diperoses, ditambah perisa serta disimpan dalam tin.
Jauhkan makanan tersebut dan juga makanan segera serta minuman manis dan bergas. Makan bahan-bahan yang mentah dan segar – banyakkan mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan.
70% dari makanan dari sumber tersebut. Kurangkan gula dan garam dalam masakan. Juga jangan memasak keterlaluan ( over cooking khususnya sayuran)
7. Makan bila lapar berhenti sebelum kenyang. Kunyah makanan perlahan-lahan dan berulang sehingga makanan dalam mulut jadi lumat sebelum ditelan. Tebaik kunyah antara 15 hingga 20 kali setiap suap makanan.
8. Mulakan makan dengan buah-buahan dan tunggu 15 hingga 20 minit sebelum makan nasi. Kalau boleh jangan tambah nasi; tambah lauk(protien) dan sayur-sayuran jika sajian pertama tidak mengenyangkan.
Waktu selingan (teh dan coffee break) makan kacang badam , gajus atau walnut berserta kismis, keroma atau berries yang dikeringkan. Biji-biji kuaci, labu, semangka, adalah makanan sihat. Disertai air kosong atau air teh hijau.
9. Kurangkan minuman kopi kepada satu atau dua kali sahaja dalam sehari. Biasakan minum jus buah yang segar. Jus air kelapa muda tanpa ditambah gula adalah jus buah yang terbaik dari segi kandungan zat, vitamin dan logam. Banyakkan minum air mineral atau air kosong. Mereka yang sering mengalami gangguan kencing dan lelehan lendir faraj amalkan minum juz cranberry, lemon , limau nipis atau kasturi.
10. Minyak kelapa dara (VCO) atau extra virgin olive oil adalah baik untuk fungsi otak dan jantung. Minumlah satu sudu pagi dan petang. Juga satu sudu madu lebah setiap hari.
11. Jadikan suka makan ulam dan salad sebagai satu tabiat dan budaya hidup. Ulam raja telah dikaji dan dibuktikan sebagai antikanser. Begitu juga pelbagai pucuk daun yang mudah ditanam disekitar rumah – Sambung Nyawa, Misai Kucing, Kacang Botol, Tujuh Jarum dan sebagainya- mengandungi pelbagai khasiat kesihatan ; mengawal kencing manis, darah tinggi serta meningkatkan fungsi otak dan jantung.
12. Bila sudah capai umur 50 tahun iaitu umur bagi kebanyakan wanita capai menopaus atau putus haid waspadalah tentang makanan. Ketika itu falsafah kita ialah makan untuk sihat bukan untuk menjamu selera atau untuk puaskan nafsu. Ketandusan hormon estrogen ketika menopaus boleh beri kesan negatif kepada kesihatan.
Banyak mengambil sayuran, bijiran dan kekacang saperti soya yang mengadungi phytoestrogen dan boleh dijadikan gantian. Jika mengalami gejala-gejala teruk akibat menopaus sebaiknya makan pil hormon estrogen sebagai gantian.
13. Stres yang tidak terkawal dan berlanjutan adalah punca bagi 1001 jenis penyakit. Sukar untuk kita lari dari pelbagai jenis tekanan fizikal, mental dan rohani kerana ia boleh timbul dimana-mana saja. Tetapi kita boleh tangkis, atasi dan mengurus stress supaya ia tidak menimbulkan penyakit.
14. Kaedah utama mengawal stress ialah mengamalkan ibadah mengikut jadual dan arahan Allah – solat fardu dan sunat, baca quran, zikir dan selawat, puasa dan sedekah. Quran adalah satu mukjizat dan rahmat terbesar dari Allah dan didalamnya terdapat syifa iaitu penyembuh bagi segala penyakit. Baca quran setiap hari.
15. Senyum selalu, ucap salam kepada sesiapa kita bertemu, bersalaman mesra dan berkenalan, kawal marah, jangan menyakiti dan menghina orang lain, terima teguran, rasa tawaduk dan rendah diri. Terima segala jenis musibah dan ujian Allah sebagai ‘ qada’ dan kadar Allah ‘
16. Senaman juga satu kaedah kurangkan stress. Pilih saja apa jenis senaman sesuai dengan gaya hidup kita selama 30 minit asalkan berpeluh – berjalan kaki, jogging, tunggang basikal, pergi gim, treadmill, taichi, silat atau yoga.
senaman hasilkan banyak khasiat kesihatan, menfaat dan kebaikan bagi kehidupan sesorang; bantu kawal penyakit diabetes, darah tinggi dan serangan jantung dan angin ahmar.
17. Lakukan ‘deep breathing exercise’ di mana-mana saja, sambil duduk atau berdiri; di pejabat atau dirumah ; di pejabat khusus setelah berjam-jam buat kerja atau pandang komputer. Duduk di kerusi, pusingkan menghadap ke belakang atau ke sudut.
Sedut nafas melalui hidung sedalam-dalam dan hembuskan keluar perlahan-lahan melalui mulut sambil baca subhanallah dan lafaz istighfar. Ulang beberapa kali selama 5 – 7 minit.
Kaedah ini boleh meningkatkan bekalan oksigen sambil mengurangkan karbon dioksida dari otak menjadikan kita lebih segar dan lebih tenang.
18. Amalkan memeriksa buah dada sendiri waktu mandi untuk mengesan ketulan khususnya kanser payudara. Untuk periksa payudara kanan, angkat ke atas tangan kanan dan guna tangan kiri untuk periksa.
Ulang sebelah kiri. Juga rasa dan periksa celah ketiak untuk kesan ketulan. Picit puting jika ada keluaran lendir atau darah. Jika ada symptom-simptom tersebut terus jumpa doktor.
19. Buat ujian ‘pap smear’ khususnya wanita yang pernah melahirkan anak, yang mengalami lelehan keputihan , perdarahan selepas persetubuhan dan perdarahan lepas menopaus.
Ulang ujian setiap tahun. Ini bertujuan mengesan kanser pangkal rahim. Malah lebih baik dikesan sebelum jadi kanser.
20. Pantau berat badan. Sebaiknya jangan biarkan melebihi 60 kg. Memang mudah naik berat tetapi untuk menurunkan berat badan sangat sukar. Kawal makan khususnya gula dan karbohidrat. Lakukan senaman setiap hari.
21. Jadikan tabiat berjumpa doktor jika ada sesuatu kelainan dalam edaran haid . Buat scan peranakan khususnya jika anda mengalami senggugut, perdarahan banyak, berpanjangan dan tak tentu masa atau merasai benjolan atau tumbuhan pada perut.
Sila hubungi YJN untuk dapat temu janti buat scan peranakkan. http://www.jabalnur.net/376648669
22. Amalkan makan multivitamins (saperti obimin atau lain), fish oil, kalsium dan vitamin C terus menerus sehingga akhir hayat. Jangan berhenti selepas bersalin. Jadikan ia satu tabiat dan amalan harian.
Makanan harian kita tidak dapat menampung keperluan vitamin untuk tujuan baik pulih tisu dan organ penting dalam tubuh badan. Keperluan vitamin dan logan meningkat selepas bersalin, penyusuan bayi dan lepas bedan. Wanita juga kehilangan logam iron ketika haid.
23. Makanan tambahan yang mengandungi pelbagai unsur saperti antioxidants, fiber, kolegen, peptides dan amino asid banyak dijual di pasaran. Saya sendiri mengambil extra virgin olive oil, grape seeds(mengandungi resveraterol untuk jantung dan otak), royal jelly dan honey dan habbatus sauda.
24. Jangan tanya saya ‘Apa pantang selepas bedah atau lepas bersalin”. Tanya saya ‘Apa yang baik dimakan waktu pemulihan?’ Pertanyaan kedua lebih wajar dan positif serta proaktif.
Semoga Allah berkati hidup kita dengan keteguhan iman, kesihatan badan dan murah rezeki yang halal. Serta kejayaan dan kebahagian hidup didunia dan akhirat. Aamin.